BARU-BARU ini, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya menganjurkan siri kedua Citra Malaysia: Colours Of Malaysia (COM) 2022.
Untuk makluman, siri pertama COM 2022 berlangsung pada Mei lalu bertemakan ‘Wow Meriahnya Raya 2.0’ bertempat di Dataran Foodtruck, Presint 14, Putrajaya.
Bagi siri kedua ini, JKKN mengetengahkan tema ‘Akul Zap In Turasi’ (Zapin Eksperimental) yang berlangsung di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Produksi dan Artistik JKKN, Aisyah Bee Arudin berkata, tujuan utama penganjuran COM 2O22 adalah untuk mempamerkan kebudayaan negara melalui acara-acara yang dipersembahankan.
Katanya, usaha tersebut diharap dapat memelihara seni dan budaya tempatan serta mempertingkatkan kemahiran para artis budaya serta kumpulan kesenian JKKN.
“Tahun ini merupakan kali ketiga penganjurannya. Pada tahun lalu, ia terpaksa diadakan secara online ekoran penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

GABUNGAN elemen lama dan gaya terkini seperti hip hop diketengahkan pada zapin kreatif buat tatapan generasi muda.
“Sebenarnya, kami cuba menampilkan kepelbagaian kesenian dan kebudayaan Malaysia yang dilaksanakan secara berkala oleh Kumpulan Kesenian JKKN di seluruh negeri dan ibu pejabat,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.
Menurutnya, program itu diharap dapat memperkenalkan serta mendidik orang ramai tentang kepentingan menghargai seni budaya, sekali gus menjadi daya penarik kepada pelancong luar.
Menariknya, COM 2022 bakal dijayakan dengan lima siri persembahan merangkumi seni budaya setiap kaum utama, etnik Sabah dan Sarawak serta suku minoriti di negara ini.
Antara tema persembahan COM 2022 adalah ‘Wow Meriahnya Raya 2.0’ pada Mei, ‘Akul Zap In Turasi’ (Julai), ‘Nostalgia 90-an’ (September), Warna (Oktober) dan ‘Koleksi Inspirasi’ (November).
Selain Kumpulan Kesenian JKKN, COM 2022 turut menampilkan selebriti terkenal tempatan seperti Azizul Hakim, Kumpulan Parkour Sanctum Academy Malaysia, Nazirul Aiman Abdulaziz dari Gerilla Record dan beberapa pemuzik profesional tempatan.

“Orang ramai boleh menonton setiap persembahan secara percuma terus di lokasi atau menerusi siaran langsung dan ulangan melalui laman Facebook, JKKN TV,” katanya.
Mengulas mengenai siri kedua, Aisyah Bee berkata, ‘Akul Zap In Turasi’ merupakan satu nama khas gabungan perkataan akulturasi dan zapin yang bermaksud penyerapan unsur sesuatu budaya kepada budaya lain.
Ujarnya, persembahan selama sejam itu dibahagikan kepada tiga segmen iaitu zapin tradisi, kontemporari dan kreatif bagi membolehkan para penonton melayari sendiri perjalanan serta perubahan dialami oleh tarian berkenaan.
Siri 2 COM 2022 dijayakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, Sanctum Academy dan Gerilla Records serta rakan penaja, Rdeq Prisma
“Bagi segmen zapin tradisi pula, kami cuba mengangkat zapin Melayu Johor dengan diiringi lagu Ya Naam Sidi bertempo perlahan dan zapin bunga hutan berentak lebih pantas.
“Gabungan tersebut telah berjaya menyerlahkan keunikan dan keistimewaan tarian zapin dengan menjadi lebih rancak, lincah serta bertenaga.

USAHA memelihara seni dan budaya tempatan, selain menambah kemahiran artis budaya perlu diteruskan menerusi acara seperti ini.
“Namun, ia masih mengekalkan kesantunan dan kesopanannya,” kata Aisyah Bee.
Ulasnya, zapin kontemporari pula mengetengahkan persembahan tarian yang dipecahkan dengan mengambil elemen emosi.
Ini terutamanya mengeksplorasi rasa marah, takut dan keliru yang timbul mengikut urutan masa.
Tambah Aisyah Bee lagi, zapin kreatif pula hasil gabungan elemen lama dengan suntikan gaya terkini seperti hip hop bagi memenuhi permintaan generasi muda pada hari ini.















