KUANTAN – Ketika pekerja kilang dan pengawal keselamatan termasuk warga asing sudah lama menikmati gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan, namun pendapatan guru-guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) masih berada di bawah paras kemiskinan.
Difahamkan terdapat kira-kira 35,000 guru KAFA di seluruh negara masih dibayar ‘upah’ serendah RM1,000 sebulan walaupun peranan mereka besar dalam mengajar pendidikan Islam kepada anak-anak untuk menjadi Muslim sejati dan insan syumul.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB), Muhd. Fadhli Jusoh memberitahu, sehingga kini, gaji atau dikenali sebagai elaun yang dibayar kepada guru-guru KAFA adalah RM1,000 sebulan.

Menurutnya, cuma hanya beberapa negeri iaitu Johor dan Selangor yang menambahkan elaun sebanyak RM500 lagi untuk meringankan beban mereka, menjadikan elaun terkini RM1,500 sebulan.
“KKGAMB berpandangan sudah sampai masanya kerajaan menggunakan peruntukan Perlembagaan Perkara 3 iaitu Islam Agama Persekutuan dengan mengambil apa-apa dana daripada wang disatukan negara untuk kepentingan agama Islam.
“Ini termasuklah memperkemaskan skim perjawatan guru KAFA sebagai antara kumpulan guru yang memastikan akidah dan syariah Islam serta akhlak bagi umat Islam terpelihara,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Muhd. Fadhli berkata, dengan hanya mengharapkan elaun RM1,000 itu telah menyebabkan ramai guru KAFA sentiasa terbeban untuk menyara kehidupan dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
Katanya, sejak KAFA diwujudkan pada tahun 1990, perjawatan guru KAFA juga masih berstatus jawatan kontrak sambilan yang dilantik dari tahun ke tahun.
“Tanpa perjawatan tetap, guru-guru KAFA tidak menerima sebarang latihan mengajar, menyebabkan mereka terpaksa menggunakan kaedah sendiri untuk mengajar bagi memastikan kanak-kanak dapat memahami apa yang disampaikan.
“Bagaimanapun, guru-guru agama berkenaan tiada pilihan selain terus menyumbang bakti dan tenaga dengan memberikan tumpuan kepada tugas mereka, namun masih mengharapkan perhatian kerajaan bagi membantu meringankan beban mereka itu,” ujarnya.














