Oleh FAIZAL HAMID
Lelaki masa kini tidak kira di manapun mempunyai kesedaran tentang fesyen dan gaya sama ada sedar atau luar sedar.
Kadangkala fesyen dan style (gaya) adalah sesuatu yang sukar didefinisikan, berkemungkinan kerana ia melibatkan a certain degree of effortlessness.
Untuk memudahkan, anda fikirkan ia begini, style (gaya) terdapat di sekeliling kita, bukan hanya pakaian yang kita pakai, tetapi termasuk kereta yang kita pandu, irama muzik yang kita dengar, telefon bimbit yang kita gunakan dan sebagainya.
Lebih mudah jika anda memikirkan style sebagai lifestyle (gaya hidup), bukan hanya cara kita memilih pakaian, tetapi juga cara kita mencari sesuatu.
Mengaplikasi falsafah hidup kita dalam cara kita berpakaian adalah salah satu cara untuk mengintegrasikan personaliti diri dalam penampilan kita sehari-hari.
Ia memudahkan kita untuk mengadaptasikan atau menyesuaikan pakaian milikan sedia ada untuk ke pejabat, beriadah hingga ke persalinan hujung minggu. Sememangnya style (gaya) adalah ekspresi personaliti diri melalui gaya penampilan yang kita pilih.
Adalah penting untuk berpakaian dengan gaya yang boleh menyampaikan mesej yang positif, serta paling utama penampilan anda juga perlu nampak bersahaja (effortless) dan natural.
1. Proses transformasi
Memakai pakaian yang tidak kena dengan diri anda adalah kesalahan paling besar yang anda lakukan dalam terma fesyen.
Di peringkat global, definisi lelaki bergaya juga sedang melalui proses transformasi disebabkan perkembangan ekonomi yang pesat, hasil pendapatan yang pelbagai, juga kepesatan industri fesyen dan kosmetik yang berpusu-pusu mengembang dan meluaskan lagi pelanggan mereka.
Kita amat beruntung kerana terdapat banyak pilihan fesyen di pasaran yang memenuhi pelbagai cita rasa.
Namun begitu perlu diingat, rekaan pakaian tertentu mungkin menarik apabila dipakai oleh seseorang individu, tetapi hasilnya mungkin tidak sama apabila digayakan oleh individu yang lain.
Paling penting kita perlu berasa selesa apabila berpakaian dan bijak memilih gaya rekaan yang paling sesuai untuk diri sendiri.
2. Pembentukan imej
Lelaki kontemporari tidak mahu lagi menjadi kumpulan jantina yang kurang menarik.
Kesedaran untuk menghias diri, penjagaan wajah, perawatan tubuh badan dan pembentukan imej yang sempurna dan berketerampilan, dalam usaha untuk menambah keyakinan dan kelihatan hebat dipandang majikan, teman sekerja, keluarga dan tentunya teman wanita atau isteri.
Imej yang hebat, anggun dan berhemah merupakan simbol lelaki kontemporari. Ia cukup signifikan bagi lelaki yang mahukan a sense of authority, credibility & class pada keterampilan mereka.

PALING penting adalah keselesaan dalam berpakaian.
3. Tarikan fesyen
Kini, memakai hanya pakaian berjenama dan mengenakan aksesori pereka fesyen atau jenama terkenal dan mahal dari hujung rambut ke hujung kaki tidak lagi menjadi tarikan lelaki kotemporari.
Lebih penting dan menjadi keutamaan adalah gaya ekspresi individu tersendiri. Setiap gaya adalah luahan rasa si pemakainya.
Idea dan cita rasa adalah sesuatu yang subjektif. Setiap lelaki pasti inginkan identiti tersendiri, tidak mahu dikongsi dengan orang lain.
4. Tak meniru personaliti
Kini, tidak ramai yang mahu meniru dan menjadi klon personaliti atau selebriti terkenal. Sememangnya kita tidak perlu menjadi orang lain untuk terkenal.
Kesimpulannya, fesyen adalah sesuatu yang ceria serta gaya ekspresi individu yang tersendiri dan dapat mempertingkatkan keyakinan serta keterampilan diri.
Kita akui, cita rasa manusia adalah sangat subjektif dan bersifat sejagat. Setiap individu berhak berfesyen mengikut kemampuan dan cita rasa yang disesuaikan dengan budaya serta latar belakang masyarakat setempat.
5. Hormati hak orang lain
Sememangnya kita perlu meluaskan perspektif terhadap fesyen dan menghormati hak orang lain berfesyen.
Ini adalah fenomena yang mendefinisikan budaya kotemporari. Apa yang pasti, fesyen juga mempunyai kaitan kuat terhadap masa silam, memori, tanda mata, harga diri dan sejarah.
———————————————————————————————————————————-
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor














