TIADA istilah mustahil untuk Terengganu FC (TFC) mencipta kejutan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala FA Sabtu ini.
Zulkifli Hamzah, 63, yang merupakan penyerang legenda negeri itu, barisan pemain TFC hanya perlu mengelak sikap rendah diri atau terlalu menghormati pihak lawan biar pun skuad Harimau Selatan dianggap pasukan bukan pilihan.
Bekas penyerang skuad negara era 70-an dan 80-an itu berkata, masanya telah tiba untuk TFC membuktikan kemampuan menamatkan kemarau kejuaraan sejak 11 tahun lalu.
“Pada saya, sekiranya setiap pemain TFC yakin dengan diri sendiri dan tiada perasaan gentar, mereka boleh mempamerkan aksi terbaik serta bermain mengikut rentak tersendiri.
“Walau pun pasukan lawan serba lengkap atau bertaraf Asia sekali pun, pemain TFC jangan sesekali berasa kerdil sebaliknya menunjukkan semangat juang tinggi dan beri lebih dari 100 peratus,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Ibai, Kuala Terengganu semalam.
Zulkifli berpendapat skuad Sang Penyu kini dalam motivasi tinggi dengan membawa momentum kemenangan dalam empat perlawanan terakhir.
Beliau yang merupakan anggota skuad negara yang layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia berpendapat, kelibat pemain sayap, Faisal Abdul Halim akan menjadi penentu nasib TFC pada aksi final tersebut.
“Faisal kini dalam prestasi terbaik namun beliau perlu berwaspada dengan helah atau cubaan pemain lawan yang sudah tentu mahu mengganggu rentak permainan TFC.
“Tidak dinafikan JDT adalah pasukan pilihan di atas kertas namun TFC tidak kurang hebatnya dengan Faisal pasti menjadi senjata selain Kipre Tchetche yang kembali berbisa di depan gol,” katanya.
Zulkifli berkata, permainan skuad Sang Penyu dilihat semakin baik dan jika semua pemain berdisiplin, keputusan akan memihak TFC,” ujarnya yang beraksi sewaktu Terengganu tewas 0-1 kepada Selangor pada final Piala Malaysia 1982.














