GEORGE TOWN – Aktiviti merempit adalah dilarang di dalam syariat Islam selain dianggap perbuatan yang menyusahkan orang ramai termasuk mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya lain.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, kegiatan merempit merupakan satu perbuatan dosa kerana setiap warganegara adalah wajib mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang ditetapkan kerajaan.
Menurutnya, jalan raya adalah milik umum dan bukannya hak mana-mana individu serta perlu mengikut undang-undang dan peraturan lalu lintas yang dikuatkuasakan.
“Kegiatan merempit adalah menyusahkan orang ramai, mengganggu pengguna jalan raya selain daripada membahayakan diri sendiri dan orang lain.

“Kesemua ini dilarang di dalam syariat Islam dan merupakan satu perbuatan dosa,’’ katanya dalam kenyataan di sini.
Berita berkaitan: Tiga penunggang motosikal maut, dua cedera
Berita berkaitan: Mangsa kelima kemalangan P. Pinang meninggal dunia
Ahad lalu, lima penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan beberapa buah motosikal di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi.
Beritahu Wan Salim, pihaknya berasa amat kesal, kecewa dan sedih apabila mendapati kemalangan jalan raya di negara ini semakin meningkat dengan begitu ketara.
“Banyak nyawa manusia terkorban dan ramai pula yang cedera parah dan ada yang hilang keupayaan kekal sepanjang hayat.
“Islam juga wajibkan umatnya memelihara nyawa sebagai salah satu matlamat utama di dalam maqasid syariah,” jelasnya.
Tambahnya, memandangkan semakin kerap berlaku kemalangan jalan raya disebabkan kegiatan rempit, pihak berkuasa perlu menyemak semula undang-undang dan peraturan sedia ada.
“Denda bagi kesalahan lalu lintas juga perlu ditambah agar para pengguna lebih berhati-hati memandu kenderaan,” ujarnya.
Katanya, ibu bapa dan para pemimpin masyarakat perlu saling memainkan peranan menasihati anak-anak muda.















