fbpx
Setiap anggota polis berikrar untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. – Gambar hiasan

Tekanan, birokrasi naik pangkat punca ramai polis pencen awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Masalah birokrasi untuk kenaikan pangkat dan tekanan kerja yang melampau menjadi punca utama yang mendorong segelintir anggota polis berpangkat rendah memilih untuk pencen awal sebelum usia 60 tahun.

Situasi itu didakwa melibatkan kebanyakan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang berdepan dengan jumlah kes banyak saban hari terutama di kawasan bandar-bandar besar.

Hussin

Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Kebajikan Veteran Polis Malaysia, Hussin Awang Ngah berkata, ada juga pegawai yang pencen awal atas masalah kesihatan, namun jumlahnya sedikit dan tidak membimbangkan.

Katanya, ketika berkhidmat, dia melihat banyak anggota polis berpangkat rendah terbeban dengan tugasan hingga menyebabkan mereka mengalami tekanan dan membuat keputusan untuk bersara awal.

“Ia banyak melibatkan anggota di bandar besar. Jika di luar bandar, tugasannya agak berbeza dan tidak seteruk seperti di Lembah Klang.

“Ada juga anggota yang pencen datangnya daripada jabatan lain tetapi tidak seramai di JSJ. Ketika jadi polis, saya dapati bidang tugas kami terlampau ba­nyak dan cukup berat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Hussin yang juga bekas Pre­siden Persatuan Bekas Polis Malaysia memberitahu, tugas polis bukan hanya di daratan bahkan perlu melakukan siasatan dan hadir ke lokasi sekiranya ia melibatkan kematian atau insiden di udara dan laut.

Tambahnya, beban tugas yang terpaksa ditanggung amat berat ditambah dengan kekangan jumlah anggota menyebabkan ada dalam kalangan mereka terpaksa bekerja antara 20 hingga 36 jam.

“Contoh jelas ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan apabila anggota perlu kerja dalam tempoh lama hingga menyebabkan mereka tidak cukup rehat. Lebih teruk apabila terpaksa mencapai sasaran kes yang telah diberikan oleh pihak atasan,” katanya.

Ujar Hussin, beban itu ditambah dengan tekanan daripada pihak atasan.

“Ia sangat bahaya apabila sampai ke tahap sukar mengawal tekanan,” katanya.

Menurut Hussin, situasi pencen awal juga didorong oleh karenah birokrasi dalam kenaikan pangkat.

“Kumpulan yang ada ‘kabel’ dilihat lebih cerah untuk naik pangkat berbanding mereka yang betul-betul berkualiti tetapi tiada ‘orang dalam’. Amalan ini sangat tidak adil buat mereka yang pandai buat kerja,” katanya.

Menurut Hussin, ada dalam kalangan anggota yang sudah berkhidmat hampir 40 tahun dan akhirnya pencen dengan pangkat lans koperal sedangkan dia sangat berpengalaman dan layak untuk naik pangkat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menambah 30 peratus jumlah keanggotaan di kawasan yang kritikal mengikut nisbah penduduk.

“Kita mahu PDRM melaksa­nakan kenaikan pangkat secara ‘time-based’ seperti Angkatan Tentera Malaysia.

“Saya sarankan agar hanya PDRM diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memudahkan saluran dana untuk kebajikan warganya. Ketika ini terdapat 18 jabatan berada di bawah KDN,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN