fbpx
SWEET Qismina

Sweet Qismina temui kepuasan dalam bidang nyanyian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

EMPAT tahun lamanya pelakon Sweet Qismina menggenggam impian mahu memiliki lagu sendiri sebelum hasrat tersebut terlerai menerusi peluncuran single debutnya, Namo.

Ujar Sweet, ketika itu dia masih tercari-cari material terbaik yang kena dengan jiwanya untuk dijadikan single perdana, sekali gus mencuba nasib bergelar penyanyi selepas sekian lama menjadi pelakon.

“Setelah berbincang dengan Raqeem Brian yang merupakan Pengarah A&R dan Pemasaran Domestik Warner Music, barulah saya temui lagu terbaik iaitu Namo.

“Perancangan mengeluarkan single ini bermula pada November tahun lalu dan proses rakamannya selesai pada bulan ini.

“Berdebar rasa hendak perkenalkan single sulung saya ini kerana ini merupakan percaturan pertama saya dalam bidang muzik. Mungkin dahulu saya pernah muncul sebagai penyanyi undangan, kini sayalah aksi utamanya,” katanya.

TIADA lain yang diharapkan Sweet, melainkan lagu Namo mendapat tempat dalam hati peminat dan diterima baik oleh masyarakat.

Lagu terbitan Warner Music Malaysia berkenaan merupakan hasil ciptaan komposer ternama negara iaitu Mas Dewangga, Jova Devito dan Aden King.

Kongsi pemilik nama sebenar Farhanna Qismina Supandi, 25, itu, awalnya dia sangat gementar untuk memperkenalkan single perdananya kerana ini merupakan percaturan pertama dalam bidang nyanyian.

Selepas memutuskan menjadi penyanyi secara serius, dia melihat perjalanan baharu ini tidak ubah sebagai satu kembara yang menyeronokkan.

“Tidak ubah seperti sebuah pengembaraan yang menyeronokkan.

“Saya bermula dalam industri sejak kecil sehingga sekarang dengan mencuba pelbagai cabang seni.

“Dilamar pihak Warner Music juga seakan-akan mimpi. Seperti tidak dijangka, namun saya anggap ini sebagai fasa baharu dan tidak sabar memulakan pengembaraan ini,” ujarnya teruja.

SEBAGAI percubaan sebagai penyanyi, Sweet sengaja mempertaruhkan sebuah lagu dengan genre pop rancak dengan melodi ala muzik K-pop.

Sweet yang memulakan karier dalam industri hiburan sejak berusia sembilan tahun menambah, biarpun masanya agak terhad kerana kepadatan jadual lakonan, selain dibahagikan untuk pelajaran, dia masih mampu mencuri ruang melancarkan lagu.

“Segala-galanya adalah baharu buat saya. Sewaktu proses rakaman dijalankan, setiap detik meninggalkan kenangan manis yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

“Perasaan berdebar itu hanya Tuhan yang tahu. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan lagu ini dapat dihasilkan dengan sempurna,” jelas Sweet yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) dari Universiti dan Kolej SEGi, Selangor.

Jangan takut

Memperincikan tentang judul Namo, pelakon drama Bidadari Salju itu berkata, istilah tersebut bermakna tidak tahu atau tiada lagi.

Namo membawa erti jangan terus hidup dengan kenangan lalu serta berani menolak perkara yang membuatkan hidup bertambah resah dan tidak tenteram.

BERANI mencuba sesuatu yang baharu, Sweet hadir memeriahkan industri seni muzik tanah air dengan sebuah single berjudul Namo.

“Namo menggambarkan tentang seseorang yang berani menyuarakan perasaan dan tidak takut berkata ‘tidak’ kepada sesiapa atau dalam apa jua situasi.

“Tidak kisahlah dalam aspek perhubungan atau kehidupan yang toksik, lantas keluar dari zon selesa,” tambahnya.

Lagu Namo yang berentak pop rancak mempunyai keistimewaan tersendiri kerana pada rangkap pertama cukup menggamit halwa telinga pendengar.

Memasuki bahagian korus, melodi ala lagu dan muzik K-pop menambah kesempurnaan dan sesuai dengan imej segar yang dibawakan Sweet.

“Dalam video muzik (MV) Namo, penonton dapat lihat sisi lain yang tidak pernah saya bawakan sebelum ini. Saya tampilkan sesuatu yang berbeza dan lari daripada perkataan ‘Sweet’ itu sendiri,” katanya.

Cinta baharu

Selepas lebih 15 tahun berkecimpung dalam arena lakonan, Sweet juga mengakui, inilah masa yang sesuai dia meneroka dunia baharu dan cukup teruja mahu menjalani pengalaman sebagai penyanyi.

ENGGAN lagi duduk dalam zon selesa, impian Sweet untuk melancarkan lagu sendiri akhirnya tercapai selepas memendam hasrat tersebut selama empat tahun lamanya. – WARNER MUSIC MALAYSIA

“Bidang lakonan sememangnya sebati dengan jiwa saya kerana itu adalah cinta pertama saya. Tetapi menerusi nyanyian, saya temui kepuasan baharu,” ujar pemenang trofi Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABP) 2016 itu.

Sebagai percubaan pertamanya dalam bidang muzik, Sweet tidak meletakkan harapan menggunung. Katanya, cukup sekadar peminat menyalurkan sokongan positif.

“Saya tidak mengharap banyak, cukup dengan tanda sokongan positif daripada peminat kerana saya sendiri masih lagi merangkak dalam bidang nyanyian.

“Akan tetapi, saya sangat teruja dan gembira menerokai ruang ini. Semoga peminat yang mendengar single Namo akan terhibur dan teruskan menyokong saya sampai bila-bila,” kata Sweet.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN