fbpx
HAIKAL menunjukkan ikan baung kenerak yang berjaya ditangkapnya di Sungai Pahang.

Kenerak diburu kerana isinya walau rupa hodoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh RIZAM ZAKARIYA

SEBUT sahaja ikan baung, ramai dalam kalangan kita khususnya kaki pancing dan penggemar ikan sungai yang mengenali spesies ikan sungai tersebut.

Namun, jika ditanya mengenai ikan baung kenerak, mungkin ramai yang tidak dapat menggambarkan bagaimanakah rupanya disebabkan mungkin tidak pernah mendengarnya sebelum ini.

Ikan baung kenerak atau nama saintifiknya bagarius yarelli dikatakan banyak terdapat di sepanjang Sungai Pahang dan cabang-cabang sungainya, selain turut ditemui hidup di Sungai Kelantan.

Disebabkan ia bukanlah spesies ikan sungai yang popular seperti patin, kelah dan tenggalan, menyebabkan ikan air tawar itu kurang dikenali.

Tambahan pula rupanya yang hodoh menyebabkan tidak ramai penggemar ikan sungai yang memilih untuk menjadikannya sebagai hidangan.

Bagi seorang kaki pancing yang berasal dari Temerloh, Pahang, Mohd. Haikal Rosli, 36, dia mempunyai alasan tersendiri untuk terus memburu ikan air tawar itu yang turut mendapat jolokan sebagai ikan baung askar, selain ikan ‘monster’.

“Jika nak dibandingkan dengan ikan baung lain seperti baung akar, baung kuning atau baung ekor merah, baung kenerak ini memang mempunyai harga yang jauh lebih rendah di pasaran.

“Malah, boleh dikatakan ikan baung kenerak ini hanya mendapat permintaan di sesetengah tempat sahaja terutama di hulu Sungai Pahang, manakala di tempat lain ia langsung tidak mempunyai nilai.

“Mungkin sebab rupanya yang hodoh selain kulitnya yang kesat dan kasar, menyebabkan ia tidak menjadi pilihan orang ramai untuk dijadikan hidangan berbanding ikan sungai yang lain,” katanya.


IKAN ini boleh dipancing menerusi beberapa teknik antaranya bottom dan casting.

Walaupun begitu jelas Haikal, sebagai kaki pancing tegar, dia gemar memburu ikan tersebut disebabkan penangan tarikan dan daya lawan yang kuat selepas umpan disambar ikan itu terutama yang bersaiz ‘monster’.

Menurutnya, bagi memburu baung kenerak, dia biasanya akan menggunakan teknik bottom dengan menjadikan cengkerik, cacing tanah atau udang sungai sebagai umpan.

Bagi memastikan tali tidak putus ketika melawan, dia akan menggunakan tali utama dengan kekuatan minimum 30 paun dan dipadankan dengan mata kail bersaiz enam atau tujuh.

Katanya lagi, ikan baung kenerak biasanya akan menghuni lubuk yang terletak di kawasan berbatu dan berarus deras. Ia akan kerap memburu makanan pada waktu pagi atau lewat petang.

“Selain teknik bottom, saya juga kerap menggunakan teknik casting dengan menggunakan gewang jenis selaman dasar.

RUPA ikan baung kenerak kurang menjadi pilihan kerana rupanya yang tidak menarik dengan kulit yang kesat dan kasar.

“Bagi memburu ikan ini, saya akan menunggu ketika air tinggi dan deras iaitu selepas waktu hujan kerana baung kenerak gemar bermain di kawasan yang berarus laju.

“Disebabkan air sungai kebiasaannya akan keruh terutama selepas hujan, saya akan menggunakan gewang berwarna kilat bagi menarik perhatian ikan yang berada di dasar sungai,” katanya.

Menurut Haikal, sejak menjadi pemancing tegar kira-kira 20 tahun lalu, dia pernah menaikkan ikan baung kenerak seberat lapan kilogram (kg) yang dipancing di Sungai Pahang sekitar Temerloh.

Namun katanya, berdasarkan cerita pemancing dan nelayan sungai di situ, ikan baung kenerak terbesar yang pernah dinaikkan di sungai berkenaan adalah sekitar 35kg.

Jelas anak jati Temerloh itu lagi, walaupun baung kenerak dikatakan tidak mempunyai harga, namun dia masih mampu menjual ikan berkenaan pada harga antara RM30 hingga RM45 sekilogram terutama kepada penggemar ikan tersebut.

“Bagi penggemar baung kenerak, ikan ini biasanya akan dimasak gulai asam rong yang merupakan hidangan tradisional masyarakat di kawasan hulu Sungai Pahang khususnya di daerah Jerantut.

“Sebab itulah, hanya penggemar baung kenerak yang akan memburu ikan sungai ini untuk dijadikan hidangan kerana rasa tersendiri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN