“TEPAT pukul 12 tengah hari selepas dibuka secara rasmi kepada pengguna, boleh dikatakan saya antara orang yang terawal menggunakan perkhidmatan tersebut.”
Demikian kata seorang pengguna Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) yang baru sahaja kira-kira sebulan dirasmikan pembukaannya.
Cerita A. Karim Mohd Esin, 62, dia tidak menunggu lama untuk mencuba sendiri fasiliti ditawarkan Suke.
A. Karim yang tinggal di Pangsapuri Anggerik, Taman Bukit Permai 2, Kuala Lumpur teruja untuk menggunakan perkhidmatan baharu itu setelah lebih lima tahun menunggu disiapkan.
“Kali pertama menggunakan Suke dari Tol Bukit Teratai menuju ke persimpangan Hartamas, saya rasa cukup berbangga dan begitu teruja dengan fasiliti cukup moden disediakan.
“Paling penting, sama seperti tujuan asal pembinaan, Suke berfungsi sebagai laluan alternatif bagi pengguna mengelakkan kesesakan terutama di sekitar jajaran Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) khususnya pada waktu puncak,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Tambah A. Karim, keindahan panorama mendamaikan yang terbentang luas di bandar raya Kuala Lumpur tersebut menjadi nilai tambah kepada pengguna lebuh raya milik Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) itu.
Dari aspek seni bina, Suke hakikatnya mencatat pencapaian membanggakan apabila dua ciri binaannya termaktub dalam Malaysia Book of Records iaitu tanjakan ‘helikoidal’ yang ikonik berbentuk lingkaran dua tingkat yang pertama di Malaysia serta Jejambat Galang Kekotak Bersegmen (SBG) setinggi 56.4 meter dari paras tanah yang melintasi atas laluan MRT Sungai Buloh-Kajang dan Lebuh Raya Cheras-Kajang (CKE) atau Grand Saga.
Ciri unik tanjakan ‘helikoidal’ itu juga menerima pengiktirafan untuk Reka Bentuk Lebuh Raya Dinamik oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, Suke sepanjang 24.4 kilometer (km) telah memulakan kerja-kerja pembinaan pada Ogos 2016 dengan sasaran tempoh siap pembinaan selama empat tahun.
Pun begitu katanya, sepanjang tempoh pembinaan, Prolintas berdepan beberapa isu yang memberi cabaran semasa proses pembinaan seperti pengalihan utiliti luar jangka dan kerja-kerja tambahan di luar skop asal.
“Pandemik Covid-19 yang tiba-tiba melanda ketika kerja-kerja menyiapkan giat dijalankan turut memberi impak besar melibatkan gangguan terhadap rantaian bekalan bahan-bahan binaan, selain kekurangan tenaga kerja yang dibenarkan di tapak pembinaan.
“Bagaimanapun, dengan komitmen berterusan kami, kontraktor dan perunding dilantik membolehkan pembinaan diteruskan hingga hari pelancaran pada 15 September dan dibuka kepada umum sehari selepas itu,” katanya.

Jelas beliau, fasa pertama pembukaan Suke membabitkan jajaran sepanjang 16.6km telah dibuka secara rasmi, manakala bakinya 7.8km kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2023.
“Bagi fasa dua, ia melibatkan jajaran dari Bandar Tasik Selatan ke Taman Len Seng di Cheras dan Alam Damai, termasuk sebuah lagi Plaza Tol di Alam Damai.
“Sasaran syarikat untuk pembukaan penuh lebuh raya Suke pada suku pertama tahun depan dilihat berada pada landasan tepat,” ujarnya.
Melihat rekaan unik lebuh raya yang dikatakan hampir 90 peratus berada di ‘udara’ dan lain daripada lain itu, beliau berkata, keistimewaan Suke pastinya terletak pada aspek reka bentuk kejuruteraannya yang unik, penerapan teknologi masa depan serta majoriti struktur binaannya bertingkat (terapung dari permukaan tanah).
Keseluruhannya, Suke menyediakan 14 persimpangan dan melalui lebih 60 kawasan kediaman, komersial dan perindustrian serta menghubungkan pengguna ke lebuh raya dan jalan raya utama di Lembah Klang.
Antaranya CKE, MRR2, Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Lebuh raya KL-Seremban, Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke).
Mengenai konsep Suke, perkara tersebut sememangnya dicadangkan dibina secara bertingkat sejak awal lagi, memandangkan lebuh raya baharu itu melalui kawasan bandar yang rizab jalannya amat terhad bagi sebarang proses pembangunan.
Menyentuh aspek keselamatan pula, Mohammad Azlan berkata, pada setiap 1km lebuh raya Suke dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV), menjadikan keseluruhan 40 unit kamera dipasang di sepanjang jajaran di kedua-dua hala bagi memastikan pemantauan, kawalan pergerakan trafik dan pasukan peronda dapat dihubungi andai berlaku sebarang kecemasan atau gangguan.
“Turut disediakan 22 telefon kecemasan dan 22 sistem pengesan kenderaan dan kemalangan (VIDS) pada tiang bersepadu. Suke menyediakan laluan kecemasan selebar tiga meter yang membolehkan pasukan penyelamat sama ada ambulans atau bomba menuju ke lokasi dengan segera.
“Seluruh jajaran Suke juga diterangi dengan 3,377 lampu LED untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin terutama pada waktu malam.
“Susulan insiden pengguna berhenti di bahu jalan atau lorong kecemasan yang membahayakan keselamatan, Prolintas telah memasang lima pembesar suara pada tiang bersepadu berdekatan beberapa lokasi dikenal pasti sekali gus arahan untuk mengosongkan kawasan dapat disampaikan terus dari pusat kawalan trafik lebuh raya,” tuturnya.
Memahami masalah kesesakan yang tidak pernah berakhir dan semakin menjadi-jadi selepas Perintah Kawalan Pergerakan tamat, Mohammad Azlan percaya Suke merupakan alternatif paling tepat kepada salah satu laluan paling sesak di Lembah Klang iaitu MRR2 dan dijangka mampu menyuraikan trafik untuk beberapa lokasi sehingga 36 peratus pada waktu puncak.
Jelasnya, dengan menggunakan Suke, masa perjalanan juga dijangka mampu dijimatkan kepada 25 minit berbanding 75 minit menerusi laluan sedia ada.
Bercakap mengenai penerimaan dan statistik penggunaan terutama selepas bayaran tol dikuatkuasakan, Pengurus Am Suke, Zakaria Shaffie berkata, mereka berjaya merekodkan 100,000 kenderaan 24 jam selepas dibuka kepada umum.
“Memasuki hari kedua dan seterusnya, purata kenderaan yang berjaya direkodkan adalah sebanyak 78,000 kenderaan sehari dan masih sejajar dengan sasaran ditetapkan.
“Selepas bayaran tol dikuatkuasakan pada tengah malam 15 Oktober lalu, jumlah kenderaan yang menggunakan Suke masih memberangsangkan dan kami harapkan sokongan berterusan diterima daripada pengguna,” katanya.
Mengenai perkembangan bagi fasa 2, Zakaria berkata, ia mempunyai tiga persimpangan yang akan dibuka iaitu Persimpangan Sri Petaling, Persimpangan Sungai Besi dan Persimpangan Alam Damai.
“Keseluruhan kemajuan Suke setakat 25 September lalu ialah 98.11 peratus dan kerja-kerja pembinaan melengkapkan jajaran masih giat dijalankan.
“Menariknya, hentian sebelah Plaza Tol Alam Damai juga akan dijadikan sebagai satu kompleks dua tingkat menempatkan bangunan pentadbiran lebuh raya Suke selain dilengkapi kawasan komersial di bahagian bawah kompleks berkenaan.
“Antara kemudahannya adalah lot-lot francais makanan segera, gelanggang futsal dan gelanggang bola keranjang,” ujarnya.














