APABILA mendapat tahu anaknya, Lutfi, 9, teringin untuk melihat burung unta dengan mata kepala sendiri, Tarmizi Zainon, 42, mula tercari-cari lokasi ternakan haiwan itu yang boleh dilawati. Selepas membuat pencarian menerusi Internet, Tarmizi akhirnya menemui sebuah ladang ternakan burung unta yang dibuka kepada orang awam untuk dilawati yang terletak di Semenyih, Selangor.
Disebabkan lokasi tersebut yang terletak hanya kira-kira 40 kilometer dari rumahnya di Bangsar, Kuala Lumpur, Tarmizi dan keluarganya mengambil peluang cuti hujung minggu untuk berkunjung
ke ladang ternakan haiwan tersebut yang merupakan ladang burung unta atau ostrich kedua terbesar
di Semenanjung Malaysia.
“Ini kali pertama saya sekeluarga berkunjung ke sini. Bukan sahaja anak saya teruja melihat burung unta, saya juga begitu terkejut apabila melihat saiznya yang agak besar, tidak seperti yang saya sangka sebelum ini.
“Malah, saya juga berasa bertuah apabila diberitahu salah seekor burung unta yang berada di depan saya adalah burung unta yang pernah tular di media sosial sebelum ini selepas terlepas dari kurungan dan ditemui sedang berlari di Lebuh raya Persekutuan dalam kejadian pada 16 Jun 2016.
“Tidak sangka burung unta tersebut kini sudah berusia hampir 10 tahun dan masih berada di ladang ternakan ini,” katanya ketika ditemui Panorama di Ostrich Wonderland yang terletak di Kampung Pasir, Jalan Sungai Lalang, Semenyih baru-baru ini.
Sementara itu, Lutfi dilihat amat terkejut apabila diberitahu sebiji telur bersaiz besar yang terletak di atas pasir merupakan telur burung unta.
Katanya, itu merupakan telur terbesar yang pernah dilihatnya setakat ini dan turut memberitahu telur itu agak berat untuk dipegang.
Ladang ternakan burung unta di Semenyih itu merupakan salah satu lokasi yang menempatkan bilangan burung unta yang banyak di negara ini.
Sebanyak kira-kira 100 ekor burung unta dapat disaksikan di situ. Sememangnya untuk menemukan kumpulan besar burung unta di Malaysia bukanlah suatu yang lazim kerana haiwan itu hakikatnya berasal dari benua Afrika.
Burung unta dianggap haiwan yang unik kerana terkenal menerusi fakta otak burung tersebut lebih kecil daripada bola matanya.
Menyentuh mengenai sejarah ladang ternakan tersebut, Pengurus Ostrich Wonderland Semenyih, Teh Tiong Shen, 25, berkata, sebelum membuka ladang ternakan itu di lokasi berkenaan, keluarganya terlebih dahulu membuka ladang sama di sebuah lokasi di Pajam, dekat Nilai, Negeri Sembilan pada tahun 1997.
Pada ketika itu katanya, sebanyak 50 ekor burung unta dibawa masuk dari Afrika Selatan dan ditempatkan di situ bagi tujuan ternakan secara komersial dan tidak dibuka kepada lawatan orang awam.
“Pada tahun 2000, keluarga saya ambil keputusan memindahkan ladang ternakan burung unta ini ke sebidang tanah seluas lapan hektar milik ahli keluarga di Semenyih.
“Disebabkan tanah di sini terlalu luas, kami hanya menggunakan kira-kira satu hektar setengah (6 ekar) untuk dijadikan ladang ternakan burung unta.

“Oleh kerana ahli keluarga saya minat dengan aktiviti ternakan haiwan, kami turut memelihara beberapa spesies haiwan lain seperti lembu, kambing, kuda, pelbagai spesies ayam, itik, angsa dan arnab di sini,” katanya.
Menurut Tiong Shen, selepas 22 tahun beroperasi di Semenyih, ladang itu kini mempunyai kira-kira 100 ekor burung unta melibatkan pelbagai peringkat usia dan merupakan yang kedua terbesar di Semenanjung Malaysia.
Kata beliau lagi, pada peringkat awal ternakan burung unta itu dilaksanakan bagi tujuan komersial saja iaitu bagi membekalkan daging dan anak burung unta kepada pembeli.
Namun, disebab kos operasi yang terlalu tinggi, keluarganya mengambil keputusan untuk membuka ladang tersebut kepada lawatan orang awam.
“Kami tidak sangka selepas dibuka kepada orang awam, ramai yang berminat untuk berkunjung ke sini terutama bagi melihat sendiri burung unta secara lebih dekat.
“Malah, ramai juga yang mengambil kesempatan membawa anak-anak mereka bermain dengan haiwan ternakan lain terutamanya kambing dan ayam yang jinak pada cuti hujung minggu dan cuti umum.
“Kami juga kerap menerima kunjungan secara berkumpulan daripada pelajar universiti, sekolah dan tadika,” jelasnya.
Menyentuh mengenai pemakanan burung unta, Tiong Shen berkata, haiwan itu makan daun-daun hijau dan makanan berbentuk dedak.
“Dalam tempoh kira-kira lima hingga tujuh tahun, haiwan ini sudah mampu mencapai berat antara 80 kilogram (kg) hingga 100kg terutama burung unta jantan dan jangka hayat burung unta juga boleh mencecah sehingga 50 tahun,” katanya.
Tambah Tiong Shen lagi, selain memberi kebebasan untuk bermain dengan haiwan ternakan, pihaknya turut memberi penerangan kepada pengunjung mengenai fungsi mesin inkubator yang terdapat di ladang ternakan itu.
Katanya, ramai terpegun dengan fungsi mesin tersebut yang mampu mengeram telur sehingga menetaskan haiwan dalam tempoh masa tertentu.
“Di dalam mesin inkubator ini, kami mampu mengeramkan ratusan telur sama ada telur ayam, itik, angsa atau burung unta.
“Ia bagi menggantikan kaedah pengeraman telur menggunakan ibu haiwan tersebut di kandang atau sarang dengan mengeramkan dan menetaskan telur di dalam mesin ini,” katanya.
Selain burung unta, kambing turut menjadi tarikan bagi kanak-kanak.
Seorang kanak-kanak, Ethan Lim Qi Yun, 10, dilihat begitu asyik bermain dengan beberapa ekor kambing yang dikurung di dalam kandang.
“Saya sudah dua kali datang ke sini, namun saya masih seronok bermain dengan haiwan yang diternak di sini terutamanya kambing.
“Bagi saya, haiwan ini sangat comel dan saya terasa seperti ingin membawanya pulang untuk dipelihara di rumah,” kata murid tahun 4 dari Subang Jaya itu.














