PETALING JAYA – Situasi graduan diberikan gaji rendah dan tidak setaraf dengan kelayakan bukanlah perkara baharu, malah isu berkenaan telah berlaku sejak sekian lama.
Tinjauan Kosmo! di media sosial semalam mendapati, ramai graduan yang sudah mula bekerja berkongsi kekecewaan apabila mereka hanya menerima gaji permulaan serendah RM2,000 sebulan sedangkan memiliki ijazah sarjana muda dari universiti awam.
Menurut pengguna Instagram, Zafriuddin, dia yang bekerja di sebuah syarikat elektronik menerima gaji yang jauh lebih rendah berbanding rakan sekerjanya walaupun tahap pendidikannya lebih tinggi.
“Saya setuju apabila ramai pelajar tak nak sambung belajar, sebab belajar tinggi akhirnya dapat gaji lebih rendah, macam tak berbaloi.
Berita berkaitan: Hanya mampu bayar gaji RM600 hingga RM1,200 sebulan
“Rakan sekerja saya yang sama-sama berjaya dalam sesi temu duga syarikat elektronik ditawarkan gaji RM2,500 sebulan kerana memiliki dua tahun pengalaman kerja, tetapi dia hanya lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sedangkan saya pemegang ijazah sarjana muda,” kongsinya.
Sementara itu, beberapa pengguna lain menganggap kebanyakan kursus di universiti sudah tidak relevan dengan pasaran ekonomi, menjadikan sebahagian besar pelajar lepasan SPM tidak berminat untuk menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi.
“Belajar sampai empat tahun di universiti, buat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dapat kerja, gaji cukup-cukup makan, hutang banyak nak kena bayar balik, patutlah ramai malas sambung belajar,” kata Alfa.
“Memang betul, buang masa belajar tinggi tapi tiada pengalaman kerja, majikan tak pandang, lebih baik belajar dari YouTube, asah kemahiran yang ada,” ujar Rozaini.














