WAISHAK terpaksa melakukan tiga kerja selepas bersara sebagai tentera.

Pesara buat tiga kerja untuk teruskan hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALIK PULAU – Di saat individu seusianya sibuk melayan cucu dan berehat, situasi berbeza buat segelintir warga emas apabila ada antara mereka yang terpaksa bekerja demi kelangsu­ngan hidup.

Pekerjaan dilakukan bukan satu tetapi tiga dan situasi itu dilalui seorang pesara tentera berusia 63 tahun demi menampung keperluannya bersama isteri di Sungai Burung di sini.

Pesara tersebut, Waishak Nayan berkata, selain mengusahakan kandang lembu, dia juga terpaksa bekerja sebagai tukang rumah dan awak-awak.

“Duit pencen sebanyak RM1,800 sebulan memang tidak cukup untuk tampung kos sara hidup selama sebulan.

“Dengan kenaikan kos barang mentah termasuk barangan ke­perluan isi rumah memaksa saya buat lebih dua kerja hari ini. Berbanding 15 tahun dahulu, RM800 sebulan pun boleh hidup senang.

“Jualan ternakan hanya dapat sambutan ketika Hari Raya Korban sahaja. Hari ini, saya kena buat kerja lain untuk tampung kos makanan lembu dan bayar gaji pekerja,” katanya kepada ­Kosmo! di sini semalam.

WAISHAK (kanan) mengambil upah sebagai awak-awak bagi menampung kehidupan bersama isteri dan seorang anak yang masih bersekolah di Sungai Burung, Balik Pulau.

Cerita Waishak lagi, dia masih tidak dapat menjangkakan sampai bila dirinya perlu terus mengerah keringat memandangkan kea­daan ekonomi negara ketika ini mendesak untuknya te­rus mencari sumber pendapatan.

Bekas kakitangan kerajaan, Ishak Ahmad, 65, pula memberi­tahu, wang pencen RM1,500 yang diterima tidak cukup menampung kehidupannya menyebabkan dia terpaksa bekerja sebagai tukang cuci.

“Duit pencen RM1,500 tidak cukup untuk bertahan sampai hujung bulan. Bil air, elektrik, minyak kereta dan motosikal serta kos barangan keperluan sudah cecah RM1,300 dan baki RM200 sahaja.

“Saya kini bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bangunan komersial dan pendapatan RM900 sebulan,” tambahnya.

Musa Shafie mencari bahan terbuang di longgokan sampah di Taman Ria Jaya di sini untuk dijual bagi memperolehi pendapatan hariannya.

Sementara itu di Sungai Petani, Kedah, Musa Shafie, 75, berkata, dia perlu mengerah kudrat sebagai pengutip bahan terbuang bagi meneruskan kehidupan bersama isterinya Aisyah Arif, 65, di Taman Ria Jaya di sini sejak 10 tahun lalu.

Menurut Musa, walaupun pada sesetengah orang kerjanya itu sering dipandang rendah, namun bagi bapa kepada lima anak ini dia tetap bersyukur kerana memperoleh rezeki halal biarpun bergelumang dengan bau busuk setiap hari.

Musa yang berasal dari Kodiang berkata, sebelum ini dia menjual ikan di beberapa tempat di Perlis tetapi selepas perniagaannya mengalami kerugian menyebabkan dia dia mengambil keputusan menetap di Sungai Petani dan mula menjadi pengutip bahan terbuang menggunakan motosikal yang diubah suai.

“Melalui pendapatan menjual bahan terbuang seperti kertas dan barangan berasaskan besi inilah saya meneruskan hidup sejak 10 tahun lalu.

Berita berkaitan: Pesara makin merana duit KWSP habis bayar hutang

Berita berkaitan: Warga emas kerja sampai hujung nyawa

“Pendapatan tidak menentu dan dengan tenaga tua saya ini bolehlah dapat antara RM20 ke RM30 sehari. Walau pun tidak boleh bermewah seperti orang lain namun pendapatan ini cukup untuk menyara kehidupan kami suami isteri,” katanya yang mengidap penyakit darah tinggi.

Kata Musa, empat daripada lima anaknya yang terdiri daripada seorang lelaki dan tiga perempuan telah berkahwin dan kehidupan mereka juga sukar kerana hanya bekerja sebagai pemandu lori dan operator kilang sahaja.

Manakala anak lelaki bongsunya yang juga bekerja sebagai operator sebuah kilang dan belum berkahwin masih tinggal bersamanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN