NEW YORK – Seorang lelaki bernama Joey Chestnut melahap 63 hot dog dalam masa 10 minit untuk muncul sebagai juara pertandingan makan Hari Kemerdekaan di Pulau Coney, New York semalam.
Ini merupakan kemenangan kali ke-15 Chesnut tetapi kali ini, dia jauh daripada menghampiri rekod yang dicatatkan oleh dirinya sendiri iaitu sebanyak 76 hot dog(sudah tentu bersama roti) juga dalam masa 10 minit.
Prestasi sedikit hambar itu mendorong Chesnut memohon maaf kepada penonton sambil berkata, dia akan melakukan yang lebih baik pada tahun depan.
Lelaki itu memberitahu agensi berita AFP bahawa dia berlatih dengan memakan hot dog dan mengambil bahagian dalam pertandingan makan hidangan tersebut kira-kira sekali dalam pada setiap minggu.
Susulan kemenangannya semalam, Chesnut memberitahu bahawa dia tidak akan makan lagi selama sehari.
Tempat kedua menjadi milik Geoffrey Esper yang makan 47.5 hot dog bersama roti, manakala James Webb menduduki tempat ketiga dengan pencapaian 41 hot dog.
“Joey Chesnut adalah juara yang melawan hukum tabii,” kata pengacara pertandingan itu, George Shea.
Dalam kategori wanita pula, Miki Sudo muncul juara dengan makan 40 hot dog dalam masa 10 minit.
Sudo kembali selepas menarik diri tahun lalu kerana hamil. Kali ini, wanita itu tampil bersama bayinya. Bagaimanapun, Sudo juga gagal menghampiri catatan rekodnya sendiri itu 48 hot dog. – AFP














