fbpx
WANNA ALI

Kalau bertuah, klise pun meletup – Wanna Ali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK mula mengorak haluan dan melangkah keluar daripada bayangan produksi milik ibu sendiri bermula beberapa tahun kebelakangan ini, Wanna Ali semakin laris dengan variasi tawaran.

Berani keluar dari zon selesa, keadaan itu sekali gus membuatkan kehadirannya dalam industri semakin disedari apatah lagi kini berpeluang memegang watak utama buat pertama kalinya mengisi slot perdana siaran TV3

Menerusi naskhah Adakah Engkau Menungguku dalam slot Lestary setiap Rabu hingga Sabtu pukul 9 malam bermula 29 September ini juga gandingan sulung Wanna dan Adam Lee sebagai hero heroin.

Berkesempatan menemu bual pelakon dengan nama penuh Nursyazwana Ali itu secara maya baru-baru ini, ada rasa teruja yang tidak dapat disembunyikannya tatkala diajak berkongsi tentang penglibatan dalam drama tersebut.

Naskhah arahan Azmi Hatta berkenaan mengisahkan Ariana lakonan Wanna yang berdepan kekecewaan selepas kekasihnya dipaksa berkahwin atas pilihan keluarga sehinggalah dia kemudian bertemu dengan Ikmal (Adam).

“Meskipun drama ini menyaksikan saya dapat watak utama buat pertama kali untuk naskhah TV3, tetapi tidak banyak yang saya lakukan dari segi persiapan.

“Sebab bila baca skrip dan sinopsis, saya terus jatuh cinta dengan drama ini.

“Ceritanya comel dan menarik. Lagipun watak sebagai Ariana tidak jauh berbeza dengan kehidupan peribadi dan personaliti sebenar saya,” ujarnya.

Menghiasi slot popular yang biasanya menjanjikan rating tinggi, Wanna tidak meletakkan harapan untuk turut mengecap populariti impak penerimaan
ramai.

Tak harap trending

Setiap pelakon tidak dapat lari daripada mengharapkan naskhah lakonan mereka menemui kejayaan dan diterima baik penonton.

Apatah lagi jika berpeluang menembusi slot tayangan popular yang sering mencipta jumlah tontonan tinggi dalam kalangan peminat.

Diduga dengan persoalan sebegitu, Wanna, 25, sebaliknya mengakui, ketika menerima tawaran membintangi Adakah Engkau Menungguku, bukan itu yang terlintas dalam benak fikirannya.

“Masa ambil tawaran ini, tak ada pula saya fikir untuk buatkan diri jadi terkenal. Saya ambil sebab dapat rasa, drama ini menyeronokkan.

“Saya percaya dengan rezeki masing-masing. Kalau drama ini meletup, alhamdulillah. Tetapi apa-apa pun, semuanya bergantung dengan tuah juga,” katanya.

Selain bantuan pengarah, Wanna menjadikan keperibadian sendiri sebagai rujukan menghidupkan watak Ariana dalam drama Adakah Engkau Menungguku.

Tambah anak kepada penerbit Datuk Normashayu Puteh atau Ayu Puteh itu lagi, adakalanya sesebuah naskhah mampu mencipta sensasi jika ada tuah menyebelahi, meskipun jalan ceritanya klise.

“Kadang-kadang kita tengok drama itu biasa saja tapi meletup. Contoh saya ambil drama Melur Untuk Firdaus, cerita itu daripada novel, klise dan agak ‘cringe’.

“Tetapi penangannya sangat hebat sampai ke luar negara. Ini semua kerja Tuhan dan kita tak pernah jangka pun.

“Saya ambil kerja ini untuk enjoy dan sebab karakter pun menyeronokkan,” katanya.

SELEPAS bertahun meladeni karier lakonan, baru kini Wanna Ali berjaya menembusi slot popular TV3. Dia berharap tuah menyebelahinya dan drama Adakah Engkau Menungguku diterima baik penonton.

Mudah serasi

Pertama kali disandingkan dengan Adam, ternyata percaturan tersebut tidak menimbulkan masalah buat Wanna.

Akuinya, aktor tinggi lampai itu mudah menghasilkan cetusan kimia saat bersama.

“Kami ada keserasian di depan kamera, terutama untuk babak kelakar dan romantik. Meskipun baru pertama kali bekerjasama tetapi kami mudah mencipta keserasian.

“Sepanjang penggambaran, kami banyak berbincang ditambah dengan bantuan daripada pengarah.

“Dia pasti dengan apa yang dimahukan dan kami sebagai pelakon, berperanan menyampaikannya dengan baik,” tuturnya.

Disebabkan personaliti Ariana dekat dengan keperibadian sendiri, Wanna tidak berdepan banyak cabaran sepanjang penggambaran.

Genre romantik komedi drama juga membuatkan proses penggambaran berjalan lancar dan menyeronokkan.

“Cuma saya tak boleh lupa ketika penggambaran di Sekinchan, Selangor. Memang sangat panas.

“Seminggu kami berkampung di sana. Tetapi seronok sebab rakan pelakon lain pun baik belaka seperti Sherry Ibrahim, Enot dan Wani Kayrie yang menjadi sahabat baik saya,” tutupnya.

PERTAMA kali bergandingan dengan Adam Lee, Wanna menyifatkan pelakon itu seorang yang mudah memberi kerjasama sepanjang penggambaran.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN