fbpx
DAIYAN TRISHA

Filosofi aurat, ibadah, lelaki Daiyan Trisha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIWANYA penuh dengan seni. Itulah Daiyan Trisha yang namanya meledak sejak dua tahun lalu. Begitu pun, di sebalik perjuangan seninya yang masih dalam fasa memahat nama, kehidupan peribadinya pula semakin hari semakin dikupas ramai. Bukan kerana gosip murahan, namun penampilannya yang sering menjadi bahan bualan ramai.

Kesudian Daiyan menyahut menerima pelawaan sebagau penghias wajah Pose minggu ini, diibaratkan seperti bulan jatuh ke riba. Dua tahun lamanya menanti untuk merakam setiap sisi indah wajahnya, akhirnya tertunai. Tidak kekok beraksi di hadapan lensa kamera milik jurugambar, Muhammad Iqbal Rosli begitu jugalah yang berlaku sepanjang sesi temu bual bersamanya.

Mengisi gelanggang pertemuan dengan rentak kerjaya dan selingkar kisah peribadi, pemilik nama penuh Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin itu sebenarnya terbuka untuk berbicara sebarang isu,

Namun ada seperkara membuatkan si pemilik senyuman manis itu kelihatan menarik nafas panjang. Dia bosan terpaksa mengulang jawapan yang sering diberikan kepada para wartawan.

Tidak lain, semestinya berkaitan kehidupan peribadinya.

Akur berstatus figura awam, wanita berusia 29 tahun itu kekal dengan prinsip yang dipegangnya sejak mula mengatur langkah sebagai anak seni sekitar 10 tahun lalu iaitu tidak melayan segala aura negatif yang bertandang dalam hidupnya.

SELAIN berdoa tentang jodoh dan hidup, Daiyan Trisha bermohon agarTuhan tidak berhenti menganugerahkannya jutaan inspirasi kreatif untuk terus berkarya sebagai anak seni.

‘Hanya saya dengan Tuhan’

Tidak melatah saat diajukan soalan yang barangkali sudah berjuta kali dijawabnya, pelantun lagu Penat itu tidak pernah terasa hati dengan semua komen negatif yang diberikan oleh umum terutama selepas menunaikan ibadah umrah pada April lalu.

Baginya, semua komen negatif berkaitan penampilannya timbul kerana peminat mahu melihanya kekal berhijab.

“Mungkin orang suka melihat saya bertudung. Memang ramai yang menegur dalam media supaya bertudung selepas umrah.

“Namun bagi saya, umrah bukan syarat untuk terus bertukar imej menjadi berhijab,” katanya kepada Pose baru-baru ini.

Katanya, cerita dalam kain termasuk hal-hal berkaitan ibadah tidak perlu hendak diperhebahkan kepada umum.

“Bagi saya, jika nak beribadah, lakukan dengan ikhlas tak perlu menunjuk-nunjuk atau riak.

“Istiqamah bukan tentang aurat sahaja, banyak lagi perkara dan dosa besar lain perlu diberi fokus.

“Selain tudung, banyak lagi perkara wajib lain berkaitan ibadah, saya kini berubah ke arah lebih baik cumanya tidak berkongsi dengan umum,” ujarnya.

Tambah pelakon yang mulanya mengukit nama menerusi naskhah bersiri Dee, masyarakat tidak sepatutnya mudah menjatuhkan hukum hanya berdasarkan penampilan dan luaran seseorang semata-mata.

“Apa yang boleh saya kongsi, saya ada cara istiqamah sendiri. Jika sudah bersedia untuk bertudung satu hari nanti, saya akan lakukannya, tak perlu canang satu dunia, insya-Allah.

“Tentang ibadah, hanya saya dengan Tuhan sahaja. Biarlah semua berlaku dengan ikhlas,” tuturnya.

PELAKON filem Busker ini tidak mahu membiarkan dirinya hanyut dengan semua kata-kata negatif netizen yang boleh menyekat langkahnya untuk terus mengukir kejayaan dalam karier seni.

Sasaran kahwin

Usai berbicara soal hijab, wanita kecil molek itu mengakui sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga, namun masih belum menemui calon suami yang sesuai.

“Buat masa sekarang saya bersedia tetapi tidak terlalu mencari calon suami. Jika ada rezeki, pasti Allah akan hadirkannya dalam hidup tidak lama lagi,” tuturnya.

Enggan terlalu berharap, Daiyan bagaimanapun meletak sasaran untuk mendirikan rumah tangga pada usia 31 atau 32 tahun kelak.

Namun dia akui bukan mudah untuk bertemu dengan calon suami yang benar-benar menepati cita rasa.

“Jika ada lelaki yang saya suka masuk meminang akhir tahun ini, saya okey untuk terus kahwin.

“Bagaimanapun, susah nak dapat lelaki yang benar-benar sejiwa, sekufu dan setia. Kalau boleh, tak mahu meletakkan sebarang tekanan pada diri sendiri.

“Saya bersedia tetapi ada pula dengar lelaki takut mendekati sebab risau saya wanita high maintenance,” tuturnya sambil tergelak kecil.

Jelasnya, perkara tersebut mungkin timbul kerana dia sering memuat naik foto menggayakan banyak busana dan tas tangan berjenama mewah.

“Tak perlu takut. Mungkin ada lelaki takut tengok saya dengan barangan jenama mewah tetapi asalkan dia mampu menyediakan keperluan asas dan nafkah atau bayar sebahagian bil, sudah memadai,” katanya lagi.

DAIYAN belum bersedia untuk berhijab walaupun menerima kecaman hebat daripada segelintir netizen selepas pulang daripada menunaikan ibadah umrah sekitar April lalu.

Selektif watak

Menyentuh soal karier, dia bersyukur masih diberi kepercayaan untuk memegang watak pelajar sekolah dalam mana-mana drama dan filem.

Selesa begitu, bintang Projek: Anchor SPM itu berhasrat mahu mengekalkan momentum tersebut untuk beberapa tahun lagi.

“Saya mahu tempoh membawa watak orang muda seperti sebagai pelajar sekolah berpanjangan supaya karier tidak terhenti awal.

“Pada usia 35 tahun kelak, mungkin baru saya akan jayakan watak sebagai ibu atau mak orang.

“Bila cepat tua dalam televisyen, hanya watak sama sahaja yang akan dijayakan,” jelasnya.

Ujarnya, sebagai pelakon generasi baharu, dia akan terus berusaha menawan jiwa golongan muda yang mempunyai selera berbeza.

“Zaman sekarang, saya perlu capai keinginan generasi muda dan sebab itu tidak kisah untuk membawa watak pelajar sekolah.

“Selagi boleh, saya akan terus membeli jiwa orang muda,” kata peminat aktres Hollywood Zendaya itu.

Foto: MUHAMMAD IQBAL ROSLI solekan: Elmanda Zuhairy (Instagram @elmandazuhairy)
Tatarias: Soll Ahmad
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN