fbpx
JASMINE SURAYA

Agama? Itu sangat peribadi – Jasmine Suraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT dilayangkan ajakan mengadakan sesi fotografi bersama Pose, pelakon genit itu dilambung keterujaan. Masakan tidak, kali terakhir dia bertandang ke Studio Media Mulia sekitar Februari tahun lalu.

Lebih setahun tidak bertamu, pertemuan tempoh hari terisi dengan imbasan memori lucu saat menjadi penghias sisipan hiburan Kosmo! sebelum ini.

“I pernah jatuh kat sini ya. Tak ingat bila tapi betullah di sini. Sebab pakai heels tinggi sangat. Malunya rasa,” ujarnya tersipu sambil ketawa.

Itulah Jasmine Suraya, orangnya cukup mesra dan mudah diajak bercerita.

Perbualan dimulai dengan topik santai tentang rutin kariernya yang baru selesai penggambaran sebuah naskhah arahan Ghaz Abu Bakar.

MENYUKAI fesyen tetapi kata Jasmine, dia enggan terlibat dalam bisnes berkaitan bidang itu. Sebaliknya kini sibuk dengan perusahaan jeruk kerana sedar produk makanan tidak mengikut peredaran musim.

Hujung bulan ini, pelakon itu akan bercuti ke Scotland sebelum kembali menyambung kerja dengan sebuah drama untuk tayangan slot Akasia TV3 arahan sutradara ternama, Osman Ali.

Bola matanya bersinar teruja. Kata Jasmine projek tersebut menyaksikan kemunculan memegang watak antagonis selepas dua tahun bayang karakter sebegitu hilang dari sisinya.

Walhal akui pelakon yang namanya menjadi kebencian dek watak wanita jahat dalam naskhah Adellea Sofea dan Bidadari Salju itu, awalnya dia enggan lagi menjadi antagonis.

“Sebenarnya saya tak nak buat tetapi ramai kawan cakap, saya patut buat. Barulah lakonan nampak ada variasi memandangkan kebelakangan ini saya hanya bawa watak positif.

“Alasan saya tak nak, sebab takut orang label saya memang pelakon antagonis sahaja.

DEDAH Jasmine, baru-baru ini menerima kiriman e-mel dari Indonesia yang menghulurkan tawaran membintangi sebuah filem di sana. Bagaimanapun, perkara itu masih dalam proses perbincangan.
– MUHAMAD IQBAL ROSLI

“Sebagai pelakon, saya sama macam orang lain, nak ada versatiliti. Tetapi sudah dua tahun tak jadi jahat, jadi saya buatlah,” ujarnya.

Mendepani persediaan memegang watak tersebut dan bersedia untuk kembali dibenci gara-gara kelakuan jahat, aktres kelahiran bumi Kenyalang itu seboleh- olehnya mengelak daripada melakonkan sesuatu yang klise.

“Watak itu mencabar tetapi sangat seronok.

“Cuma biasalah, bila jadi jahat, kita kena guna banyak energi.

“Tetapi satu hal yang penting, saya enggan mainkan watak jahat yang klise.

“Saya mahu penonton faham kenapa dia jadi jahat dan simpati.

“Cuma setakat ini saya tak dapat skrip penuh lagi, jadi belum dapat teroka lebih mendalam tentang watak itu,” katanya lagi.

Jasmine mengakui, mendiang bapanya merupakan seorang pemikir bebas (freethinker), disebabkan situasi tersebut, dia membesar dengan perasaan ingin tahu tentang kewujudan Tuhan.

Tak fikir duit

Hampir sedekad dalam industri, pemilik nama lengkap Suraya Jasmine Chin Xian Mei itu mengakui, biarpun kedudukannya ketika ini sudah selesa, tetapi masih ada impian yang belum tercapai.

Dalam diam, aktres Paskal itu menyimpan sasaran melangkah ke persada antarabangsa. Bukan sekadar sebagai pelakon, bahkan juga selaku penerbit.

“Kalau ikutkan hati, ada lagi impian belum tercapai contohnya lebarkan sayap ke antarabangsa. Jangka hayat pelakon sangat pendek, bila sudah penat mainkan sesuatu watak, jiwa akan ada rasa kosong.

“Jadi saya ada perancangan untuk buat projek tak kisahlah filem pendek atau ‘feature film’.

“Kalau nak ke sana (global), kena cari langkah yang bijak dan selamat serta kurang risiko. Kalau jadi penerbit, sedikit sebanyak dapat membantu saya pergi ke arah itu,” ujar Jasmine yang pernah menerbitkan tiga karya sebelum ini.

Dalam perancangan dan masih jauh untuk dicapai, fokus pelakon berusia 33 tahun itu tetap untuk kerjaya depan mata selaku pelakon.

Cuma, dia tidak lagi mengejar kerja tanpa henti, sebaliknya menjadi lebih selektif.

“Saya tengok semua aspek, pengarah, pelakon, produksi dan skrip. Kalau rasa tak berbaloi, saya tolak. Sebab saya tak fikir soal duit sangat.

“Saya lebih pentingkan dan tengok apa yang boleh dipelajari daripada naskhah itu. Dalam setahun, cuma ada dua atau tiga projek besar yang saya buat,” katanya yang enggan ‘koyak’ mental dek penat bekerja.

Solekan JIJIE ZAINAL Instagram @jijiezainal Dandanan rambut SHASYA BALQISYA Instagram @shasya_balqisya

Pegangan agama

Alang-alang berpeluang berbicara dengan pelakon itu, sempat dilayangkan pertanyaan tentang topik yang menjadi perbualan ramai iaitu kehadirannya menjadi tetamu dalam sebuah majlis agama anjuran Neelofa baru-baru ini.

Tertawa tatkala diajukan soalan tersebut, Jasmine tidak keberatan menterjemahkan rasa hati.
Bersulam nada sedikit sayu, bicaranya adakala tersekat-sekat seperti ada sebuah gambaran yang sukar diluahkan dengan kata-kata.

Berulang kali pelakon itu menekankan ‘perkara ini sangat peribadi untuk saya’.

Riak wajahnya juga menggambarkan betapa sukarnya emosi Jasmine demi memberi kefahaman kepada khalayak tentang sebuah proses dan pengalaman yang dilaluinya.

“Saya tersentuh dengan ayat seorang kawan yang berkata, Tuhan tetap sayangkan kita tak kira apa salah yang kita lakukan. Ringkas tetapi cukup menyentuh.

“Sebagai manusia, biasalah akan ada lalui turun naik dalam hidup. Bila sedang cuba mencari ketenangan jiwa, saya tertarik dengan pegangan Islam.

“Tapi biarlah saya proses ini saya lalui dengan tenang tanpa hebahan kepada umum,” tutupnya.

JASMINE berasa sangat bertuah kerana kedatangannya ke majlis agama anjuran Neelofa dialu-alukan semua rakan selebriti.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN