fbpx
MANGSA mudah tertarik dan terpedaya dengan perwatakan scammer yang berlagak alim. – GAMBAR HIASAN

‘Nampak warak tetapi penipu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tanah Suci yang sinonim untuk umat Islam beribadat kini dijadikan lubuk duit bagi sesetengah pihak yang mahu mengaut hasil menerusi aktiviti penipuan dengan cara menawarkan perkhidmatan tidak wujud di Mekah dan Madinah.

Modus operandi mereka amat mudah iaitu menawarkan khidmat sebagai orang tengah kononnya mempunyai ‘kabel’ di Arab Saudi kepada usahawan Malaysia yang telah dikenal pasti.

Untuk meyakinkan mangsa, si penipu akan memberitahu ­mangsa mengenai peluang untuk me­netap di Tanah Suci.

Tidak cukup dengan itu, scammer turut mengenakan pakaian orang alim, berperwatakan warak dan fasih berbahasa Arab.

Seorang ahli perniagaan wa­nita dikenali sebagai Azi berkata, dia kerugian ratusan ribu ringgit selepas diperdaya ‘ustaz’ ber­kenaan yang mengaku sebagai orang tengah untuk menjalankan satu perniagaan berkaitan perkhidmatan pada tahun 2020 untuk jemaah haji dan umrah.

Katanya, dia percaya dengan lelaki itu yang sering mengenakan kopiah dan berbahasa Arab selain dikenali sebagai orang yang baik-baik.

“Tiga bulan membuat urusan dengan scammer dan saya perlu menanggung segala perbelanjaan termasuk tiket kapal terbang kelas perniagaan. Saya beri peluang sampai Mac lalu, namun masih tiada perkembangan.

“Saya dijanjikan peluang perniagaan dengan sistem pengurusan lengkap sehingga sedia beroperasi. Urusan yang sepatutnya selesai dalam tempoh tiga bulan mengambil masa selama bertahun-tahun tanpa ada sebarang perkembangan,” katanya.

GAMBAR hiasan menunjukkan aktiviti perniagaan yang dijalankan di Tanah Suci. Ada pihak tidak bertanggungjawab menawarkan perniagaan tidak wujud kepada usahawan Malaysia. – AFP

Menurut ahli perniagaan ber­usia 50-an itu, dia mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena selepas suspek memberikan pelbagai alasan setiap kali ditanya mengenai perkembangan dan bila perkhidmatan itu hendak dimulakan.

Tambahnya, melalui maklumat yang diperoleh, suspek didakwa telah menipu beberapa lagi ahli perniagaan yang berjaya dipujuk menggunakan modus operandi yang sama.

“Saya semakin pelik apabila suspek masih meminta duit de­ngan saya sedangkan perniagaan yang dicanang tidak jalan-jalan,” katanya.

Ujar wanita itu, dia kini dalam proses untuk mengambil tindakan mahkamah bagi mengekang tindakan tidak bertanggungjawab scammer tersebut.

“Jadi, sesiapa yang berhajat untuk membuat perniagaan di Tanah Suci diminta berhati-hati supaya tidak terjerat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pe­ngendali agensi pelancongan dikenali sebagai Laila mengakui, modal RM700,000 yang dipungut daripada jemaah untuk visa haji hampir lesap dilarikan scammer selepas dia terpedaya dengan janji manis individu berkenaan.

“Individu itu beritahu yang kami boleh berurusan terus de­ngan kerajaan Arab Saudi kerana dia ada kenalan. Dia tawarkan perniagaan berkaitan perkhidmatan yang menarik hingga saya berminat untuk melakukannya,” kata Laila.

Menurut wanita itu, dia bernasib baik apabila mendapat semula kesemua modal yang diberikan selepas bekeras membuat tuntutan daripada suspek.

Tambahnya, dia lega apabila isu itu berjaya diselesaikan, namun pada masa sama menasihatkan orang ramai yang ingin mengembangkan perniagaan di Tanah Suci supaya berhati-hati dengan sebarang tawaran yang meragukan.

Menurut mangsa, dia tidak membuat laporan polis apabila mendapat semula wang tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN