fbpx
MOHD. BAZIL (empat dari kanan) dan dua lagi pemenang menerima hadiah daripada Jasni (tiga dari kiri) pada Cabaran Memancing Keluarga Malaysia 2022 yang diadakan di Taman Tasik Metropolitan, Kepong minggu lalu.

Kelindan lori bawa pulang RM7,000 jadi juara memancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEORANG kelindan lori, Mohd. Bazil Shahrulnazri, 23, dari Ampang, Selangor muncul juara pada program Cabaran Memancing Keluarga Malaysia 2022 yang diadakan di Taman Tasik
Metropolitan, Kepong, Kuala Lumpur minggu lepas.

Dia berjaya menaikkan ikan patin seberat 12.545 kilogram (kg) membolehkannya menerima hadiah wang tunai bernilai RM7,000 dan berjaya menewaskan 1,400 peserta lain yang menyertai cabaran itu.

Menurut Mohd. Bazil, dia tidak menjangkakan hanya berumpankan roti berperisa pandan, kemenangan pada pertandingan itu menjadi miliknya.

Katanya, dia mengambil masa lebih 15 minit untuk menaikkan spesies tersebut yang terkenal agresif.

“Kemenangan ini amat bermakna buat saya. Ia hadiah buat ibu dan bapa saya, selain turut berkongsi kemenangan dengan rakan-rakan.

“Saya harap penganjuran ini dapat diteruskan lagi pada masa depan kerana inilah waktu terbaik bagi kaki pancing berkumpul bersama keluarga dan dapat merapatkan silaturahim sesama mereka,” katanya.


SUASANA di Taman Tasik Metropolitan, Kepong yang menjadi lokasi Cabaran Memancing Keluarga Malaysia 2022 melibatkan lebih 1,000 peserta.

Naib juara disandang Shaharel Mohd. Mokhtar, 38, yang menaikkan spesies patin seberat 8.580 kg dan membawa pulang wang tunai RM2,000.

Tempat ketiga pula milik Amy Dahlan, 41, yang membawa pulang RM1,000 apabila berjaya memancing patin seberat 6.990 kg.

Program memancing itu anjuran bersama Nadi Media Events dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan sokongan Tourism Malaysia.

Penolong Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Jasni Abdullah berkata, lebih 300 ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan pada program Cabaran Memancing Keluarga Malaysia itu yang diadakan secara besar-besaran selepas pandemik Covid-19.

Katanya, selepas dua tahun tidak dapat dilakukan, ia dianjurkan dalam keadaan santai dan menyeronokkan buat peserta dan keluarga masing-masing.

“Kita yakin program ini mencapai matlamat apabila perpaduan dan keharmonian pelbagai lapisan masyarakat tidak kira peringkat usia mahupun agama disatukan melalui aktiviti riadah seumpama itu.

JASNI melihat patin seberat 12.545 kg yang dinaikkan seorang peserta.

“Kita mahu rakyat beriadah, sihat sejahtera, seterusnya mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga kota agar dapat terus bersatu teguh sebagai satu keluarga Malaysia.

“Penyertaan yang menggalakkan membuktikan program seumpama itu mampu menarik kedatangan pelancong domestik yang boleh menjana hasil kepada peniaga tempatan. Kita ada peserta yang datang dari luar Kuala Lumpur termasuk Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Melaka,” katanya.

Selain itu, program itu juga bertujuan memberi motivasi dan sokongan kepada penggiat industri pelancongan kota raya bagi merangsang pertumbuhan semula industri pelancongan, terutamanya kawasan tasik di Kuala Lumpur sebagai pusat riadah sihat bersama keluarga.

Pertandingan tersebut dimulakan pada pukul 8.30 pagi dan berakhir pukul 12.30 tengah hari.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Jasni dan wakil dari DBKL, Nur Amanina Zulkefle.


GELAGAT seorang pemancing cilik yang berjaya menaikkan ikan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN