fbpx
SYAMSUL YUSOF

Rahsia RM90 juta filem Mat Kilau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan hasil arahan Syamsul Yusof bukan sahaja mencipta sejarah dari segi kutipan pecah panggung, malah turut mencetus sinar baharu kepada masa depan filem-filem tempatan.

Tidak hanya bersandarkan kepada karya berbentuk epik dan patriotik semata-mata, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sebenarnya berjaya mencipta fenomena kerana digarap dan dihasilkan berdasarkan citarasa serta selera penonton masa kini.

Mendedahkan perkara itu, Syamsul­ mengakui kejayaan filem arahannya yang kini te­lah mencapai kutipan melebihi RM90 juta sejak ditayangkan pada 23 Jun lalu sebenarnya bukan semata-mata disebabkan filem itu berunsur epik dan patriotik semata-mata.

Sebaliknya menurut beliau, penonton di Malaysia sebenarnya tidak kisah dan mene­rima apa sahaja genre filem yang dipersembahkan asalkan kena dengan kehendak mereka.

Katanya, dia mengambil masa belasan tahun untuk mengkaji selera penonton di negara ini, terutamanya filem bagaimana yang mereka mahu inginkan.

“Sebagai pengarah, saya sentiasa buat kajian apa sahaja filem yang ditonton orang Malaysia tidak kira filem kita sendiri, Hollywood mahupun Bollywood. Segala unsur yang disukai mereka, saya kumpulkan dan terhasillah naskhah filem saya.

“Soalnya, kalau anda mengatakan filem Mat Kilau berjaya semata-mata kerana pelakon sahaja atau naskah itu sendiri, pada saya itu kurang tepat.

“Semuanya sangat penting dan paling penting pengarah itu sendiri, kerana dialah yang me­rupakan nakhoda yang akan menentukan sejauh mana karya itu menyentuh penonton,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

FILEM Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan berjaya menarik minat penonton daripada pelbagai lapisan umur.

Menurut Syamsul, dia sebenarnya dia sudah lama mengimpikan filem Malaysia dapat mencapai kutipan lebih RM80 juta dan akhirnya menjadi kenyataan.

Anak kepada pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam itu berkata, ramai sudah bosan dan muak dengan siri drama di televisyen yang sering memaparkan konflik cinta tiga segi.

Justeru katanya, penonton mahukan perubahan dan mencari apa yang mereka tidak peroleh di kaca televisyen.

Katanya lagi, kreativiti yang ditonjolkan dalam sesebuah naskhah tidak terhad kepada wanita berpakaian seksi semata-mata, tetapi ia boleh disampaikan dalam banyak cara seperti dalam filem Mat Kilau.

“Saya tidak mengikut arus dan banyak melihat kita mampu menghasilkan sesuatu filem itu berjaya jika tahu kehendak penonton,” ujarnya.

Dalam pada itu, penggiat industri termasuk dirinya sendiri perlu belajar dari negara luar seperti Korea yang berjaya memasarkan filem ke serata dunia.

“Jika seseorang pengarah berjaya menyampaikan idea kepada penonton dan mereka merasakan dekat dengan naskah tersebut, insya-Allah akan membuahkan hasil se­perti diharapkan.

“Sebagai orang Malaysia kita pastinya akan berbangga jika sesebuah filem itu boleh pergi jauh,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai masalah cetak rompak digital, Syamsul mendesak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) agar bertindak segera bagi menangani masalah itu.

“Saya kecewa dengan Finas kerana membiarkan pengkarya filem dibiarkan begitu sahaja apabila isu cetak rompak digital berleluasa hari ini.

“Undang-undang baharu harus dipinda dan dikaji semula agar isu ini dapat diselesaikan dengan segera.

“Kita lihat negara-negara luar seperti Indonesia dan Korea yang mana mereka sangat menjaga industri filem mereka. Sebab itu industri filem mereka boleh pergi jauh,” katanya.

» Wawancara penuh di muka 30 & 31

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN