fbpx
PROGRAM tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai tidak mengira jantina yang memerlukan tempat dan ruang untuk berkongsi masalah.

Terapi unggun api, platform luah masalah tanpa prejudis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEORANG wanita kelihatan memasuki pekarangan sebuah kafe di tengah ibu kota lalu memperkenalkan diri.

“Boleh bersalamankah?” soalnya ramah sebelum memulakan mengambil tempat di hadapan penulis.

Selepas memesan minuman, wanita berambut panjang itu mula membuka bicara tentang sebuah platform luahan rasa anjurannya yang dikenali sebagai Unggun Api by Quyeng susulan ia tular di media sosial baru-baru ini.

“Saya sama sekali tidak menyangka, acara yang dirangka dalam tempoh sekitar dua minggu itu menjadi tular dan mendapat sambutan orang ramai,” luah Nor Syahira Ismail, 28, atau lebih dikenali sebagai Quyeng.

Bercakap lanjut tentang Unggun Api by Quyeng, dia berkata sesi luahan rasa itu cukup berbeza apabila menggunakan pendekatan lain daripada yang lain bagi mengajak orang ramai khususnya mereka yang mengalami tekanan hidup, namun tiada tempat meluah untuk berkongsi beban dengan ditemani kehijauan alam semula jadi sambil mengelilingi unggun api.

Jelas Quyeng, dia memilih lokasi sedemikian memandangkan alam semula jadi mewujudkan rasa tenang dan selesa sekali gus menjadikan orang lebih terbuka untuk bercerita.

“Api dan tanah secara amnya merupakan unsur yang ada dalam diri seseorang dan apabila seseorang individu itu dikelilingi unsur sebegini, ia secara tidak langsung mampu menenteramkan mereka, sekali gus menjadikan mereka lebih mudah untuk meluah rasa dan berkongsi cerita.

“Ruang yang diwujudkan ini adalah kerana saya mahu golongan yang berasakan bahawa mereka mungkin tiada kawan atau ahli keluarga untuk meluah rasa kerana mereka sebenarnya tidak keseorangan. Unggun Api by Quyeng sentiasa ada buat golongan ini dan kami tidak menilai anda,” ujarnya kepada K2.

QUYENG (duduk, kanan) bersama para sukarelawan yang mengendalikan Unggun Api by Quyeng.

Menerusi Unggun Api by Quyeng, peserta mendaftar penyertaan menerusi borang Google yang akan dikongsi menerusi aplikasi Telegram.

“Kami cukup terkejut kerana bagi acara pertama yang berlangsung tempoh hari, kami menerima sehingga 3,000 penyertaan. Begitupun, kami terpaksa mengehadkan kepada 120 orang memandangkan saya menganjurkan acara ini secara solo bersama 15 orang sukarelawan.

“Sekiranya kami mengambil terlalu ramai peserta, kami khuatir mereka akan berasa kurang selesa memandangkan acara ini bukan dijalankan secara ‘cincai’, kami mahu setiap peserta berasa selesa dan berada dalam pengawasan kami sepanjang sesi itu berlangsung,” tuturnya.

Seramai 120 orang terawal dipilih untuk menyertai acara itu yang bermula pada pukul empat petang 2 Julai lalu dan berakhir pada keesokan harinya.

Menyorot program itu, sebaik saja tiba di pusat rekreasi GIBS Ecotourism Resort di Ulu Yam, Selangor, para peserta diberikan peluang melakukan aktiviti bebas di sekitar kawasan itu seperti mandi sungai dan sebagainya.

Ketika itulah Quyeng mula mendekati peserta dengan bertanya khabar dan memberi ruang kepada mereka untuk bercerita.

PARA peserta program Unggun Api by Quyeng mengelilingi unggun api dalam sesi luahan masalah bagi melepaskan tekanan dihadapi
di Ulu Yam, Selangor baru-baru ini.

Sesi sebenar bermula pada sebelah malam apabila unggun api mula dinyalakan dan peserta diminta untuk tidak sesekali menggunakan peranti seperti telefon bimbit bagi menjaga privasi peserta.

“Sesi unggun api bermula dan kesemua peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Mereka kemudian bebas bercerita dan meluah rasa kerana saya mahu mereka tahu bahawa mereka boleh berkongsi apa sahaja tanpa provokasi daripada mana-mana pihak.

“Peserta juga bebas memberi pendapat masing-masing atau hanya menjadi pendengar kepada peserta lain untuk melepas beban yang sudah lama terpendam.

“Kadangkala golongan seperti ini hanya mahukan pendengar atau ‘outlet’ untuk meluahkan sahaja supaya berasa lega,” ujar Quyeng.

Anak kelahiran Pahang itu menambah, apa yang membuatkan dia bersungguh-sungguh mahu mewujudkan platform ini sehingga sanggup membelanjakan wang sendiri bagi merealisasikannya adalah kerana dia cukup memahami golongan sebegini memandangkan dirinya juga pernah berasa tertekan, namun tiada rakan mahupun insan yang sudi menjadi pendengar kepada masalahnya.

“Beberapa faktor persekitaran seperti tekanan kerja dan masalah perhubungan menyebabkan saya mengalami tekanan dan ketika itu, saya tiada tempat meluahkan rasa dan masalah memandangkan saya tiada teman rapat.

“Mujur ketika itu, saya berkenalan dengan seorang rakan dan dialah yang menjadi individu pertama yang bertanya kepada saya ‘adakah awak okey?’, sekali gus menjadi tempat saya meluah perasaan lalu mulai bangkit melawan tekanan hidup,” jelasnya.

Bagi seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 26, dia berterima kasih kepada Quyeng kerana menyediakan satu platform unik untuk dia berkongsi masalah.

“Sebagai seorang lelaki, saya berdepan kesukaran meluah masalah tanpa dinilai atau diperli oleh rakan-rakan.

“Misalnya, lelaki sering dianggap ‘lembik’ apabila menangis akibat tertekan, namun kami juga manusia biasa yang memerlukan tempat untuk mengadu.

“Oleh itu, usaha sebegini dilihat amat menarik bagi membolehkan kami melepaskan beban tekanan,” ujarnya.

Jelas Quyeng, dia bakal mengadakan sesi kedua program unggun api itu di Johor Bahru, namun masih belum mengesahkan lokasinya.

Harapan wanita itu adalah supaya lebih ramai orang akan terbuka untuk memberikan sumbangan atau dana bagi menjayakannya, selain turut berharap lebih ramai peserta berminat untuk mengikuti sesi tersebut.

“Kami membuka 200 slot untuk sesi kedua di Johor Bahru dan berharap lebih ramai individu akan tampil dan menyertai sesi ini.

“Saya mahu menekankan bahawa anda tidak keseorangan dan sekiranya anda mempunyai masalah dan menganggap diri tiada kawan, datanglah kepada kami dan kongsilah dengan kami,” jelasnya.

Selain itu, Quyeng juga memberi penegasan bahawa dia bukanlah orang profesional dan kewujudan Unggun Api by Quyeng bukanlah untuk memberi motivasi atau mengambil alih tugas pakar kaunseling atau psikiatri.

Sebaliknya, wanita yang bekerja sebagai seorang jurutera projek itu berkata niatnya hanya mahu membantu individu sepertinya untuk berkongsi masalah tanpa prejudis.

“Saya amat memahami apa yang ditanggung golongan ini dan platform yang ditubuhkan ini adalah untuk sebagai sokongan kepada mereka,” ujarnya.

Mereka yang berminat menyertai sesi seterusnya boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi rancangan Telegram Unggun Api by Quyeng.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN