PETALING JAYA – Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (Move) meminta kerajaan melakukan kajian menyeluruh sebelum melaksanakan undang-undang mengharamkan vape.
Presidennya, Samsul Kamal Ariffin mendakwa, banyak kajian penyelidik antarabangsa mendapati peranti rokok elektronik itu mampu mengatasi ketagihan merokok.
Dakwa beliau, kajian pusat kesihatan England juga menyatakan bahawa produk berkaitan vape adalah 95 peratus lebih selamat daripada rokok.
“Orang ramai mampu berhenti tabiat merokok, tetapi masih ada ketagihan itu. Justeru vape adalah sistem pembekalan nikotin paling selamat buat masa ini.
“Bahaya rokok pada tar dan pembakaran, tetapi produk vape tiada bahaya itu. Vape dapat selesaikan masalah keperluan nikotin, jadi dalam masa sama 95 peratus bahaya (rokok) sudah dihilangkan,” katanya kepada pemberita semalam.
Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dijangka akan dibentang untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Dewan Rakyat minggu depan.
Kerajaan menerusi RUU itu antara lain dipercayai bercadang melaksanakan kawal selia industri vape di negara ini termasuk mengenakan cukai kepada cecair vape bernikotin.
Samsul Kamal berkata, mereka yang terlibat dalam industri vape tidak menolak kawal selia terhadap industri berkenaan, namun terdapat kebimbangan dikenakan cukai terlalu tinggi.
Beliau mendakwa, keadaan itu berisiko meningkatkan jualan rokok seludup yang ditawarkan pada harga lebih murah berbanding produk berkaitan vape.
“Sebanyak 30 milliliter (ml) cecair vape hari ini berharga lebih kurang RM20, tetapi apabila dikenakan cukai RM1.20 bagi 1ml, harganya boleh naik sehingga RM70.
“Cukai yang dikenakan itu tidak termasuk untung dan kadar lain lagi. Semua beban itu akan dipindahkan kepada pembeli.
“Kita tidak halang cukai, tetapi cukai itu tidak boleh jadi beban untuk mereka yang mahu berhenti merokok yang akhirnya terus merokok dan beralih kepada rokok seludup,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak bersetuju dengan cadangan denda sehingga RM5,000 terhadap generasi yang lahir pada dan selepas 1 Januari 2007 yang didapati menjual atau mempamer produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.
Ujar beliau, cadangan itu ia kelihatan bagus di atas kertas, tetapi akan menimbulkan permasalahan apabila ada ibu bapa tidak mampu bayar denda setinggi itu.