DIA cukup sedar diri. Statusnya bukanlah menjawat gelaran sebagai anak seni ataupun orang terkenal dengan deras glamor kerjaya tersebut, namun suratan melayari bahtera perkahwinan dengan pelawak dan mantan penyampai radio sensasi, Shuk, membuatkan hidupnya terpamer di bawah cermin mikroskop khalayak.
Pemilik nama lengkap, Rossalennah Asshaferah atau mesra dengan panggilan Rossa Sera itu tenang menjawab soalan yang ditujukan kepadanya. Baik tentang status terkini rumah tangga dengan suami, resipi kecekalan jiwa dan pilihan mendepani kehidupan selepas ini.
Semuanya terbutir cermat dari bibir wanita kelahiran Sabah itu. Dia sebenarnya enggan terlalu mencanang kisah peribadi, apatah lagi ketika seluruh umat Islam di dunia sedang mensyukuri nikmat keberadaan di dunia dengan sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini.
Di sebalik kemuliaan perayaan yang sinonim dengan ibadah korban ini, di jiwa Sera, pengorbanan membawa erti yang besar terhadap dirinya baik sebagai isteri mahupun ibu kepada dua cahaya matanya, Nur Qurratu Ain, 5, dan Nur Assyifatu Aimi, 2.

Pengorbanan Sera
“Kali ini, saya korbankan perasaan sebab perlu beri ruang anak-anak beraya dengan ayah mereka.
“Saya tak pernah berenggang lama-lama dengan anak. Pernahlah saya berpisah dengan anak dua bulan masa di kampung dahulu tapi waktu itu keadaan berbeza. Perasaan sekarang lain sangat.
“Raya kali ini, anak-anak beraya di rumah opah mereka di Pulau Pinang. Di sudut hati saya, rasa macam sunyi sebab keadaan dah tak macam dulu. Saya percaya Shuk boleh jaga mereka dengan baik,” kata Sera, 30.
Sengaja Pose memilih wanita berhati cekal itu sebagai wajah sampul hadapan Pose edisi Raya Haji waima dia bukanlah berstatus selebriti.
Diajak berbicara tentang status terkini rumah tangganya dengan Shuk, Sera sebenarnya sudah tiada kudrat memberi perincian isu berkenaan, namun mengakui, kehidupannya kini lebih bahagia berbanding dahulu.
“Setakat ini, kami sudah berbincang dan masing-masing sudah tahu apa dimahukan. Selepas berbincang, barulah kami akan selesaikan semua itu. Bukannya sebelum ini kami tak nak selesaikan awal, tetapi saya tunggu sampai betul-betul okey dan berada dalam keadaan yang boleh bercakap, bukan ambil keputusan semasa dia (Shuk) tengah marah, dan saya pun begitu.
“Tak nak semasa ada rasa dendam dan benci. Tak nak begitu. Sekarang ini, kami semakin lama makin okey dan sudah terlazim dengan keadaan,” ulasnya sedikit berkias.

Ke arah berpisah?
Ditebak tentang destinasi hubungan kasih bersama Shuk sejak enam tahun lalu yang sedang menuju perceraian, jawab Sera: “Saya tak berani nak cakap ke arah berpisah atau apa tapi apa yang saya boleh cakap sekarang ini cuma, saya lebih bahagia dengan keadaan sekarang.
“Keadaan di mana saya bersama dengan anak-anak. Itu sahaja.”
Reda dan pasrah apabila perkahwinan yang dibina tidak berlayar seperti apa yang menjadi idaman kebanyakan wanita, Sera bagaimanapun tidak mahu terlalu meletakkan kesalahan di bahu mana-mana pihak.
Dia beranggapan setiap yang berlaku adalah takdir hidup.
“Bila tak berjalan seperti apa yang kita mahukan. percayalah, itu semua berlaku atas izin Allah.
“Kita sebagai manusia, cuba lakukan yang terbaik dan sepatutnya. “Sebenarnya, bukan senang nak reda atau berdamai dengan takdir. Saya sambil masa untuk ke arah itu.
“Ada fasa-fasa yang perlu saya lalu. Macam-macam sudah berlaku dan semua itu telah saya lalui, insya-Allah dengan baiknya,” ungkapnya tenang.
Dek kisah rumah tangganya yang berkali-kali dihambat kontroversi, Sera tidak menafikan, tertekan menerima kecaman serta kritikan, namun waktu kian bergulir, semua itu mematangkan dirinya.
Kalau dahulu cercaan orang mudah mematahkan semangat, sekarang, dia masih berdiri tabah dan tidak perlu memikirkan pendapat orang tentang pilihan hidupnya.

‘Shuk bapa anak saya’
“Mula-mula dahulu, saya ambil peduli cakap orang, lama-kelamaan, saya fikir hanya saya yang tahu apa yang berlaku. Orang lain tak berada di posisi saya. Mereka tak tahu.
“Tak kisahlah macam mana pun cuba dibuktikan, akhirnya ada orang suka dan sebaliknya. Terpulang.
“Sekarang, saya dah tak fikir apa orang fikir cuma saya buat yang terbaik untuk diri sendiri dan anak-anak,” katanya.
Dituduh juga terlalu taksub bermain api publisiti sehingga terbakar rumah tangga sendiri, begini jawab Sera;
“Ramai yang cakap, semua ini ‘marketing’. Takkanlah Shuk kena buang kerja, mahligai kami terjual dan perkara melibatkan perasaan anak-anak berkiblatkan ‘marketing’ atau konten.
“Itulah, saya malas peduli apa orang cakap. Bagi saya, kalau buat konten selagi tak menjatuhkan mana-mana pihak, semua itu okey dan hanya saya tahu kebenarannya,” luahnya.
Sera turut memberitahu bahawa, apapun yang terjadi selepas ini, Shuk tetap insan berstatus bapa kepada dua orang anaknya. Itu hakikat yang tidak akan berubah.
Sungguhpun begitu
, dia bersedia untuk ‘move on’ kendatipun terpaksa memilih jalan sendiri.
“Shuk akan tetap jadi orang yang saya pernah sayang. Rasa sayang itu masih ada tapi sebagai kawan sebab apa pun, dia tetap bapa kepada anak-anak saya.
“Saya akan tetap beri sokongan buat Shuk. Sebagai isteri, saya pun ada buat salah.
“Pada masa sama, kalau ditakdirkan saya tidak lagi menjawat peranan isteri kepadanya, saya juga bersedia, insya-Allah,” ujarnya mengakhiri bicara.















