KOTA BELUD – Tujuh kanak-kanak dan remaja termasuk tiga orang kelainan upaya (OKU) yang dikhuatiri hilang lebih 12 jam di Kampung Kebayau sejak semalam ditemui selamat pada pukul 7.30 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Lery Joba Midih berkata, semua mangsa yang berusia tiga hingga 15 tahun dijumpai oleh penduduk kampung dan bomba.
Katanya, mereka ditemui di kawasan hutan kira-kira empat kilometer dari Kampung Kebayau.
“Kesemua mereka selamat ketika ditemui, namun berada dalam keadaan lemah mungkin disebabkan tidak makan sejak petang semalam.
“Mereka memberitahu mahu pergi melihat kawasan pembinaan jalan berhampiran Kampung Kubang tetapi tersesat masuk ke dalam hutan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, dua daripada tujuh mangsa dihantar ke hospital Kota Belud akibat luka kecil dan perlu menjalani pemeriksaan lanjut.
“Mangsa yang lain diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing. Operasi mencari dan menyelamat berakhir pada pukul 9.30 pagi tadi,” katanya.
Mangsa yang dijumpai ialah Freddy Kerinsuk (OKU), 15, Arni Kerinsuk (OKU), 13, Alistar Kerinsuk (OKU), 9, Royce Kerinsuk, 3, Meclorn Datine, 12, Elson Evan Lie Willie, 11 dan Elcy Jackter, 5.
Kali terakhir mereka bertujuh dilihat penduduk kampung pada pukul 3 petang semalam. – KOSMO! ONLINE.














