KEDENGARAN suara anjing pengesan bernama Jet menyalak di celah-celah runtuhan struktur bangunan petang itu setelah terhidu bau mangsa yang masih hidup.
Lantas, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mugundthan Krishnasami, 45, dari Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera mendapatkan anjing di bawah jagaannya itu untuk mengesahkan penemuan tersebut kepada Mugundthan.
Demikian detik cemas ketika operasi menyelamatkan mangsa runtuhan struktur bangunan di tapak pembinaan One Desa Residence, Taman Desa, Kuala Lumpur, 14 Februari lalu.
“Pada pukul 3.45 petang, kami menerima panggilan mengenai kejadian runtuhan tapak pembinaan setinggi enam tingkat itu.
“Setelah melakukan siasatan dan mendapatkan maklumat daripada saksi kejadian, saya melepaskan Jet untuk mencari mangsa yang dikatakan terperangkap di tingkat satu,” ceritanya yang merupakan salah seorang pemegang atau lebih dikenali sebagai handler di ibu pejabat Unit K9 Bomba, Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur.
Kira-kira 20 minit melakukan pencarian, Jet yang berusia 11 tahun itu berjaya menghidu bau mangsa yang masih hidup terperangkap di bawah runtuhan terbabit, lantas menyalak untuk memberi isyarat kepada Mugundthan.
Bagi mengesahkan perkara itu, seorang lagi handler, Christer Lasius mengarahkan anjingnya, Tiny untuk pergi ke lokasi mangsa dan turut memberi respons serupa.
Hasil kejayaan Jet menemui mangsa, anjing itu menerima sijil penghargaan daripada Ketua Pengarah JBPM.
Jet yang merupakan baka Labrador itu adalah anjing yang ditugaskan di bawah disiplin mencari dan menyelamat (SAR) Urban Disaster di Unit K9 Bomba.

Menurut Mugundthan, beliau telah menjadi handler Jet sejak usianya sembilan tahun dan dilatih untuk mengesan bau manusia hidup yang terperangkap di dalam runtuhan.
“Walaupun terdapat manusia lain di sekitar lokasi kejadian, tetapi Jet dilatih untuk menghidu bau manusia yang terperangkap, jadi ia melakukan tugas tersebut dengan tepat.
“Khidmat anjing pengesan penting kerana ruang sempit di kawasan runtuhan itu menyukarkan untuk manusia memasukinya,” tuturnya yang bertugas di JBPM sejak 25 tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Unit Pengesan (K9) JBPM, Penguasa Kanan Bomba II (PgKB II) Donny Chap memberitahu, peristiwa runtuhan bangunan Highland Towers di Bukit Antarabangsa, Selangor pada tahun 1993 menjadi pencetus kepada penubuhan unit tersebut.
Unit itu ditubuhkan pada pada 2002.
“Ketika kejadian Highland Towers, negara tidak mempunyai unit K9 Bomba. Ini menyukarkan tugas mencari dan menyelamat di bawah runtuhan.
“Pada waktu itu, Malaysia mendapat bantuan negara luar yang menghantar anjing untuk mengesan mangsa runtuhan hingga membuka mata banyak pihak betapa pentingnya menubuhkan unit ini,” katanya ketika ditemui K2 di ibu pejabat K9 Bomba, Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Terang Donny, terdapat 26 ekor anjing di unit itu yang menggalas tugas berbeza. Ia dibahagikan kepada empat disiplin dan mempunyai kepakaran masing-masing.
Disiplin tersebut adalah SAR Urban Disaster iaitu ditugaskan untuk mencari dan mengesan mangsa hidup yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan atau runtuhan tanah.
Kedua, SAR Cadaver yang mempunyai kepakaran untuk mengesan mangsa yang telah meninggal dunia di darat dan air.
Ketiga, SAR Wilderness bagi mengesan jejak mangsa yang tersesat dalam hutan, gua atau gunung.
Terakhir, Siasatan Kebakaran untuk membantu mengesan bahan yang menjadi punca kebakaran.
Unit K9 Bomba menggunakan baka anjing yang dibeli dari Britain kerana negara tersebut bebas daripada penyakit rabies dan anjingnya memenuhi kriteria yang diingini.
Antara baka anjing tersebut ialah English Springer Spaniel, Belgian Malinois, English Pointer, Border Collie dan Labrador.
Tambahnya, sebelum membeli, anjing-anjing tersebut perlulah memenuhi kriteria yang ditetapkan seperti saiz dan keadaan fizikalnya sesuai dengan disiplin operasi.
Pihak K9 Bomba hanya membeli anjing daripada baka asli dan akan dilatih di Britain selama empat bulan sebelum dibawa balik ke Malaysia.
Bagi pemeriksaan kesihatan anjing dan ketulenan baka akan dilakukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Donny berkata, haiwan itu sangat istimewa kerana mempunyai ribuan sel deria hidu yang lebih banyak berbanding manusia dan hasil penemuannya 99 peratus tepat.
“Sebagai contoh, anjing bagi disiplin Siasatan Kebakaran boleh mengesan tujuh bahan accelerant iaitu sumber bahan bakar seperti petrol dan kerosen.
“Selain itu, anjing juga dapat mengesan mangsa dengan menghidu barangan yang ditinggalkan seperti baju dan kasut,” tuturnya yang berasal dari Sibu, Sarawak.
Anjing SAR Urban Disaster, SAR Cardaver dan SAR Wilderness akan menyalak apabila menjumpai mangsa lalu menarik handler ke arah lokasi mangsa berada.
Bagi anjing Siasatan Kebakaran pula, akan bertindak kaku apabila menjumpai bahan bakar dan tidak akan menyentuhnya.
Mengulas mengenai perbezaan anjing di Unit K9 Bomba dan jabatan penguasa lain, Donny memberitahu, masing-masing mempunyai peranan berbeza.
“Anjing-anjing kami ditugaskan untuk mencari dan menyelamat. Ia sangat jinak serta manja.
“Berbanding Unit Anjing Pengesan Polis yang dikhaskan untuk kes jenayah, maka haiwan itu memerlukan sifat lebih agresif dan garang bagi melaksanakan tugasnya,” ulas Donny yang bertugas di Unit K9 sejak lapan tahun lalu.
Antara kes yang pernah dikendalikan oleh Unit K9 Bomba adalah kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur; runtuhan tapak pembinaan One Desa Residence, Taman Desa,
Kuala Lumpur; tanah runtuh di PayaTerubong, Pulau Pinang dan mencari orang hilang di Gopeng, Perak.

Sementara itu, seorang lagi handler Unit Pengesan K9 JBPM, KB22 Lacey Elizabeth Stanley memberitahu, tugasnya bukan sahaja melatih anjing tetapi menjaga segala keperluan dan kebajikan anjing termasuklah penyelenggaraan kandang serta kebersihan haiwan tersebut.
“Kami di sini akan menjaga makan, minum dan membawanya membuang air kecil atau besar, membersih serta merapikan bulunya. Hubungan kami dan anjing sangat rapat seolah-olah keluarga sendiri,” ujarnya yang sudah 17 tahun bertugas di unit itu.
Lacey Elizabeth yang merupakan handler kepada Rory berusia 11 tahun mengambil masa dua bulan untuk mendekati dan membina hubungan rapat dengan anjing baka English Springer Spaniel itu.
Rory yang mempunyai kepakaran dalam Disiplin Siasatan Kebakaran turut terlibat dalam kes Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan anjing itulah yang berjaya menjumpai bahan accelerant iaitu petrol di tempat kejadian.
Wanita dari Kuching, Sarawak itu memberitahu, Rory mempunyai karakter manja, suka dibelai, hiperaktif dan sangat kuat menarik tali pemegang.
“Oleh itu, handler perlu menguasai teknik memegang tali agar tidak terjatuh dan mengawal pergerakan anjing.
“Sebagai handler, kita kena tegas dan mengulangi perkataan tertentu agar ia dapat mengikuti arahan,” katanya.
Tambahnya, anjing juga ada perasaan seperti manusia yang memerlukan penghargaan dan kasih sayang.
Selain menjalani latihan, dia akan membawa Rory bersiar-siar dan bermain bersama bagi mengukuhkan persefahaman antara mereka.
Bagi menaikkan motivasi anjing-anjing di unit itu, handler akan memberi sebiji bola tenis sebagai penghargaan setelah berjaya dalam tugasan diberi.














