REMBAU – Seorang wanita bergantung nasib dengan pendapatan bulanan sebanyak RM450 yang diperoleh hasil upah menjaga dan memandikan orang sakit selain membersihkan rumah penduduk di sekitar Chengkau di sini sejak lebih setahun lalu.
M. Maruthayee, 51, berkata, sebelum ini, dia bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang di Chembong di sini.
Wanita itu menjaga dua cucu perempuan berusia enam dan lapan tahun dengan upah tersebut selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Saya menangis mengenangkan nasib cucu yang tidak bersekolah sebelum ini. Saya tak tahu membaca, anak-anak pula tidak mempunyai pekerjaan bagus, jadi saya tidak mahu cucu-cucu meneruskan kehidupan susah ini.
“Saya mendapatkan bantuan Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kota (Muhammad Allif Ibrahim) supaya cucu dapat bersekolah,” katanya ketika ditemui di Rumah Rakyat Chengkau di sini semalam.
Maruthayee bernasib baik kerana mempunyai rakan-rakan yang mencadangkan dia mencari kerja di Chengkau.
Kebanyakan rakan-rakannya terdiri daripada berbilang bangsa tidak sempat menguruskan orang tua mereka yang terlantar sakit kerana tuntutan kerja.
“Selain upah, mereka juga memberikan makanan untuk dibawa pulang. Paling gembira apabila melihat cucu mula bersekolah pada Khamis lalu,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Allif berkata, dia sedang mencari guru yang dapat menawarkan khidmat mengajar dua kanak-kanak tersebut membaca memandangkan mereka tidak mengenal huruf dan nombor.
Difahamkan, keluarga itu juga menumpang bekalan elektrik dari rumah jiran.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi Bank CIMB bernombor 7023277942 atas nama Maruthayee.