fbpx

Rakyat Britain ikat perut, kos sara hidup melonjak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELANGGAN membeli barangan keperluan rumah di sebuah pasar raya di timur London pada 10 Januari 2022. – AFP

LONDON – Berjuta-juta orang di Britain terpaksa ‘mengikat perut’ akibat krisis kos sara hidup, manakala lebih ramai penduduk dijangka ‘miskin bahan api’  selepas London bersetuju memansuhkan pembekuan harga tenaga, kata sebuah pertubuhan pengguna semalam.

Perkembangan itu berlaku selepas data menunjukkan kadar inflasi di Britain kembali melonjak melebihi 10 peratus September lalu, menyebabkan harga makanan melambung tinggi.

“Sebanyak 50 peratus isi rumah di Britain mencatu atau mengurangkan makan,”  kata pertubuhan pengguna Which? yang memetik kaji selidik melibatkan 3,000 orang. 

Peratusan sama mendapati, rakyat semakin sukar untuk makan secara sihat berbanding sebelum krisis berlaku, manakala hampir 80 peratus isi rumah  berdepan masalah kewangan dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup akibat krisis tenaga.

Dalam perkembangan berkaitan, Indeks Harga Pengguna (CPI) Britain mencatat rekod tertinggi dalam tempoh 42 tahun  iaitu pada kadar 10.1 peratus untuk tempoh 12 bulan yang berakhir September 2022, lapor agensi berita United Press International kelmarin.

Menurut kerajaan Britain,  kos makanan mencatat  peningkatan teringgi iaitu 14.6 peratus sekali gus memberi tekanan kepada  perbelanjaan isi rumah.

Harga makanan pula adalah yang tertinggi sejak tahun 1980, manakala kos pengangkutan turut melonjak 10.9 peratus.

Penurunan berterusan dalam kos bahan api menjadi faktor pencetus utama yang dapat me­nurunkan kadar inflasi, demikian menurut Pejabat Perangkaan Kebangsaan.

Indeks Harga Pengguna termasuk kos perumahan penghuni pemilik (CPIH) mencatatkan kadar 8.8 peratus, meningkat berbanding 8.6 peratus yang direkodkan Ogos lalu.

“Punca peningkatan terbesar kadar inflasi CPIH pada September 2022 adalah kos elektrik, gas dan bahan api lain, kos perumahan, makanan dan minuman bukan alkohol serta pengangkutan,” kata kerajaan Britain dalam satu kenyataan.

Selain itu, statistik kerajaan turut menunjukkan harga susu tanpa lemak turut melonjak sebanyak  42.1 peratus selain harga tepung yang naik 29.6 peratus.

“Saya faham bahawa setiap keluarga di seluruh negara kini bergelut dengan kenaikan harga dan peningkatan bil tenaga.

“Kerajaan akan mengutamakan bantuan untuk kumpulan paling terkesan dan dalam masa sama, melaksanakan kestabilan ekonomi yang lebih meluas serta memacu pertumbuhan jangka panjang bagi membantu setiap orang,” kata Menteri Kewangan Britain yang baharu, Jeremy Hunt.

Bank Pusat England menjangka  kadar inflasi Britain akan mencapai tahap tertinggi pada bulan ini ekoran lonjakan dalam harga tenaga. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI