KUANTAN – Suasana balik kampung mungkin tidak dirasai lagi bagi penduduk Selangor, Pulau Pinang dan Melaka dalam tempoh satu generasi lagi ekoran status ketiga-tiga negeri itu yang menuju ke arah pembandaran.
Dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun akan datang, kita mungkin tidak akan melihat kemeriahan di jalan raya yang dipenuhi kenderaan warga kota yang pulang ke kampung ekoran peningkatan kadar pembandaran yang mencapai 100 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ketiga-tiga negeri itu akan menyertai Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sudah pun mencapai 100 peratus kadar pembandaran.
Katanya, kajian mendapati kadar pembandaran di Malaysia menunjukkan peningkatan kepada 75.1 peratus pada 2020 berbanding 70.9 peratus pada 2010.
“Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya mempunyai 100 peratus penduduk yang tinggal di bandar, manakala Selangor 95.8 peratus, Pulau Pinang (92.5) dan Melaka (90.9).
“Ketika ini, kita mengalami sebuah negara yang dipanggil ‘middle class’ (kelas pertengahan) berdasarkan perubahan negara dan ramai yang dahulunya mendiami kawasan luar bandar telah bergerak ke bandar,” katanya.

Menurut Mohd. Uzir, ramai warga kota pulang ke kampung pada waktu perayaan ketika ini kerana mempunyai nostalgia.
Bagaimanapun tambahnya, bagi anak-anak yang lahir dan menetap di bandar, mereka mungkin iaitu selepas satu generasi lagi tidak akan ada yang balik ke kampung ketika musim perayaan.
“Ia berlaku kerana generasi yang lahir di bandar tidak akan berasa begitu teruja pulang ke kampung,” katanya.
Ujar Mohd. Uzir, berdasarkan bancian penduduk dan perumahan Malaysia 2020, jumlah penduduk di negara ini ialah seramai 32.4 juta dengan 24.4 juta atau 75 peratus daripadanya menetap di bandar.
“Baki 8.09 juta bersamaan 24.9 peratus lagi merupakan penduduk luar bandar,” katanya.
Tambahnya, daripada jumlah itu 100 peratus penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masing-masing berjumlah 1.98 juta dan 109,202 adalah merupakan penduduk bandar.
“Sebanyak 95.8 peratus iaitu 6.7 juta orang daripada 6.9 juta penduduk di Selangor adalah penduduk bandar, Pulau Pinang (92.5 peratus daripada 1.7 juta penduduk) diikuti Melaka (90.9 peratus daripada 998,428 penduduk) tinggal di bandar,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, berdasarkan data tersebut, dilihat terdapat keperluan untuk mengekalkan suasana luar bandar yang menjadi nilai tambah kepada masyarakat di bandar yang mahukan kehidupan santai di kawasan alam semulajadi.
“Bagi Pahang, kadar perbandaran ialah 52.8 peratus dan saya rasa negeri itu perlu memperkasakan kehijauan dan tidak perlukan perbandaran terlalu laju kerana nanti kita tidak tahu mana hendak pergi lagi ke kawasan alam semulajadi dan sebagainya,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














