PETALING JAYA – Sebanyak lima kes cubaan culik melibatkan pelajar sekolah dilaporkan antara 22 September hingga kelmarin di Pahang, Kelantan dan Perak dengan empat daripadanya telah disahkan palsu.
Di Pahang Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian cubaan culik seorang kanak-kanak berhampiran padang bola Sekolah Kebangsaan Jeram Landak, di sini kelmarin.
“Pada masa ini mangsa berusia 11 tahun masih lagi terkejut dan selepas ini kita akan mengambil maklumat daripadanya bagi membuat lakaran fotofit suspek.
“Kita juga telah mengaturkan rondaan secara berterusan di seluruh daerah ini bagi memantau dan mengelakkan kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya di sini semalam.
Dalam kejadiaan kira-kira pukul 7.15 petang itu, mangsa berusia 11 tahun berkenaan berjalan kaki pulang ke rumah selepas bermain bola sepak di padang bola berhampiran sekolah.
Namun dikatakan semasa berjalan pulang datang sebuah kereta dari arah bertentangan yang tiba-tiba berhenti dan menarik pergelangan tangan kanak-kanak berkenaan.
Azli berkata, kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya terkejut dengan kejadian.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan (menculik dari penjagaan yang sah) yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Di Perak, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan mendapati dakwaan seorang murid perempuan berusia sembilan tahun bahawa dia cuba diculik di hadapan sebuah sekolah rendah di Taman Pinji Mewah, Ipoh adalah tidak benar dan kejadian tersebut telah direka-reka.
Katanya, lima individu telah dipanggil bagi membantu siasatan termasuk rakan sekelas mangsa, dua orang pengawal keselamatan sekolah dan pemandu van yang menghantar kanak-kanak tersebut ke sekolah.
“Berdasarkan siasatan, kita dapati cerita atau laporan yang mengatakan murid itu cuba diculik adalah tidak benar.
“Dia mereka-reka cerita kepada ibunya hanya kerana dia melihat video-video lama yang tular dan berlaku di luar negara berkaitan kes kanak-kanak ditangkap, diculik dan penjualan organ.
“Jadi dia terpengaruh dengan berita itu dan beritahu ibunya sehingga wanita itu membuat laporan polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak semalam.
Menurut beliau, pihaknya juga telah merakam keterangan kanak-kanak Tahun Tiga itu bagi tujuan siasatan.
“Apabila ditanya tujuannya (mereka-reka cerita), dia beritahu mahu lihat bagaimana polis mengambil tindakan dan menjalankan siasatan,” katanya.
Terdahulu, polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes cubaan melarikan seorang murid perempuan di hadapan sebuah sekolah rendah di Taman Pinji Mewah pada Jumaat lalu.
Di Kelantan, Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tiga dakwaan yang mengaitkan individu mencurigakan berada di pekarangan sekolah atau tempat tempat tertentu tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak.
“Kita telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik murid sekolah rendah di daerah Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.
“Siasatan mendapati, individu yang dikatakan berada di kawasan sekolah berkenaan tidak mempunyai niat untuk menculik sebaliknya ada urusan lain.
“Bagi dakwaan kes culik di Kuala Krai pula, individu yang disyaki cuba melarikan kanak-kanak rupa-rupanya kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan penapis air yang mempunyai urusan kutipan bulanan daripada pelanggan di situ,” katanya.
Ujarnya, polis memohon kerjasama orang ramai supaya menghentikan perbuatan sehingga menimbulkan ketakutan dalam masyarakat.
Tambahnya, individu yang terlibat menyebarkan berita tidak sahih boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegusaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -KOSMO! ONLINE














