fbpx
Kepesatan pembangunan terutamanya dalam industri pembuatan di Taiwan mengagumkan banyak pihak dan pencapaian pembuatan mikrocip Taiwan tidak mampu ditandingi mana-mana negara termasuk China.

Mengapa Taiwan begitu berharga?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJURUS mengakhiri lawatannya ke Malaysia, Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi menuju ke Taiwan dalam rangka lawatannya ke beberapa negara Asia minggu lalu.

Ketibaan wanita berusia 82 tahun itu disambut Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu sebaik mendarat di Lapangan Terbang Songshan, Taipei.

Kunjungan itu menjadikan Pelosi sebagai ahli politik tertinggi AS yang melawat Taiwan dalam tempoh 25 tahun. Kali terakhir ahli politik AS melawat Taiwan ialah Newt Gingrich dari parti Republikan pada tahun 1997.

Dalam kunjungan tersebut, Pelosi berpeluang mengadakan pertemuan dengan Presiden Taiwan, Tsai Ing-Wen. Pemimpin nombor tiga dalam senarai pengganti presiden AS itu turut dianugerahkan pingat oleh Ing-Wen.

Pelosi menyifatkan pertemuan tersebut satu penghormatan besar dan menganggap Taiwan sebagai rakan sekutu dalam pelbagai kerjasama.

“Menerusi kunjungan sebagai delegasi Kongres, terdapat tiga tujuan utama. Pertama adalah soal keselamatan buat rakyat kita dan global.

“Kedua adalah hal ehwal ekonomi dan melabur sebanyak mungkin serta akhir sekali, tadbir urus. Justeru, kami ingin meningkatkan kerjasama dan dialog antara parlimen,” ujar Pelosi kepada agensi berita tempatan.

Lawatan kurang 24 jam itu telah menaikkan kembali suhu pertikaian geopolitik di rantau tersebut membabitkan China dan Taiwan. Beijing sebe­lum ini menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya yang terpisah.

Pelosi ketika mengadakan pertemuan dengan Ing-Wen yang mencetuskan kemarahan China minggu lalu.

Menurut sejarah, Taiwan berada di bawah kawalan penuh China pada abad ke-17 ketika pemerintahan Dinasti Qing. Menjelang tahun 1895, China menyerahkan negara itu kepada Jepun selepas kalah dalam perang Sino-Jepun.

China mengambil semula pulau itu pada tahun 1945 selepas Jepun tewas ketika Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, perang saudara tercetus melibatkan kerajaan nasionalis diketuai Chian Kai-shek dan Parti Komunis pimpinan Mao Zedong. Dalam perang itu, Parti Komunis menang pada tahun 1949 dan menguasai China.

Kai-shek dan pengikutnya dalam Parti Nasionalis (Kuomintang) melarikan diri ke Taiwan dan menjadi pemerintah.

Bagaimanapun, menerusi polisi ‘Satu China’, Beijing menganggap beberapa wilayahnya yang terpisah iaitu Hong Kong, Macau dan Taiwan sebahagian daripada wilayah kedaulatannya.

Kontroversi lawatan Pelosi itu membangkitkan amarah Beijing yang mula bertindak agresif dengan melakukan latihan ketenteraan secara besar-besaran di perairan Taiwan.

Beijing mengerahkan jet pejuang, kapal perang dan peluru berpandu balistiknya bergerak ke perairan timur Taiwan. Situasi itu disifatkan sebagai satu isyarat jelas bahawa Beijing mampu mengepung pulau itu dan melakukan sekatan dari dunia luar.

“Beberapa kawasan latihan China menceroboh perairan wilayah (Taiwan). Ini langkah tidak rasional untuk mencabar perintah antarabangsa,” kata jurucakap Taipei, Sun Li-Fang.

Pada masa sama, Beijing juga telah mengenakan sekatan ekonomi dalam usaha mengasingkan Taiwan dari pentas antarabangsa. Para penganalisis geopolitik melihat langkah tersebut akan mengubah status quo di Selat Taiwan secara kekal.

TSMC dari Taiwan merupakan syarikat pengeluar mikrocip terbesar di dunia.

Persoalannya, apakah faktor utama menyebabkan Beijing ingin kembali menjadikan Taiwan sebagai wilayah jajahannya? Apakah pula kepentingan negara berkepadatan 23.56 juta penduduk itu kepada negara-negara kuasa besar seperti AS?

Semasa lawatan ke Taiwan, Pelosi bukan sahaja berbincang mengenai hubungan politik, malah berkesempatan melawat firma perniagaan paling bernilai di Taiwan.

Pelosi berpeluang bertemu dengan Pengerusi Syarikat Pembuatan Semikonduktor Taiwan (TSMC), Mark Liu di Taman Sains Hsinchu atau dikenali sebagai Lembah Silikon Taiwan yang terletak di barat laut negara itu.

TSMC merupakan syarikat pengeluar mikrocip terbesar dunia dengan menguasai kira-kira 65 peratus pengeluaran, diikuti Korea Selatan (18 peratus), China (lima peratus) dan lain-lain negara (12 peratus).

Mikrocip merupakan komponen utama pembuatan pelbagai keperluan pada masa kini daripada aeroangkasa kepada barangan elektronik seperti telefon pintar dan komputer riba.

TSMC yang mempunyai seramai 150,000 pekerja di seluruh dunia merupakan pembekal utama mikrocip kepada syarikat besar AS iaitu Apple serta rakan kongsi pembuatan lain seperti AMD, Broadcom dan Qualcomm.

Dalam laporan kajian rantaian bekalan 100 hari pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, negara itu sangat bergantung kepada syarikat TSMC untuk pengeluaran mikrocip tercanggih.

Hakikatnya, hanya TSMC dan Samsung dari Korea Selatan boleh mengeluarkan mikrocip tercanggih bersaiz lima nanometer.

Dalam satu wawancara khas Mark dengan agensi berita CNN baru-baru ini, beliau berkata, perang antara China dan Taiwan akan menyebabkan semua pihak kalah.

“Jika anda ambil tindakan ketenteraan atau pencerobohan, ia akan menyebabkan kilang TSMC tidak dapat beroperasi. Teknologi pembuatan kami bergantung sepenuhnya dengan sambungan dunia luar. Tiada siapa boleh mengawal TSMC secara paksa,” ujarnya.

Banyak syarikat Big Tech dunia adalah fabless iaitu tidak mempunyai kilang pengeluaran mikrocip sendiri dan menugaskan TSMC untuk membuatnya.

Menurut Persatuan Industri Semikonduktor AS, Taiwan dijangka kekal sebagai pengeluar mikrocip terbesar di dunia meliputi kira-kira 90 peratus daripada permintaan semikonduktor canggih di dunia.

Apabila CNN bertanyakan Mark mengenai kemampuan China mengeluarkan mikrocip berkualiti tinggi seperti Taiwan, beliau hanya senyum sinis. “Oh, mereka (China) boleh melakukannya, namun beberapa tahun akan datang,” katanya.

Walaupun mempunyai modal berbilion dolar membangunkan industrinya, namun China menguasai kurang 10 peratus pasaran mikrocip dunia menerusi syarikat Semiconductor Manufacturing International Corporation (SMIC).

Pembantu Penyelidik di Academia Sinica di Taipei, James Lee berkata, China bergantung kepada Taiwan dalam pengeluaran mikrocip, memandangkan kapasiti pembuatannya agak terhad.

“Baru-baru ini, terdapat laporan bahawa SMIC telah berjaya membangunkan cip tujuh nanometer, namun ia masih pada peringkat awal dan jauh terbelakang berbanding TSMC dan Samsung,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis pasaran dan perunding cip, Peter Fintl memberitahu portal bisnes Jerman, Handelsblatt bahawa TSMC telah mendapat kedudukan terpenting dalam pasaran global.

Kekurangan mikrocip global akibat pandemik Covid-19 menyebabkan penangguhan pengeluaran pelbagai barangan termasuk kereta, televisyen dan komputer.

Semasa pertemuan antara Mark dan Pelosi, kedua-dua pihak telah membincangkan mengenai Akta Cip dan Sains yang diluluskan baru-baru ini di AS yang bertujuan memulihkan rantaian bekalan mikrocip.

Perundangan baharu itu termasuk pakej AS$52 bilion (RM232 billion) bagi menyokong pembuatan cip di AS dan TSMC mungkin mendapat manfaat daripada program tersebut hasil dari kilang cip yang bakal dibina di Arizona.

Bagaimanapun, Washington menegaskan, subsidi hanya akan diberikan kepada TSMC jika syarikat itu mampu memastikan teknologi cip sensitifnya tidak jatuh ke tangan China.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN