GUA MUSANG – Peribadi romantis, rajin bekerja dan bijak menyusun kata-kata manis dikatakan menjadi kelebihan kepada lelaki warga asing untuk memikat wanita-wanita Orang Asli yang tinggal di perkampungan berdekatan ladang dan kebun sayur di daerah ini.
Tidak hanya menjalinkan hubungan cinta, ada dalam kalangan wanita Orang Asli yang memilih untuk berumah tangga dengan warga asing kononnya selepas jatuh cinta dengan keperibadian pasangan mereka.
Difahamkan, anggaran jumlah pekerja asing terutama dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar yang bekerja di ladang-ladang dan kebun sayur sekitar Gua Musang kini mencecah ribuan orang.
Seorang wanita Orang Asli yang mahu dikenali sebagai Azira, 22, berkata, selain pandai memberi ayat manis, warga asing di kawasan itu juga rajin bekerja menyebabkan ramai gadis di kampungnya mudah untuk jatuh cinta.
Dedahnya, dia sendiri pernah mengambil keputusan untuk lari dari rumah keluarga semata-mata untuk mengikut kekasih warga Indonesia.
“Selepas hampir seminggu menghilangkan diri mengikut teman lelaki warga Indonesia untuk bekerja di sebuah negeri, saya akhirnya pulang semula ke kediaman keluarga di Kampung Sendrop di sini.
“Saya akui tertarik dengannya kerana kata-kata manis, dia pandai memujuk dan bersikap lemah lembut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Azira berkata, akibat tekanan hebat ahli keluarga yang sentiasa berusaha mencarinya, dia akhirnya memilih untuk kembali ke pangkuan keluarga dan berkahwin dengan lelaki Orang Asli dari Pahang.

Seorang lagi wanita dikenali sebagai Julia, 20, berkata, dia pernah terjebak cinta dengan warga asing yang bekerja di kebun sayur di kawasan berhampiran kampungnya.
Katanya, dia jatuh cinta dengan lelaki warga Indonesia ketika mereka bersama-sama bekerja di ladang yang terletak di kawasan Lojing.
“Lelaki warga asing pandai mengambil hati dan sering beri kata-kata manis berbanding rakan lelaki sebangsa kami.
“Bagaimanapun, saya hanya sempat menjalin cinta selama enam bulan dan tidak sempat berkahwin kerana ditentang hebat oleh keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, nasib malang dilalui seorang lagi wanita Orang Asli, Milah, 26, yang mengakui pernah berkahwin dengan lelaki Bangladesh sebelum dia ditinggalkan.
Katanya, semua detik manis pada awal perkahwinan hanya tinggal kenangan apabila dia kini digantung tidak bertali oleh bekas suaminya.
“Perkahwinan saya hanya sempat bertahan selama lapan bulan sebelum suami pulang ke negara asal dan sudah tidak kembali ke sini lagi.
“Saya mengaku menderita kerana dia tidak memberi duit belanja dan sepanjang kami bersama, dia hanya mengutamakan keluarganya di Bangladesh,” katanya.
Sementara itu, seorang ibu Orang Asli, Leha Jali, 46, berkata, anaknya pernah melarikan diri lima tahun lalu bersama seorang pekerja kebun warga Indonesia.
Katanya, anak gadisnya itu dilihat berubah sikap apabila kerap bermain telefon bimbit selain suka berahsia.
“Ketika mereka menjalin hubungan cinta, anak saya sentiasa resah sehinggalah kami sekeluarga syak dia mahu mengikut kenalan lelakinya yang merupakan lelaki Indonesia.
“Saya mendapat tahu dia sering berhubungan dan berjumpa secara sembunyi dengan lelaki Indonesia itu,” katanya.
Tambah Leha, bukan sahaja anaknya, namun boleh dikatakan ramai gadis Orang Asli bercinta dan lari dari rumah mengikut teman lelaki warga asing sebelum pulang ke pangkuan keluarga selepas tidak tahan hidup bersama pasangan masing-masing.














