fbpx
Kerajaan dicadangkan agar mewujudkan pawagam rakyat bagi memastikan industri filem tempatan kembali rancak. – GAMBAR HIASAN

Filem indie, bajet rendah dianak tiri syarikat pawagam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kuasa monopoli yang dipegang oleh syarikat-syarikat pawagam besar di Malaysia perlu dikaji semula bagi memastikan industri perfileman negara dapat kembali pada landasan yang sepatutnya.

Pengulas filem, Daniyal Kadir berkata, kuasa monopoli itu menyebabkan kebanyakan filem-filem indie atau bajet rendah dianaktirikan sehingga banyak filem hebat dipotong jumlah ta­yangan di pawagam.

Menurutnya, isu itu sebenar­nya sudah lama berlaku sejak beberapa syarikat pawagam besar berkuasa di Malaysia dan pihak kementerian berkaitan termasuk Perbadanan Filem Malaysia (Finas) perlu memandang serius perkara tersebut.

“Banyak yang kita dengar pawagam-pawagam sengaja memotong jumlah atau waktu ta­yangan filem-filem tempatan kerana ingin fokus kepada filem-filem Barat yang dilihat le­bih menguntungkan.

“Kita faham pawagam adalah medium perniagaan, namun sekiranya perkara ini terus berlaku, ia akan merugikan pembuat filem tempatan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Filem indie adalah karya persendirian atau dihasilkan oleh syarikat penerbitan kecil-kecilan atau kelompok tersendiri dan bukan daripada rumah produksi komersial secara langsung.

Daniyal memberitahu, jika sebelum ini ketika era filem hitam putih, terdapat banyak pawagam persendirian di negara ini yang membolehkan pembikin filem menjual hasil karya mereka.

“Bagaimanapun, ketika ini, sudah tiada pawagam-pawagam persendirian seperti itu. Tempat untuk pembikin filem indie atau berbajet rendah sudah tiada lagi dan disebabkan itulah, pembikin tempatan takut untuk menghasilkan karya seni mereka.

“Di Barat, semua ini tidak berlaku, pembikin filem indie ada tempat mereka. Saya cadangkan kerajaan mewujudkan pawagam rakyat bagi memastikan industri filem kita kembali rancak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Daniyal turut menyifatkan rakyat Malaysia kurang didedahkan dengan bahan tontonan bermutu termasuk siaran televisyen di rumah seperti kisah kejayaan serta kehebatan filem-filem tempatan era studio Jalan Ampas sebelum ini.

“Bukan saya nak pertikaikan, rakyat kita hanya kenal filem hitam putih Tan Sri P. Ramlee. Mana dia pengarah-pengarah lain seperti Husin Hanif, Mat Sentul dan ramai lagi?

“Negara-negara lain bermegah dengan filem sendiri. Korea Selatan misalnya dalam carta 10 filem terbaik di pawagam mereka, lapan adalah filem tempatan, manakala Malaysia, dua filem tempatan pun sudah bersyu­kur jika tersenarai,” ujarnya.

Filem Mat Kilau akan menemui penonton pada 23 Jun ini.

Selain isu itu, Kosmo! kelmarin melaporkan, penerbit filem terpaksa menelan realiti ­meraih untung tidak seberapa biarpun karya meraih kutipan ‘pe­cah panggung’ berikutan cukai hiburan dan caj pawagam yang dikenakan kepada pembikin filem termasuklah filem Mat Kilau yang me­raih kutipan tinggi.

Antara pemain filem tanah air seperti Datuk Afdlin Shauki, Nam Ron dan Mawi meluahkan rasa tidak puas hati dengan cukai hiburan itu yang dianggap sebagai bebanan kepada pembikin filem dan penerbit.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim pula dilaporkan berkata, pihak­nya akan mengadakan pertemuan dengan pempamer dan penerbit filem hari ini bagi membincangkan semula berhubung isu agihan keuntungan jualan tiket antara kedua-dua pihak.

Katanya, hasil daripada perbincangan, keputusan serta garis panduan yang lebih jelas akan dicapai antara pihak terlibat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN