GEORGE TOWN – Ramai dalam kalangan pucuk muda hari ini ‘selesa’ memilih untuk menikmati alam percintaan dengan wanita lebih tua kerana golongan usia tersebut dianggap mampu membimbing mereka menjadi insan lebih matang.
Bagaimanapun, sebahagian kekasih berumur yang dicintai itu rupa-rupanya seorang pengikis yang hanya mahukan harta benda dan wang daripada lelaki-lelaki muda.
Nasib malang itu dialami seorang pembantu jurutera syarikat swasta yang mahu dikenali sebagai Aril, 23, apabila wang simpanannya hampir RM30,000 habis dikikis kekasihnya.
Kata Aril, dia telah menjalin hubungan cinta dengan seorang wanita yang usianya 20 tahun lebih tua daripadanya.
“Saya mengenali wanita berusia 43 tahun yang berbadan kecil itu ketika mula memasuki alam pekerjaan selepas tamat latihan industri tiga tahun lalu. Kami bekerja di bawah syarikat sama.
“Saya memang payah nak rapat atau berkawan dengan mana-mana perempuan, tetapi tidak sangka pula hati terpaut dengannya selepas dia meminta nombor telefon saya. Hubungan kawan biasa mula menjadi pasangan kekasih dua tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Aril memberitahu, sepanjang perkenalan memang dia tidak sedar apa yang berlaku, sedangkan ibunya banyak kali menegur perubahan sikapnya yang suka lebihkan kekasih daripada keluarga terutama dalam hal kewangan.
Katanya, mereka kemudian tetap mengikat tali pertunangan pada hujung tahun lalu.
“Saya mula tersedar apabila kurang lima bulan lagi kami bakal melangsungkan perkahwinan apabila wang simpanan kahwin kira-kira RM20,000 semakin susut sehingga RM800.

“Wang simpanan itu tidak termasuk duit hantaran kahwin RM10,000 yang saya sudah berikan kepadanya enam bulan lebih awal. Setiap kali keluar bersama, dia akan pegang dan minta kad bank saya. Saya seperti ‘pak turut’, ikut sahaja kemahuannya.
“Separuh daripada gaji yang diperoleh sebanyak RM2,800 hingga RM3,000 sebulan termasuk elaun kerja lebih masa akan dihabiskan dengan kekasih saya untuk bersuka ria.
“Kami keluar makan, jalan-jalan dan beli barang keperluan rumahnya termasuk kongsi bayaran bulanan rumah sewanya sebanyak RM800,” ujarnya.
Aril memberitahu, sikapnya yang pandai ambil hati dan manja membuatkannya longlai, malah sering tunduk serta suka beralah.
“Mungkin ini dikatakan cinta pandang pertama saya,” katanya.
Aril berkata, tunangnya itu mula menunjukkan perubahan sikap apabila dia mula menangguhkan tarikh pernikahan dengan memberi pelbagai alasan termasuk perlu menyelesaikan urusan keluarga.
“Keluarga saya ada bertemu keluarga wanita itu, namun mereka memberi pelbagai alasan tentang status tarikh pernikahan sehingga kami sekeluarga nekad untuk memutuskan pertunangan pada penghujung Jun lalu.
“Memang saya sebelum itu tidak sedap hati kerana duit semakin susut sedangkan tarikh pernikahan sudah hampir dekat. Banyak lagi urusan perbelanjaan majlis kenduri belum selesai.
“Lebih malang, dia juga langsung tidak sedih dengan keputusan putus tunang,” katanya
Seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta yang mahu dikenali sebagai Ahyan, 25, pula mendakwa, dia berkemungkinan telah menjadi mangsa sihir pengasih seorang wanita yang lebih tua 18 tahun daripadanya yang dikenali sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, dia mula kenal wanita itu menerusi WhatsApp selepas membeli produk makanan yang dijualnya.

“Kami mula rapat dan berjumpa setiap hari meskipun ketika itu pergerakan yang agak terhad. Saya juga sanggup berhabis duit gaji untuknya.
“Apa yang dia mahukan, saya akan turuti sehingga beli pakaian dalam. Dia pula sering menyediakan bekal makanan setiap kali saya mahu pergi ke tempat kerja.
“Saya sudah jarang makan juadah yang disediakan ibu,” ujarnya.
Dakwa Ahyan, dia tersedar selepas terpaksa menjual motosikal kesayangannya jenis Yamaha Y15ZR tahun lalu gara-gara kesempitan wang akibat habis dibelanjakan dengan wanita itu.
“Saya juga sering bermimpi ‘bersama’ dengan wanita-wanita yang tidak dikenali. Selain itu, saya sentiasa teringatkan kekasih saya walaupun sehari tidak ketemu.
“Saya sanggup ulang-alik ke rumahnya dan keluar sehingga lewat pagi hanya untuk temankan dia meskipun hanya duduk di dalam kereta.
“Berat badan saya kini semakin susut dan mula ditegur keluarga dan rakan,” ujarnya yang dinasihati keluarga untuk mendapatkan rawatan secara perubatan Islam di Perak bulan lalu.
Hubungan Ayhan dengan wanita tersebut berakhir selepas dia mula tersedar menjadi mangsa sihir pengasih selain mengalami gangguan misteri setiap kali mahu melelapkan mata.














