PETALING JAYA – Peningkatan caj rawatan perkhidmatan dan ubat-ubatan yang dikenakan oleh klinik-klinik swasta ketika ini adalah berpunca daripada pelbagai faktor termasuk melibatkan kos penyelenggaraan.
Perkara itu turut diakui Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mendedahkan terdapat beberapa kenaikan beberapa caj di klinik swasta.
Presidennya, Dr. Koh Kar Chai berkata, kenaikan tersebut melibatkan beberapa caj perkhidmatan seperti kos rawatan pesakit seperti pemeriksaan darah, ultrasound, electrocardiogram (ECG), X-ray, penjagaan luka, dan perkhidmatan saringan.

Katanya, kenaikan juga disebabkan harga ubat-ubatan yang semakin meningkat di pasaran ketika ini.
“Kita menanggung kenaikan kos ‘overhead’ di sesebuah klinik termasuk kos ultiliti, kos peralatan dan selenggara klinik serta pelbagai kos yang berkaitan operasi.
“Gaji minimum yang dikenakan ke atas majikan juga telah menyumbang kepada peningkatan dalam perbelanjaan klinik,” katanya kepada Kosmo!.
Mengulas lanjut beliau berkata, kenaikan juga turut disumbangkan oleh peningkatan kos ubat-ubatan di pasaran.
Katanya, harga ubat-ubatan yang dibekalkan oleh pembekal juga turut naik ketika ini.
“Seperti contoh ubat demam, batuk dan beberapa ubat antibiotik yang kini harganya semakin naik. Oleh itu kita terpaksa menaikkan harga ubat-ubatan selari dengan harga yang dibekalkan,” ujarnya.
Tambah beliau, bagaimanapun caj konsultasi (perundingan) doktor tidak meningkat dan sama seperti yang telah ditetapkan mengikut Akta Penjagaan Kesihatan dan Perkhidmatan Swasta serta tidak disemak sejak akta itu dikuatkuasakan.
















