AMALAN pengurusan tanah secara mapan merupakan satu aspek yang harus ditekankan oleh setiap petani dalam usaha melestarikan alam sekitar.
Pelbagai pendekatan pengurusan tanah secara lestari boleh dilaksanakan, antaranya termasuklah menggunakan formulasi biochar bagi penghasilan tanaman yang berkualiti.
Biochar adalah bahan berupa seperti arang yang terhasil melalui proses pembakaran sisa-sisa pertanian misalnya sekam padi, buluh dan lain-lain. Secara umumnya, ia kemudian dihancurkan dan diaplikasikan pada tanah tanaman.
Menyedari kepelbagaian fungsi biochar terhadap sektor pertanian, sekumpulan pelajar dari Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Kuala Lumpur di bawah penyeliaan Pensyarah Kanan Dr. Rosazlin Abdullah terdorong untuk mengkaji secara lebih mendalam potensi penggunaan bahan tersebut.
Pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang sains biologi alam sekitar, Nur Sa’adah Abdul Halim menerangkan, biochar adalah bahan yang dihasilkan daripada biojisim seperti sisa pertanian, penternakan dan perhutanan.
Penghasilan biochar adalah melalui proses pirolisis iaitu sisa tersebut akan dibakar dalam keadaan oksigen terhad pada suhu yang berbeza bergantung kepada jenis biojisim yang digunakan.
“Antara biojisim yang boleh digunakan untuk menghasilkan biochar adalah sisa pertanian seperti semua sisa bahagian pokok yang tidak digunakan seperti kulit, daun, dahan, pelepah serta najis haiwan.
“Kami telah mencipta tong yang direka khas bagi menghasilkan biochar dan sesuai digunakan untuk komuniti peladang. Komuniti boleh menghasilkan biochar sendiri menerusi sisa biojisim yang tersedia di ladang mereka,” katanya kepada K2.

Berkongsi lanjut, Nur Sa’adah berkata, penyelidikan dilakukannya tertumpu kepada penggunaan biochar sebagai pembaik pulih tanah yang berpotensi meningkatkan pertumbuhan hasil tanaman serta meningkatkan kesuburan tanah.
Menurutnya, matlamat kajiannya adalah untuk menentukan kesan penggunaan biochar terhadap pertumbuhan, fisiologi, hasil serta penjanaan protein tumbuhan yang telah ditanam.
“Biochar merupakan salah satu bahan organik yang boleh digunakan sebagai pengubahsuaian tanah untuk memperbaiki sifat tanah dan menyediakan persekitaran yang sesuai bagi penanaman.
“Biochar juga boleh menahan degradasi dan karbon dalam tanah untuk jangka masa yang lama,” katanya.
Jelasnya, bahan organik ini boleh memperbaiki hampir mana-mana jenis tanah termasuk peranannya sebagai peningkat kapasiti pertukaran kation, pengurangan larut lesap nitrogen, peningkat pengekalan air, peningkat bilangan mikrob tanah yang bermanfaat dan meningkatkan kesuburan tanah yang berasid.
Justeru katanya, biochar yang diaplikasikan ke atas tanah dapat membaik pulih tanah seterusnya meningkatkan hasil tanaman.
Selain itu, katanya, biochar mampu memberi perlindungan daripada pencemaran alam sekitar dengan mengurangkan pembebasan gas rumah hijau seperti gas metana (CH4) dan nitrogen oksida (N2O) ke udara hasil daripada sisa pertanian yang terbiar.
Pelajar PhD dalam bidang molekular biologi dan biokimia, Aaron Avit Ajeng pula berkata, ruang rongga dan pori biochar yang besar serta permukaannya yang luas juga amat sesuai digunakan untuk pembiakan mikrob baik.
“Inovasi berdasarkan pembiakan mikrob baik untuk tumbuhan dan tanah kerana berlaku pelekat biofilem bakteria di rongga biochar.
“Biofilem yang matang akan melepaskan bakteria-bakteria ini setelah diaplikasikan ke dalam tanah dan ia bertindak menyuburkan tanah sekali gus meningkatkan hasil pertanian,” ulasnya.
Sementara itu, Pravin Vejan yang juga pelajar PhD dalam bidang bio nano komposit mengkaji bagaimana biochar boleh menjadi campuran kepada bahan kimia seperti baja urea.
Menurutnya, kelemahan baja urea ialah bahan ini cepat meruap ke udara dan larut lesap ke dalam tanah sekali gus memberi kesan kepada alam sekitar.
“Sebagai contoh, daripada 100 peratus baja urea yang digunakan, hampir 40 peratus daripadanya akan meruap dan hilang ke udara dan tanah.
“Oleh itu, biochar adalah bahan berpotensi yang boleh diformulasikan sebagai inovasi baja perlepasan terkawal dan dapat mengoptimumkan penggunaan baja kimia ke atas tanaman.
“Melalui kajian ini, saya menjadikan biochar sebagai lapisan kepada baja urea bagi mengatasi masalah tersebut,” jelasnya.
Tambah Vejan, melalui kaedah ini ia dapat mengurangkan kesan rumah hijau, pencemaran alam sekitar dan juga dapat mengatasi masalah kos pengurusan pembajaan.
Jelasnya, biochar yang digunakan untuk menyaluti baja urea itu dihasilkan daripada tempurung kelapa sawit.

Melalui kaedah itu, Vejan percaya ia dapat menyumbang kepada pengurusan lebih baik kepada sisa pertanian seperti tempurung kelapa sawit di negara ini.
Sementara itu, pelajar sarjana bagi jurusan teknologi pengurusan alam sekitar, Kogila Doraraj pula berkata, penyelidikannya lebih tertumpu kepada penghasilan baja kompos daripada sisa pemprosesan industri makanan yang dicampur dengan biochar.
Terangnya, seperti mana yang diketahui, sisa pemprosesan industri makanan kebiasaannya akan berakhir di tapak pelupusan atau dijadikan kompos.
“Saya cuba untuk meningkatkan kualiti penghasilan kompos tersebut dengan inovasi formula melalui campuran bersama biochar. Impaknya, nutrien daripada baja yang dihasilkan bertambah dan kualiti kompos yang dihasilkan juga meningkat.
“Kompos dihasilkan ini sesuai digunakan untuk pelbagai jenis tanaman sebagai baja,” katanya.
Tambah Doraraj, biochar yang digunakannya dalam proses ini adalah terhasil daripada sekam padi.
Kongsinya, tempoh masa yang diperlukan untuk memproses kompos menjadi baja adalah lebih singkat jika ditambah dengan biochar.
Pelajar sarjana sains dalam bidang pertanian dan bioteknologi alam sekitar, Noor Sharina Mohd. Rosli pula mengkaji penggunaan biochar dalam sistem tanaman hidroponik.

Menurutnya, dia telah menjalankan satu projek penanaman salad merah menggunakan biochar sebagai bahan media tanaman hidroponik.
“Penggunaan biochar sebagai bahan media hidroponik dapat meningkatkan kualiti dan kesuburan tanaman serta membantu dalam pengurusan sisa pertanian dengan baik.
“Selain itu, penggunaan biochar dapat mengatasi masalah pertumbuhan alga dalam sistem hidroponik yang boleh mengurangkan nilai ekonomi sayuran yang ditanam,” jelasnya.
Noor Sharina memberitahu, penggunaan biochar membantu pengusaha hidroponik mengatasi masalah pertumbuhan alga yang menyebabkan pengurangan nilai ekonomi tanaman berpunca daripada penghasilan toksin dan bau.
Penggunaan biochar boleh dijadikan sebagai alternatif kerana membantu mengurangkan pertumbuhan alga dalam sistem hidroponik, selain dapat memastikan tanaman yang dihasilkan selamat untuk dimakan.
“Mempunyai ruang pori yang besar, biochar mampu menyerap alga daripada terus tumbuh.
“Selain itu, biochar berfungsi sebagai penapis air kerana membantu meningkatkan kualiti air dan larutan air baja,” katanya.
Di samping itu kata Noor Sharina, biochar sebagai media dalam sistem hidroponik adalah stabil dan mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap degradasi mikrob.














