KUANTAN – Tindakan peniaga yang mengambil bahagian ayam yang dibeli pengguna tanpa kebenaran termasuklah bahagian tongkeng serta kaki dan menjualnya kembali adalah haram kerana mengambil hak orang lain.
Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, apabila sesuatu barangan sudah dibeli, maka pembeli mempunyai hak ke atas barangan itu dan pihak lain perlu mendapat kebenaran sekiranya ingin mengambil sesuatu bahagian.
Katanya, dalam al-Quran juga ada menyebut bahawa kita tidak boleh sesuka hati mengambil hak orang lain kecuali pihak berkenaan telah bersetuju.
“Sekarang kaki ayam pun orang nak, jadi (penjual) tidak boleh ambil kalau pembeli sudah bayar.
“Kalau sebelum dibayar tidak apa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan segelintir peniaga yang mengambil bahagian seperti tongkeng dan kaki ketika proses memotong walaupun pembeli telah membayar untuk harga seekor ayam.
Menurut beliau lagi, dalam jual beli, seharusnya ada akad dan reda meredai dan penjual perlu meminta izin mengambil apa-apa bahagian yang telah dibeli pelanggan.
Katanya, penjualan juga perlu jelas seperti peniaga memaparkan makluman bahawa bahagian tertentu seperti kaki dan tongkeng akan diambil oleh peniaga.
“Jika tidak ada memaparkan perkara itu, ia ada salah,” tambahnya.
















