GEORGE TOWN – Durian tupai hitam dari Gerik, Perak paling dicari peminat raja buah itu di negeri ini kerana dikatakan mampu menandingi durian musang king gred B yang kini dipasarkan pada harga sama iaitu RM35 sekilogram.
Pengusaha di Pusat Pengumpulan Durian Penang dan Perak di Jalan Bharu, Bukit Mertajam, Mohamad Harris Rosli, 30, berkata, durian dari pokok berusia lebih 25 tahun itu mula menambat hati penggemar buah tempatan itu hampir setiap hari.
Menurutnya, penghantaran kira-kira 20 biji tupai hitam ke lokasi pengumpulan durian setiap dua hari sekali itu akan habis dijual kurang 12 jam sehari.
“Durian ini (tupai hitam) tidak sama dengan variasi tupai king. Kami dimaklumkan pekebun yang namanya diambil setelah buah itu sering menjadi pilihan tupai berbanding buah premium lain.
“Tupai hitam kini mempunyai peminatnya tersendiri di sekitar negeri ini. Rasanya yang manis, sikit lemak, melekat pada lelangit dan kulit buah berwarna ‘nescafe’ itu dikatakan mampu menandingi durian musang king gred B berharga sama iaitu RM35 sekilogram.
“Buah ini biasanya akan dimakan paling akhir sekiranya dinikmati bersama buah durian kahwin lain. Boleh dikatakan, sekali nikmatinya memang tak akan pekena buah lain dah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Difahamkan, buah tupai hitam dikenali sebagai tekka atau kaki buluh oleh pekebun di Pahang.
Dalam pada itu, Mohammad Hariff yang juga jurutera perkapalan di Brunei itu memberitahu, tupai hitam dikatakan hanya boleh ditemui di Perak serta Pahang sahaja dan pengeluaran pada tahun ini dijangka berakhir dua minggu lagi.
“Bayangkan, belum pun dibawa ke sini, buah itu sudah ditempah awal dan ada pemiliknya. Mereka sanggup menunggu kedatangan buah istimewa ini berbanding musang king, buah kahwin D24 dan udang merah.
“Jualan durian tupai hitam di sini (Bukit Mertajam) sejak lima tahun lalu didapati mampu menjana pendapatan kami. Memang dikatakan jarang untuk menemui buah jenis ini dijual di Pulau Pinang,” ujarnya buah tersebut dikatakan hanya luruh kira-kira lima hingga 10 biji sehari.














