ALOR SETAR – Pelbagai alasan diberikan oleh golongan bapa semata-mata untuk mengelak daripada memikul tanggungjawab membayar nafkah kepada anak kandung mereka selepas berlakunya perceraian.
Selain berdepan masalah kewangan yang kritikal, ada juga lelaki yang cenderung menyimpan perasaan dendam kepada bekas isteri sehingga sanggup mengabaikan amanah untuk menanggung belanja anak-anak.
Peguam syarie, Farah Diyana Azhar berkata, tindakan itu dilakukan semata-mata untuk menyakitkan hati bekas isteri.
“Tidak kurang juga lelaki yang berprasangka buruk kononnya wang yang diberi itu akan digunakan bekas isteri untuk kegunaan dirinya sendiri dengan membeli alat solek dan pakaian, bukan untuk anak-anak.
“Ada juga yang mendakwa telah memberi nafkah kepada anak-anak menerusi wang yang disimpan di dalam akaun bank anak, namun buku bank itu disimpan oleh si bapa.
“Namun begitu, tanggapan si bapa itu sebenarnya salah kerana simpanan dan nafkah perbelanjaan harian adalah berbeza. Nafkah perbelanjaan adalah untuk kegunaan harian seperti makan minum dan sebagainya,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut beliau, sikap kedekut si bapa juga dikenal pasti antara faktor golongan berkenaan enggan dalam membayar nafkah sehingga bekas isteri terpaksa membawa isu berkenaan ke Mahkamah Rendah Syariah.
Sebagai contoh katanya, terdapat kes yang mana lelaki mempunyai pendapatan sehingga RM8,000 sebulan, namun hanya memberi nafkah RM100 kepada anak kandungnya.
“Sebilangan lelaki ini kedekut dan terlalu berkira untuk memberi wang bagi perbelanjaan kepada anak-anak yang berada di bawah jagaan isteri. Salah satu alasannya adalah komitmen bertambah.
“Apa yang sukar diterima adalah mereka ini langsung tidak beri nafkah atau memberi nafkah dalam kadar sedikit kepada anak, namun berkemampuan pula menambah aset seperti rumah dan kereta baharu,” katanya.
Menurut Fatah Diyana, ada juga bekas suami memberi alasan tidak dapat memberi nafkah kerana terpaksa menanggung perbelanjaan isteri baharu dan anak-anak tiri.
“Nafkah terhadap anak adalah menjadi kewajipan terhadap bapa kandungnya meskipun anak tersebut di bawah jagaan ibu atau orang lain.
“Jika seseorang lelaki telah berkahwin dengan janda atau balu yang mempunyai anak, tidak menjadi kewajipan untuk seorang lelaki itu menanggung nafkah anak-anak tersebut.
“Tanggungjawab menanggung nafkah anak-anak tiri adalah kepada bapa kandungnya,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, kesedaran orang ramai untuk membuat tuntutan nafkah anak di Mahkamah Rendah Syariah selepas perceraian didapati semakin meningkat.
“Di peringkat mahkamah, masih ada pihak bapa yang mahu mengurangkan kadar nafkah dengan memasukkan tanggungannya, namun semua itu akan dipertimbangkan hakim syarie dengan melihat tanggungan itu sama ada berbentuk keperluan atau kehendak serta tahap kemampuan bapa.
“Kita biasanya akan memohon pembayaran nafkah anak ini dibuat menerusi potongan gaji bapa sehingga anak berusia 18 tahun,” katanya.
Jelasnya, pembayaran nafkah boleh dilanjutkan lagi sekiranya anak mahu menyambung pengajian sehingga peringkat ijazah pertama.
Sementara itu, bagi si bapa yang tidak mempunyai pendapatan kerana tidak mampu bekerja akibat sakit terlantar atau telah meninggal dunia, tanggungjawab nafkah anak itu wajib dilunaskan datuk atau waris lelaki dari keluarga bapa.














