JOHOR BAHRU – Sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi kini semakin rakus mengaut keuntungan termasuk menjalankan urusan jual beli bahan api itu di tengah laut melibatkan kapal-kapal dagang serta nelayan asing.
Tidak cukup dengan itu, sindiket yang dipercayai dikuasai oleh orang kenamaan (VIP) bergelar Datuk ini turut bersekongkol dengan pengusaha stesen minyak dan pemilik jeti untuk ‘merompak’ hasil negara.
Sumber memberitahu, terdapat lima sindiket yang aktif melakukan kegiatan penyeludupan minyak diesel di Johor sehingga melibatkan kerugian puluhan juta ringgit.
Sindiket ini juga disyaki dilindungi kumpulan gangster yang mula beralih arah dalam menjalankan bisnes haram mereka.
Mendedahkan kegiatan sindiket itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, aktiviti penyeludupan minyak diesel sebenarnya sudah lama berlaku dalam negara.
Namun katanya, beberapa kekangan terpaksa dihadapi pihak berkuasa dalam membenteras aktiviti itu termasuk wujudnya pembocor maklumat atau ‘tonto’ ketika operasi dijalankan.
Katanya, sindiket ini juga semakin berani meluaskan kegiatan termasuk memindahkan diesel bersubsidi yang ‘dikebas’ dari stesen minyak kepada kapal-kapal dagang asing di tengah laut.
“Modus operandi yang digunakan sindiket bermula dengan mengubah suai lori jenis satu tan, malah ada juga lori pasir yang digunakan untuk ‘menyedut’ diesel di stesen-stesen minyak.
“Lori akan diubah suai dengan memasang tong berkapasiti 6,000 liter pada bahagian belakang lori, sebelum ditutupi dengan kanvas bagi mengelak dikesan,” katanya dalam temu bual eksklusif di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor baru-baru ini.

Tambah beliau, tong-tong ini juga dipasang sistem paip automatik yang mana ahli sindiket akan mengisi minyak seperti biasa melalui tangki minyak lori-lori berkenaan yang kemudian disalurkan ke tong yang ada di bahagian belakang.
“Mereka akan isi minyak sebanyak 250 liter bagi setiap isian di stesen, bila sudah penuh, mereka pergi ke stesen lain pula sehingga tong 6,000 liter itu penuh,” katanya.
Beliau memberitahu, setelah penuh, ahli sindiket ini akan membawa diesel-diesel ini ke markas operasi mereka untuk memindahkan minyak-minyak ini ke dalam tangki bersaiz lebih besar yang berkapasiti 12,000 hingga 13,000 liter.
Jelasnya, sindiket ini telah menyewa kilang-kilang industri yang terpencil untuk dijadikan lokasi pengumpulan minyak diesel ini selain menggunakan papan tanda seperti bengkel membaiki kenderaan berat bagi menutup kegiatan mereka.
Apabila lori tangki sudah diisi penuh, sindiket ini akan membawa bahan api ini ke kilang-kilang untuk dijual kepada pihak industri pada harga lebih murah.
Malah katanya, sindiket turut dikesan membawa diesel ini ke jeti-jeti terpencil terutamanya kawasan jauh untuk memindahkan ke kapal tangki.
“Sindiket ini pakar mengenai pergerakan kapal di perairan negara. Sebagai contoh, mereka akan masuk untuk isi diesel ketika air pasang penuh.
“Mereka akan isi dengan kadar segera sebelum air mula surut bagi mengelakkan kapal terkandas. Biasanya, kapal yang membawa minyak ini disewa oleh sindiket,” katanya.
Beliau berkata, sindiket seterusnya akan membawa kapal tangki untuk memindahkan diesel kepada pelanggan yang menunggu di perairan negara terutama di Kota Tinggi, Pontian, Batu Pahat serta Mersing.
Pelanggan di tengah laut pula disyaki terdiri daripada kapal-kapal dagang serta nelayan asing.
Operasi pemindahan biasanya dilakukan di tengah laut terutamanya di sempadan antarabangsa sebagai persediaan untuk melarikan diri jika ada rondaan. -KOSMO! ONLINE














