fbpx
DUNIA media sosial kini yang turut mendedahkan kaedah raih wang segera atau menawarkan kerjaya bergaji lumayan melunturkan minat anak muda untuk belajar. - Foto MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

‘Godaan’ henti belajar, pilih cari duit berbanding sambung pelajaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperoleh seorang remaja yang mahu dikenali sebagai Fahmi pada tahun 2019 membolehkannya untuk menyambung pelajaran ke tingkatan enam.

Namun, hanya beberapa bulan dia menyambung pelajaran, Fahmi mengambil keputusan untuk berhenti.

“Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerana merasakan terlalu berat untuk meneruskan pelajaran.

“Saya rasa daripada terus belajar lebih baik saya bekerja, dapat juga menjana pendapatan,” katanya kepada K2.

Tambah Fahmi, dia akhirnya bekerja sebagai pembantu jurujual di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

Setelah beberapa bulan bekerja di situ, dia kemudiannya mampu membeli sebuah motosikal.

Fahmi yang kini berusia 20 tahun kemudiannya memilih untuk melibatkan diri dalam ekonomi gig dengan menjadi seorang penghantar makanan atau rider.

“Saya tidak menyesal dengan pilihan yang saya buat ini kerana pendapatan diperoleh juga lumayan jika rajin.

“Saya juga lihat ada orang yang sebelum ini menyambung pelajaran tetapi sukar mencari pekerjaan, akhirnya memilih untuk melakukan kerja yang sama seperti saya,” bicaranya.

Fahmi berkata, dalam masa yang sama, dia juga ada memohon untuk menjawat jawatan dalam kerajaan dengan kelayakan SPM yang dimiliki itu.

INDUSTRI ekonomi gig yang dilihat mampu menawarkan pendapatan yang tinggi menyebabkan sesetengah lepasan SPM melihat ia peluang meraih pendapatan berbanding bersusah payah untuk belajar yang belum pasti menjanjikan kerjaya yang stabil selepas tamat pengajian. –GAMBAR HIASAN

Sementara itu, seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Siti, 21, menjelaskan, dia hilang keinginan untuk menyambung pelajaran setelah tamat SPM dan memilih untuk bekerja.

Menurutnya, dia bukanlah datang daripada keluarga yang senang dan baginya, lebih baik dia bekerja daripada terus menyambung pelajaran.

Siti kini bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

“Dengan memilih untuk bekerja, saya bukan sahaja dapat membantu meringankan beban keluarga, malah saya dapat memenuhi keinginan diri dengan membeli apa yang saya inginkan.

“Jika saya terus belajar mungkin saya tidak dapat berbuat demikian,” jelas anak kedua daripada empat beradik itu.

Tambah Siti, keputusan SPM yang diperolehnya juga tidaklah terlalu cemerlang dan jika dia meneruskan pengajian pasti sukar baginya menelaah pelajaran.

Itulah antara kisah yang dikongsikan mengenai realiti semasa anak muda Malaysia hari ini yang pahit untuk ditelan negara.

Bahkan, berdasarkan kaji selidik daripada Jabatan Perangkaan mendapati, hampir 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM memilih untuk tidak mahu menyambung pelajaran.

Data kajian untuk tahun 2019 itu membabitkan 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan, tetapi setelah keputusan diumumkan hanya 170,000 memilih menyambung pengajian dan bakinya 390,000 telah memasuki alam pekerjaan.

DR. MOHD. NAZRI

Meskipun data tersebut adalah daripada tahun 2019 tetapi trend itu dijangka berterusan bagi tahun 2020 dan 2021.

Mengulas akan hal ini, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman berkata, sebelum ini, sebaik sahaja keputusan SPM diumumkan, ramai pelajar mula mengisi borang bagi melanjutkan pelajaran mengikut minat, kerjaya dan kecenderungan masing-masing.

Namun, sejak kebelakangan ini, situasi itu amat berbeza apabila ramai pelajar termasuk yang mencatatkan keputusan cemerlang memilih untuk bekerja berbanding meneruskan pelajaran.

“Apakah rasional di sebalik pemilihan untuk bekerja ini?

“Tidak dapat dinafikan persekitaran hari ini juga sedikit sebanyak telah memainkan peranan. Situasi perkembangan ekonomi pada hari ini juga menjadi faktor pemangkin kepada pelajar lebih memilih untuk bekerja berbanding melanjutkan pelajaran,” katanya.

Katanya, jika dilihat ekonomi gig menawarkan peluang pekerjaan yang mudah buat mereka tanpa memerlukan kelulusan yang tinggi.

Selain itu, ia juga mampu memberi pendapatan yang agak tinggi jika mereka rajin untuk melakukannya.

“Ini sedikit sebanyak mempengaruhi mereka untuk tidak melanjutkan pelajaran walaupun berpeluang untuk berbuat demikian,” katanya.

Tambah Mohd Nazri, media sosial yang menunjukkan sisi kejayaan influencer (pempengaruh), pengasas produk dan pencipta kandungan turut mempengaruhi akan hal ini.

“Media sosial mengetengahkan bagaimana mereka ini tidak perlu bersusah payah belajar untuk mengecapi kesenangan hidup sedikit sebanyak boleh mempengaruhi generasi masa kini.

“Ini boleh mempengaruhi generasi muda untuk melakukan perkara yang sama,” ulasnya.

MEREKA yang bergelar graduan dan mengikuti pengajian di universiti sebenarnya telah membuat keputusan terbaik selain berpeluang bekerja dalam bidang profesional dan menjawat jawatan penting. – GAMBAR HIASAN

Justeru, Mohd. Nazri mengingatkan sebaiknya setiap pelajar sama ada yang meraih keputusan yang cemerlang atau tidak, sebaiknya meneruskan pelajaran sama ada ke universiti atau kolej kemahiran.

Memilih untuk bekerja pada usia yang muda, tidak ada salahnya dan tidak dinafikan ada juga kelebihannya.

Namun, jika dipertimbangkan untuk jangka masa panjang adalah lebih baik generasi muda hari ini meneruskan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi.

Pada usia muda dan tenaga yang dikurniakan, menyambung pelajaran adalah pilihan terbaik kerana mereka mudah untuk menghadam apa yang dipelajari.

“Tambahan pula, dengan menyambung pelajaran mereka berpeluang untuk bekerja dalam bidang profesional dan menjawat jawatan penting.

“Kerjaya profesional mahupun teknikal seperti doktor, peguam, jurutera dan lain-lain yang menawarkan gaji yang lumayan memerlukan pelajar menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Nazri berkata, ramai pelajar yang memberi hujah ‘belajar tinggi-tinggi pun, lepas belajar gaji tetap sama dengan mereka yang tidak belajar tinggi’.

“Ini juga menjadi asbab untuk mereka tidak mahu melanjutkan pelajaran. Sebenarnya jika seseorang itu belajar ke peringkat yang tinggi, menguasai kemahiran, cemerlang, mampu berkomunikasi dengan baik dan memiliki personaliti yang bagus, mana mungkin mereka tidak terpilih untuk menjawat jawatan-jawatan penting.

“Malah, dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran yang anda miliki, pelbagai peluang dan ruang tersedia untuk terus berjaya,” terangnya.

Mohd. Nazri berkata, guru juga memainkan peranan dalam membantu lepasan SPM ini melanjutkan pelajaran.

“Mereka ini jika tiada bimbingan dan dibiarkan mungkin akan terus ke alam pekerjaan dan tidak memikirkan untuk melanjutkan pelajaran.

“Guru boleh memberi nasihat apa yang bersesuaian dan peluang-peluang yang ada berdasarkan kelulusan dan kecenderungan pelajar.

“Sebagai contoh, jika seseorang pelajar ingin menjawat jawatan Inspektor polis, guru boleh beri galakan dan terangkan sehingga tahap mana dia perlu belajar bagi membolehkannya menjawat jawatan tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN