PADA tahun 2013, Mercedes Benz telah memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak terbaharu mereka dikenali GLA di Pameran Automotif Frankfurt, Jerman.
Garaj pada minggu ini pula membawakan model generasi kedua SUV itu yang dilancarkan lebih setahun lalu di Malaysia.
Di negara ini, Mercedes Benz Malaysia menawarkan tiga varian daripada model GLA sebagai pilihan seperti GLA 35, GLA 250 dan GLA 200.
Model yang penulis pandu uji kali ini adalah paling asas dalam barisan yang ditawarkan iaitu GLA 200 dengan warna denim blue (biru).
Untuk pengetahuan pembaca, model GLA yang dijual di Malaysia ialah unit pemasangan tempatan (CKD) di kilang Mercedes Benz di Pekan, Pahang.
Bercerita pada bahagian luarannya, pada pandangan penulis, rekaan generasi baharu ini kurang garang dan agak lembut berbanding model lama yang nampak lebih agresif.

Namun secara keseluruhan, rekaannya masih sedap mata memandang dan menampakkan karakter sebuah SUV.
Pada bahagian depan, rekaan jerijinya besar di samping lampu utama jenis diod pemancar cahaya (LED) dan chrome skid plate di sebelah bawah.
Sebelah sisi pula, GLA 200 nampak kemas dengan kemasan krom pada bingkai cermin dengan rim satu tona berwarna perak bersaiz 18 inci.
Bahagian lampu belakang jenis LED juga sangat cantik pada waktu malam.
Kemasan krom pada sebelah bawah bampar belakang pula menjadi pelengkap dan memberikan imej premium pada model ini.
Masuk ke ruang kabinnya, GLA 200 menggunakan papan pemuka dengan skrin paparan terapung seperti model Mercedes Benz kompak lain. Paparan skrin itu bersaiz 10.25 inci dengan pelbagai fungsi.
Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan pula boleh dilaras secara elektrik dengan fungsi memori serta balutan kulit.
Walaupun ini varian paling rendah, tetapi Mercedes Benz Malaysia turut menawarkan paddle shifter dan unit kawalan penghawa dingin tunggal.
Ia turut hadir dengan lampu ambient dengan 64 warna yang boleh ditetapkan.

Unit infotainment juga hadir dengan fungsi sambungan Apple CarPlay dan Android Auto dengan wayar. Di sebelah bawah bahagian tengah konsol papan pemuka pula terletak pengecas tanpa wayar.
Selain itu, GLA 200 hadir dengan ciri-ciri bantuan parkir, kamera undur dan pintu but belakang yang boleh dikawal secara elektrik.
Berbanding generasi pertama, model terbaharu ini lebih 14 milimeter (mm) pendek, tetapi jarak antara roda ditambah 30mm untuk memberikan ruang kaki di belakang yang lebih luas.
Kapasiti ruang simpanan barang lebih luas berbanding generasi sebelum ini.
GLA 200 menggunakan platform dipanggil Modular Front Architecture (MFA) dan hadir bersama suspensi belakang jenis four-link independent.
Model ini menggunakan enjin 1.3 liter turbo dengan transmisi tujuh kelajuan automatik DCT. Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 163hp pada 5,500rpm dan tork tertinggi 250Nm pada 1,620 hingga 4,000rpm.

SUV ini juga mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 8.7 saat dengan kelajuan maksimum 210km/j.
Untuk faktor keselamatan, model ini hadir dengan ciri-ciri brek kecemasan autonomous, amaran bukaan pintu dan Pre-Safe, sistem pengesanan tekanan angin tayar dan amaran titik buta.
Kesimpulannya, model SUV kompak premium ini penulis rasakan agak berbaloi dengan apa yang ditawarkan berbanding ada antara pesaingnya yang meletakkan harga lebih RM300,000 untuk spesifikasi hampir sama.
Walaupun GLA 200 varian paling rendah, tetapi masih menawarkan beberapa ciri-ciri premium di samping kapasiti enjin kecil dan menawarkan penggunaan petrol yang menjimatkan.Selain itu, ia miliki kuasa yang sepadan.
Jika anda rasa mampu untuk komitmen kewangan sekitar RM2,500 sebulan selama sembilan tahun, mungkin model ini boleh menjadi antara dalam senarai pilihan.














