fbpx
Hamdan (kanan) menerangkan sesuatu kepada polis mengenai kejadian tangki pecah di Sepang kelmarin.

‘Sangka petir, rupanya bunyi tangki pecah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Rata-rata penghuni di Blok A Apartmen Penaga Mas di sini terkejut apabila bunyi kuat yang disangka petir rupanya datang daripada tangki pecah hingga menyebabkan air deras turun bagaikan jeram lalu menghentam beberapa buah kenderaan kelmarin.

Seorang pesara, Kamarudin Shafie, 60 berkata, dia terkejut apabila mendengar bunyi dentuman ketika hendak menunaikan solat maghrib di rumahnya di tingkat sembilan pada pukul 7.15 malam.

Katanya, blok itu dihuni oleh 800 penduduk daripada 172 unit kediaman.

“Saya sangka bunyi petir me­nyambar bangunan rupanya air turun dengan laju kerana tangki setinggi 18 meter pecah ketika saya lihat melalui tingkap.

“Sebaik dijengah, saya de­ngar alat penggera beberapa buah kereta berbunyi dan apabila di­tinjau, rupanya kenderaan itu rosak akibat ditimpa air. Salah satu kereta jenis Proton Saga yang rosak milik anak saya,” katanya kepada Kosmo!.

Sebanyak enam buah kereta pelbagai jenis rosak setelah di­timpa air dan serpihan tangki tersebut yang pecah.

Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan cermin depan dan papan pemuka kereta rosak.

Dua daripada enam buah kereta milik penghuni Apartmen Penaga Mas yang rosak akibat ditimpa air tangki kelmarin.

Kamarudin berkata, anaknya telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan mereka kini menggunakan air yang dibekalkan oleh Syarikat Pengurusan Air Selangor.

Suri rumah, Siti Hajar Hassan, 37, berkata, dia menjerit sebaik melihat air yang terlalu deras mencurah-curah sebaik menje­nguk ke luar tingkap.

“Pada mulanya hanya kelihatan air seperti menitik dan saya sangkakan hujan namun tiba-tiba titisan tersebut menjadi deras seperti air terjun mengakibatkan saya terkejut lalu menjerit sebelum memaklumkannya kepada penduduk,” katanya.

Tambah Siti Hajar, dia berharap perkara tersebut mendapat perhatian pihak berwajib yang boleh menghulurkan bantuan memandangkan ada dalam kalangan penduduk mempunyai anak kecil atau warga emas yang menyukarkan mereka untuk mengangkat air ke rumah.

Tinjauan ke lokasi kejadian mendapati, sebanyak empat buah tangki air sementara telah diletakkan di bahagian lobi bangunan apartment berkenaan bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air untuk kegunaan harian.

Dalam pada itu, penduduk yang dikenali sebagai Hamdan berharap agar masalah itu dapat diselesaikan segera.

“Kejadian hampir serupa pernah berlaku pada tahun 2018 apabila bahagian lantai tangki air tersebut pecah yang mengakibatkan air mengalir memasuki rumah penduduk.

“Kami baiki dan habis modal RM10,000. Kali ini lebih baik diganti tangki baharu agar kejadian sama tak berulang,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, Badan Pengurusan Bersama (JMB) perlu membaiki segala kerosakan.

“Semakan mendapati, JMB telah mengambil insurans bangunan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof pula berkata, kejadian tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN