fbpx

Pesara polis pangkat rendah ramai hidup terpinggir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nordin (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, Datuk Dr. Ibrahim Ali yang hadir merasmikan Mesyuarat Agung PKPPNK semalam.

Oleh MUSTAQIM MOHAMED

KOTA BHARU – Ramai dalam kalangan pesara polis berpangkat rendah khususnya di Kelantan bagaikan hidup terpinggir selepas menamatkan perkhidmatan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pesara Polis Negeri Kelantan (PKPPNK), Mohd. Nordin Yaakub berkata, kebanyakan daripada mereka terpaksa membawa haluan sendiri apabila mendapati keadaan ekonomi tidak kukuh selepas bersara.

Menurutnya, keadaan bertambah sukar apabila pesara-pesara itu sudah berstatus warga emas selain menghidap penyakit kronik.

“Ramai pesara yang menjalani kehidupan dengan ekonomi tidak seimbang dan terpaksa buat kerja lain untuk meneruskan kehidupan.

“Pesara-pesara polis pangkat rendah tidak pernah meminta lebih daripada mana-mana pihak. Mereka sebenarnya hanya mahu ada yang ambil peduli akan nasib, kesihatan dan perkembangan diri,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas Mesyuarat Agung PKPPNK Kali Pertama di Hotel MGU Firdaus di sini semalam.

Mengulas lanjut, menurut Mohd. Nordin, demi menjaga kebajikan pesara polis pangkat rendah, dia bersama beberapa rakan mewujudkan sebuah kumpulan yang akhirnya mencetuskan idea sehingga tertubuhnya PKPPNK.

Katanya, teras penubuhan persatuan tersebut yang berasakan keprihatinan dan keikhlasan yang diharapkan akan terus menjadi tunjangnya walaupun telah bertukar kepimpinan.

“Kami bermula hanya dengan 30 ahli dan sehingga kini jumlah keahlian telah mencecah 235 orang. Kami berharap sekurang-kurangnya persatuan ini mampu memberi sinar kepada pesara polis apabila mereka dapat berjumpa kembali rakan-rakan lama.

“Meskipun tiada dana besar dan kadangkala ahli jawatankuasa dengan rela hati mengeluarkan duit poket sendiri, persatuan ini masih mampu menyediakan pelbagai manfaat serta sumbangan ikhlas kepada ahli-ahli yang memerlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI