SHAH ALAM – Scammer mengambil peluang menipu pelajar pada bulan September dan Oktober kerana ia merupakan lubuk untuk mendapatkan untung mudah.
Menurut pengasas ejen perumahan Allinconsultancy, Wan Nazrin Wan A. Rahim, 29, kumpulan penipu tersebut akan menggunakan sikap terdesak para pelajar dengan menawarkan harga yang jauh lebih murah daripada pasaran untuk sewaan rumah.
Katanya, ini terbukti apabila kadar sewa rumah teres dalam pasaran adalah sekitar RM1,500 sehingga RM2,000 yang telah dilengkapi perabot, manakala apartmen antara RM800 hingga RM1,500.
“Ada yang menawarkan harga lebih rendah daripada itu. Ada mangsa ditawarkan harga serendah RM1,400 bagi rumah teres untuk sewaan sebulan di Puncak Alam oleh scammer tersebut,” katanya.
Terdahulu, tular hantaran dilakukan Wan Nazrin dalam aplikasi Facebook memaparkan sesi perbualannya dengan seorang mangsa scammer yang merupakan pelajar UiTM.
Menurut beliau, mangsa menyatakan scammer tersebut telah meminta deposit sebanyak RM2,000 untuk menduduki rumah tersebut.
“Namun yang mencurigakan adalah dari segi pembayaran apabila mangsa-mangsa bersama empat lagi rakannya telah diminta membuat pembayaran secara berasingan sebanyak RM200 kepada scammer tersebut.
“Saya cuba membantu menghubungi nombor scammer yang diberikan mangsa, namun sehingga kini tidak dapat dihubungi,” katanya.
















