SAMA seperti kebanyakan anak muda lain, Suhaili, 30, (bukan nama sebenar) amat meminati aktiviti berlumba motosikal atau merempit menyebabkan dia keluar rumah setiap malam untuk berpeleseran dengan rakan-rakan di simpang jalan di kampungnya.
Biarpun puas ibu dan neneknya berleter tentang perkara itu, namun dia hanya diam tanpa berkata apa-apa.
Neneknya pernah berpesan agar tidak keluar rumah ketika malam bulan mengambang kerana dibimbangi berlaku perkara buruk, namun dia tidak pernah ambil pusing dengan perkara itu.
Baginya mencari kepuasan dengan melepak dan merempit hingga awal pagi lebih penting dalam hidupnya ketika itu.
Namun satu peristiwa yang menyebabkan Suhaili insaf dan tidak lagi keluar merempit berlaku kira-kira 12 tahun lalu semasa dia sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kejadian berlaku pada malam Jumaat ketika langit tidak berawan dengan bulan mengambang penuh.
Menurutnya yang berasal dari sebuah kampung di Banting, Selangor, kebosanan kberada di rumah menyebabkan fikirannya menerawang jauh menyebabkan dia mengambil keputusan untuk keluar melepak di simpang kampung.
“Semasa mengeluarkan motosikal kapcai kira-kira pukul 12 tengah malam, saya lihat keadaan luar rumah terang benderang dek sinaran bulan mengambang.
“Tiba-tiba saya ternampak kelibat seseorang sedang berbuat sesuatu di depan rumah jiran yang tidak berpenghuni kerana pemiliknya balik kampung,”katanya.
Suhaili berkata, apa yang mengejutkan wanita tua itu tidak mempunyai wajah sedang meraut lidi untuk dibuat penyapu.
Ceritanya, rambut wanita tua itu panjang hingga mencecah tanah dan berwarna putih.
“Dia yang berpakaian serba putih itu duduk dalam posisi bertinggung dan mulutnya mengomel tidak tentu hujung pangkal seperti orang berzikir.
“Oleh kerana menganggap wanita tersebut kurang siuman, saya terus beredar dari rumah dalam keadaan tertanya-tanya,”katanya.
Ujarnya, dari jauh dia melihat beberapa rakannya sudah berada di simpang dengan motosikal masing-masing.

BULAN mengambang banyak dikaitkan dengan unsur-unsur mistik. – GAMBAR HIASAN
Seperti biasa, ceritanya lagi, dia pun memecut di hadapan rakannya dan membuat pusingan U kira-kira 100 meter.
“Apabila tiba di tempat rakan-rakan yang melepak, saya melihat muka mereka semua pucat dan cemas.
“Salah seorang daripada mereka sempat bertanya, siapa yang saya bawa membonceng tadi? Saya katakan tiada sesiapa,” katanya.
Melihat wajah semua yang ada di situ dalam keadaan pucat lesi, Suhaili yang mulanya menganggap mereka bergurau akhirnya percaya dengan pertanyaan rakannya itu.
Rakannya berkata, mereka semua melihat seorang wanita tua berambut panjang mengerbang membonceng belakang motosikal Suhaili semasa memecut laju menghala ke hadapan tidak jauh dari lokasi mereka melepak.
“Saya rasa wanita tua misteri yang mereka lihat adalah lembaga yang saya lihat di depan rumah jiran saya.
“Kesemua yang berada di simpang kampung tersebut menggeletar hingga seakan lemah semangat untuk memberitahu apa yang mereka nampak,”ujarnya.
Suhaili yang kini bekerja sebagai kakitangan syarikat swasta berkata, pada malam itu mereka semua mengambil keputusan untuk melepak hingga azan Subuh berkumandang kerana takut diekori makhluk misteri tersebut.
Pada saat itu katanya lagi, barulah dia teringat pesan neneknya supaya tidak berkeliaran di kala hantu syaitan ‘mengambil angin’ kala bulan mengambang.
Sejak peristiwa membawa ‘penumpang’ menyeramkan sewaktu bulan mengambang itu, Suhaili dan rakan-rakan hanya melepak tidak lebih daripada pukul 12 tengah malam.
“Apa yang pasti, itu bukan kali pertama dan terakhir wanita tua misteri meraut lidi muncul pada malam bulan mengambang.
“Ini kerana, ada ada juga rakan saya yang melepak turut terlihat kelibat wanita tersebut bersama penyapu lidinya tidak lama selepas itu,” katanya.















