PETALING JAYA – Tragedi bencana alam yang melanda negara baru-baru ini menyaksikan jutaan rakyat Malaysia terkesan sehingga ada yang kehilangan nyawa dan tempat tinggal akibat kejadian tersebut.
Pelbagai cerita duka lara dilaporkan di dada akhbar sehingga tiada lagi tangisan mampu merawat kedukaan yang dihadapi mangsa bencana alam ini yang disifatkan semakin ‘mengganas’.
Mendedahkan kepada Kosmo!, Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, tidak dinafikan kejadian bencana alam adalah disebabkan perubahan iklim atau cuaca, namun aspek lain juga harus dilihat.
“Kita tidak boleh menuding jari pada perubahan cuaca atau iklim sepenuhnya, kita harus melihat dari aspek lain seperti aktiviti manusia yang menyebabkan berlaku bencana alam.
“Kejadian bencana ini sebenarnya sudah boleh dijangka kerana setiap projek yang besar, penggerak projek perlu menyediakan dan mendapatkan kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
“Perunding yang menyediakan laporan EIA telah membuat kajian dan menjangkakan impak yang akan timbul sekiranya kadar curahan hujan terlalu tinggi dan bagaimana hendak menangani dan meminimakan impak melalui langkah-langkah mitigasi dan pemuliharaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, salah satu contoh langkah-langkah mitigasi dan pemuliharaan ialah mengekalkan zon Riparian atau rizab sungai yang berfungsi sebagai zon penampan.
“Sekiranya penggerak projek tidak mematuhi dan mengabaikan langkah-langkah mitigasi dan pemuliharaan, ia akan memudahkan berlakunya hakisan dan pemendapan selepas kerja-kerja tanah dan penyediaan tapak.
“Aktiviti-aktiviti tersebut mendedahkan permukaan tanah kepada curahan hujan, tebing sungai dan alur menjadi longgar selain memudahkan proses hakisan serta pemendapan,” jelasnya.
Berita berkaitan: Banjir Baling: Isteri beria namakan anak Muhammad Aidan
Berita berkaitan: Banjir Baling: Ibu mengandung hendak jaga ibu sebelum maut
Ujarnya, ia ditambah dengan kemungkinan kekurangan pemantauan dan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa menyebabkan sebahagian penggerak projek tidak mematuhi kelulusan laporan EIA dan undang-undang ditetapkan.
“Sebagai contoh, kejadian kepala air di Gunung Inas, sebahagian besar kawasan tersebut adalah berbukit-bukau dan kebanyakan berkecerunan melebihi 25 darjah, kawasan tanah berkecerunan 25 darjah tetapi kurang 35 darjah adalah tertakluk kepada Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Alam Sekeliling) 2015.

“Sekiranya dilakukan aktiviti yang mengubah guna tanah asal iaitu hutan kepada lain-lain menggunakan tanah di kawasan berkecerunan yang curam akan memudahkan berlakunya air berada di permukaan tanah dan menyebabkan hakisan.
“Apabila ia berlaku, tanah tidak lagi menyerap air kerana pokok dan tumbuhan telah dimusnahkan seterusnya menyebabkan berlaku kejadian yang tidak diingini,” ujarnya.
Kosmo! kelmarin melaporkan kejadian kepala air yang didakwa berpunca daripada aktiviti pembalakan dan projek durian musang king di Gunung Inas, Baling meragut tiga nyawa serta menjejaskan lebih 600 penduduk di daerah tersebut.














