fbpx

AS hantar bom nuklear baharu ke Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ujian Skuadron Ujian dan Penilaian ke-72 memuatkan sistem penghantaran senjata berkemampuan nuklear baharu untuk pengebom B-2 Spirit. - Tentera Udara AS

WASHINGTON – Bekalan bom nuklear baharu oleh Amerika Syarikat (AS)  di  Eropah yang dijangka tiba tahun depan akan dipercepatkan kepada tahun ini, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Perubahan pelan itu berlaku ketika Barat semakin bimbang  bahawa Presiden Russia, Vladimir Putin akan menggunakan senjata nuklear dalam perang di Ukraine.

Bom  B61-12  yang merupakan versi terkini bom nuklear utama­ AS, akan dihantar ke benua Eropah pada Disember ini dan bukannya musim bunga 2023, demikian menurut sumber diplomatik kepada akhbar Politico.

Bom baharu itu berupaya mengenai sasaran dengan  lebih tepat berbanding bom nuklear terdahulu dan akan ditempatkan di tapak penyimpanan di seluruh Benua Eropah, manakala bom lama akan dialih keluar.

Penghantaran terbaharu itu dibincangkan pada mesyuarat menteri-menteri pertahanan Per­tubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), dua minggu lalu.

Selain membincangkan  jadual penghantaran bom nuklear ke Eropah, sumber sama mendedahkan bahawa sekutu-sekutu NATO bimbang tentang kemungkinan Putin meneruskan ranca­ngannya menggunakan senjata nuklear untuk melenyapkan negara musuh.

“Berikutan peningkatan retorik nuklear Russia, sekutu-­sekutu Barat meminta rundingan berterusan bersama NATO untuk memastikan situasi siap siaga  yang berterusan,” jelasnya.

Menurut sumber itu, seba­nyak 15 negara sekutu Barat bimbang dan meminta NATO tidak menyerah di bawah ancaman nuklear Putin.

Maklumat dinyatakan itu di­sahkan oleh dua sumber lain tetapi jurucakap Pentagon, Brigedier Jeneral Patrick Ryder menafikan penghantaran bom B61-12 telah dipercepatkan.

Pemodenan bom B61-12 dijalankan sejak sekian lama, kata Ryder.

“Ia sama sekali tiada kaitan dengan krisis semasa di Ukraine, malah penghantarannya tidak dipercepatkan dalam apa cara sekalipun,” tambahnya.

Hanya tiga negara NATO iaitu AS, Britain dan Perancis memiliki senjata nuklear tetapi peledak dan peluru berpandu yang digunakan untuk melancarkannya berada di seluruh negara blok pertahanan itu.

NATO  mengekalkan senjata nuklear strategik iaitu senjata bagi memusnahkan  seluruh ban­dar atau negara sebagai perisai untuk menghalang daripada di­serang.

Bagaimanapun, NATO juga mempunyai simpanan senjata nuklear lebih kecil untuk digunakan dalam pertempuran bagi mendapatkan kelebihan taktikal.

Russia mempunyai simpanan nuklear terbesar di dunia iaitu sebanyak 6,500 kepala peledak dan merangkumi campuran bom nuklear strategik dan nuklear taktikal. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI