fbpx
Anggota polis mengangkat mayat seorang lelaki yang terlibat dalam kejadian pertengkaran di sebuah rumah di Jalan Mohamad Naseh, Housing Trust di Ipoh semalam.

Bertengkar harta pusaka punca abang bunuh adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Pertengkaran dua adik-beradik mengenai harta pusaka berakhir dengan kejadian me­nyayat hati apabila kedua-dua mereka maut dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Mohamad Naseh, Housing Trust di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, mangsa berusia 67 tahun yang juga pesara ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di badan dipercayai dibunuh abangnya yang berusia 70 tahun.

Suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi kemudiannya membunuh diri dengan cara menggantung lehernya menggunakan tali rafia di luar rumah itu.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian menemui seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman di badan di bahagian dapur.

“Seorang lagi lelaki ditemui di luar kediaman itu dengan leher tergantung. Seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an yang juga isteri mangsa berada di dalam rumah berkenaan ketika kejadian.

“Wanita itu mengalami kece­deraan di jari dipercayai ketika cuba meleraikan pertengkaran dua beradik tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, dua beradik tersebut kerap bertengkar sebelum ini.

Polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian menjumpai sebilah golok di sisi mayat pemandu teksi.

“Setakat ini, polis belum dapat mengesahkan berapa banyak kesan tikaman pada tubuh badan si mati.

“Mayat dua beradik itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk dibedah siasat,” katanya.

Pemeriksaan mendapati, dua beradik tersebut tinggal bersama di rumah berkenaan bersama isteri masing-masing serta anak lelaki mangsa.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN