MESKIPUN gagal memasuki tentera udara semasa menghadiri temu duga pada tahun 1975, Pegawai Waren II (B) Nor Muhammad Ahmad, 65, tidak pernah berputus asa untuk mencuba sehingga beliau berjaya.
Berkat usaha dan doa kedua-dua orang tuanya, Nor Muhammad atau lebih dikenali dengan nama Md. Deka berjaya memasuki tentera darat setahun kemudian selepas terpilih dalam temu duga pengambilan Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kuala Kangsar, Perak pada Mei 1976.
Lebih manis lagi, beliau yang berkongsi tarikh kelahiran dengan kemerdekaan tanah air pada tanggal 31 Ogos 1957 tidak pernah menyangka untuk bergelar seorang anggota komando di dalam TDM selepas beberapa tahun berkhidmat.
Katanya, minat menjadi anggota komando muncul selepas melihat pasukan berkenaan menjalani latihan di kem yang sama beliau ikuti latihan ketenteraan di Kem Mahkota Kluang, Johor.
“Saya memulakan latihan komando pada tahun 1977 selepas dilepaskan unit saya dan melapor diri di Kem Sungai Udang Melaka untuk menjalani latihan selama tiga bulan.
“Selepas menamatkan latihan, saya banyak ditugaskan dalam operasi menentang komunis kerana masa itu sekitar tahun 1970-an memang komunis ramai,” katanya ketika ditemui K2 di kediamannya di Seri Iskandar, Perak.
Begitulah kekuatan jiwa Md. Deka yang sentiasa mahu berbakti kepada negara sejak usia muda. Dilahirkan pada tarikh kemerdekaan negara sehingga dipanggil orang Md. Deka, lelaki ini nyata ‘mewarisi’ nilai patriotisme yang dicetuskan tanggal ‘keramat’ itu.
“Tarikh 31 Ogos 1957 serta nama Md. Deka sangat istimewa bagi saya, malah semua orang yang kenal saya, memanggil saya dengan nama Md. Deka berbanding nama sebenar.
“Saya mengambil keputusan untuk berkhidmat sebagai tentera bagi menzahirkan semangat patriotik serta cintakan tanah air. Alhamdulillah saya berjaya bergelar anggota tentera pada 21 Jun 1976,” imbasnya.
Sama seperti pesara tentera yang pernah berkhidmat pada zaman penentangan komunis, Md. Deka juga menyimpan kisah yang tidak pernah hilang dari ingatannya apatah lagi melibatkan rakan setugasnya.

Insiden letupan jerangkap samar yang dipijak rakan setugasnya ketika dalam operasi menjejak komunis dari Kroh, Pengkalan Hulu, Perak sehingga ke Yala, Thailand pada 1979 tidak pernah terpadam dari kotak ingatan kerana ia berlaku di hadapan matanya sendiri.
Kejadian itu menyebabkan dua rakannya yang dikenali dengan nama John dari Sarawak dan Razali dari Teluk Intan kehilangan kaki mereka selepas terpijak jerangkap samar dipasang komunis ketika itu.
Menceritakan kejadian berkenaan, Md. Deka berkata, selepas diterima sebagai anggota TDM, beliau kemudiannya bertugas di bawah Pasukan Gerak Khas dan bertempur dengan komunis.
Katanya, dia bersama rakan kumpulannya dikerah untuk menjejak pengganas komunis selepas insiden serangan hendap komunis ke atas satu konvoi yang menghantar pesakit dari Baling, Kedah ke Kroh, Perak.
“Masa itu kami berada di kem di Ipoh dan kemudian menerima laporan kejadian serangan hendap ke atas kereta perisai yang mengiringi konvoi tersebut di mana terdapat juga anggota meninggal dunia.
“Malam itu juga kami terus berangkat ke Kroh. Apabila tiba di lokasi serangan, terdapat mayat anggota yang terbakar dan tanpa berlengah kami terus masuk ke Kampung Lalang di Pengkalan Hulu memulakan operasi menjejak komunis yang melakukan serangan,” katanya.
Tambahnya lagi, dia bersama anggotanya menjejak kumpulan komunis tersebut selama 10 hari, namun gagal menemui mereka dan dipercayai kesemua mereka melarikan ke Thailand.
Menurut Md. Deka, mereka kemudian menerima kebenaran daripada Thailand untuk memasuki negara berkenaan melalui Sadao sebelum tiba di Yala dan menemui penempatan komunis yang baru sahaja ditinggalkan.
“Kami menerima kebenaran dari Thailand dan jumpa kem komunis di Yala berada di tengah-tengah kebun getah selain terdapat kebun sayur yang mana digunakan mereka sebagai sumber bekalan makanan.
“Kami sempat bertempur dengan pasukan komunis terbabit dan berjaya membunuh salah seorang daripada mereka, namun seorang anggota kami bernama John terpijak jerangkap samar dan kumpulan komunis berkenaan melarikan diri meninggalkan kem mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, John dihantar ke hospital menggunakan helikopter, manakala dia bersama pasukannya meneruskan pemeriksaan di dalam kem yang ditinggalkan oleh kumpulan komunis terbabit.
Bagaimanapun katanya, ketika dia sedang memasak bubur kacang untuk mereka berbuka puasa di kem berkenaan salah seorang rakannya bernama Razali pula terpijak jerangkap samar di dalam kem tersebut.
“Masa itu saya sedang masak bubur dan Razali datang ke arah saya. Kira-kira 10 meter sebelum dia menghampiri saya, saya terdengar bunyi letupan dan jeritan daripada Razali dan melihat dia terbaring menahan kesakitan selepas itu.
“Ketika terdengar bunyi letupan, darah dan daging dari kaki Razali yang hancur terpijak jerangkap samar bertaburan dan percikannya mengenai saya, tetapi saya kuatkan semangat membantunya.
“Kami segera menghubungi helikopter untuk mengambil Razali dan dibawa ke hospital bagi menerima rawatan sambil mengutip cebisan kakinya yang berselerakan di tanah,” katanya.
Selepas beberapa hari di kem komunis berkenaan, Md. Deka bersama rakannya pulang ke tanah air dan selepas insiden itu kedua-dua rakannya ditukarkan ke rejimen yang lain.
“Meskipun banyak operasi menentang komunis yang saya sertai antaranya di Raub, Pahang, bagi saya operasi di Kroh sehingga ke Yala itu merupakan antara yang tidak dapat saya lupakan kerana kita dapat lihat betapa kejamnya komunis membunuh pasukan konvoi dan menyebabkan dua rakan saya terpijak jerangkap samar hingga hilang kaki mereka,” katanya.
Sementara itu, menceritakan asal usul nama Md. Deka, Nor Muhammad berkata, disebabkan lahir pada tarikh bersejarah, 31 Ogos 1957, dia panggil dengan nama berkenaan oleh keluarga dan penduduk kampungnya di Teluk Bakong, Lambor Kanan, Bota, Perak.

Katanya, berkongsi tarikh kelahiran dengan sambutan Hari Kebangsaan sudah cukup memberi makna tersendiri buat dirinya yang telah berkhidmat selama 22 tahun dalam TDM.
Katanya, gelaran tersebut pada mulanya diberikan oleh penghulu kampungnya dan disebabkan sering dipanggil Md. Deka oleh keluarga dan penduduk kampung, tiada yang mengenali nama sebenarnya.
Ketika ditanya mengenai sambutan kemerdekaan tahun ini, Md. Deka berkata, setiap tahun dia bersama keluarganya akan menyambut bulan kemerdekaan dengan penuh semangat sambil mengenangkan perjuangan pasukan keselamatan selama ini.
Luahnya, meskipun negara kita sudah merdeka selama 65 tahun, dia melihat tidak ramai anak Melayu hari ini yang bersemangat menyertai tentera dan berbakti kepada negara, sebaliknya lebih memilih melaksanakan kerja sendiri.
“Saya tahu dahulu nak jadi tentera mudah berbanding sekarang, tetapi itu bukan halangan kerana jika mereka benar-benar bersemangat dan cintakan negara sudah pasti ia akan menjadi pendorong untuk mereka terus mencuba dan berjaya.
“Saya masih ingat, dahulu, kalau buka sahaja pengambilan tentera beribu-ribu orang datang mencuba nasib untuk menjadi tentera dan prosesnya sampai malam dan mereka tetap semangat menanti,” katanya.
Harapan Md. Deka agar generasi hari ini menghargai kemerdekaan yang kita kecapi hari ini dengan menghargai jasa pejuang-pejuang sebelum ini.














