fbpx
Seorang warga emas masih mengambil tempahan baju Melayu dan lain-lain bagi menampung kehidupan harian yang semakin mencabar. – Gambar hiasan

Pesara makin merana duit KWSP habis bayar hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kebanyakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan oleh pesara habis digunakan dalam tempoh singkat bagi membayar hutang hingga memaksa golo­ngan itu kembali bekerja bagi menampung kehidupan yang semakin mencabar.

Rata-rata pesara yang ditemui mengakui, hutang rumah, kereta, pinjaman peribadi dan lain-lain telah mengakibatkan wang KWSP yang mereka keluarkan hanya singgah sekejap sahaja di dalam akaun bank sebelum ia berpindah tangan.

Ekoran itu, mereka tiada pilihan melainkan terpaksa kembali ke lapangan walaupun sepatutnya sudah berehat dan bermain dengan cucu pada usia yang melepasi 60 tahun.

Seorang warga emas yang ingin dikenali sebagai Yip, 65, berkata, dia terpaksa bekerja sebagai pembantu stor sejuk beku dan menyusun buah-buahan di sebuah pasar raya kerana sudah kehabisan duit.

Katanya, dia kini tinggal bersendirian di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur dan kesemua duit simpanannya telah habis digunakan untuk membayar hutang rumah, kereta dan lain-lain.

“Ekonomi sekarang tidak bagus, duit juga tidak cukup, sekarang sudah tiga bulan saya be­kerja di sini. Syukur ada tempat bekerja walaupun lanjut usia.

“Duit simpanan sudah habis sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan, KWSP juga digunakan untuk selesaikan hutang,” kata­nya.

Semalam Kosmo! melaporkan seramai 1.2 juta pekerja dan pesara swasta yang berumur antara 55 hingga 64 tahun masih lagi meneruskan pekerjaan dan sebahagian mereka kembali be­kerja dengan melakukan pelbagai tugas untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Kekurangan dana persaraan dalam KWSP selepas banyak dihabiskan melalui pelbagai skim pengeluaran khas selain kos sara hidup meningkat menjadi punca mereka kembali bekerja selepas bersara.

Menurut Yip, ketika muda, dia bekerja sebagai penyelia tapak di sebuah syarikat pembinaan selama 40 tahun sebelum berhenti untuk melakukan kerja yang le­bih ringan.

Tambahnya, dia yang tidak mempunyai keluarga masih memerlukan wang untuk teruskan hidup walaupun terasa penat.

Sementara itu, seorang penjaga parkir, P. Sunny, 63, berkata, dia selesa untuk terus bekerja.

“Orang ramai kata umur saya perlu rehat, saya tidak suka duduk rumah.

“Sekarang masih lagi perlu sara keluarga di rumah, isteri saya tidak bekerja, anak saya masih tinggal bersama-sama, saya selesa berada di luar daripada di rumah,” kata bekas penyelia sebuah hotel itu.

Ujar Sunny, sudah lima tahun dia bekerja di situ dan setakat ini, dia tidak merasakan sebarang masalah meskipun sudah tua.

Dalam pada itu, S. Tamilsilvam, 60, berkata, dia masih be­kerja sebagai pemandu peribadi di Ipoh, Perak walaupun dahulunya 12 tahun bertugas sebagai pengawal ke­selamatan di Singapura.

“Masalah sakit jantung membuatkan saya sekarang kerja sebagai pemandu peribadi sahaja atau e-hailing.

“Saya masih bekerja kerana tekanan ekonomi, kadar inflasi, kos sara hidup tinggi tak seimbang dengan pendapatan,” katanya yang perlu membayar sewa rumah dan ansuran kereta.

Tambahnya, dia pernah berehat selama tiga tahun sebelum mengambil keputusan untuk kembali bekerja kerana kekura­ngan wang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN