fbpx
ORANG ramai di Thailand kini boleh menanam ganja secara terbuka.

Kebebasan ganja di bumi Gajah Putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PULUHAN lelaki berusia 50-an berkumpul di Highland Cafe, Bangkok, Thailand baru-baru ini bagi meraikan keputusan kerajaan mengeluarkan ganja daripada senarai narkotik.

Ia secara tidak langsung mengimbau kembali zaman kegemilangan ganja atau dikenali sebagai Thai Stick ketika era 1970-an.

Gulungan berbentuk curut yang dihasilkan daripada bunga yang diawet sebelum dibalut dengan daun ganja itu terkenal sehingga ke Amerika Syarikat (AS).

Kini, ganja atau kanabis boleh diperoleh dalam minuman seperti Sugarcane, Bubblegum, Purpel Afghani dan UFO yang ditawarkan oleh beberapa kafeteria terpilih.

Ia selepas Thailand menjadi negara Asia pertama menghapuskan ganja daripada senarai narkotiknya pada 9 Jun lalu, sekali gus membenarkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah.

SEORANG pekerja menunjukkan piza perasa ganja di sebuah restoran di Bangkok.

Ini bermaksud, aktiviti pengeluaran, import, eksport, pengedaran, pengambilan dan pemilikan ganja menjadi sah di sisi undang-undang selepas pindaan dibuat pada senarai narkotik terkawal Kategori 5, di bawah Akta Narkotik 1979.

Bagaimanapun, pengambilan ganja secara berlebihan adalah dilarang.

Seorang pelanggan Highland Cafe, Rittiping Bachkul, 24, berkata, dia kini boleh umumkan kepada khalayak dirinya seorang penghisap ganja tegar.

“Kini, saya boleh beritahu dengan jelas bahawa saya merupakan seorang penghisap ganja. Saya tidak perlu lagi berselindung seperti dahulu apabila ganja dicap sebagai dadah,” ujarnya kepada sebuah agensi berita tempatan.

Sementara itu, pemilik bersama Highland Cafe, Rattapon Sanrak memaklumkan, sudah menjadi tugas kerajaan mempromosikan penggunaan ganja bagi kegunaan perubatan.

Dia yang juga seorang aktivis berkata, pihaknya telah jauh ke depan dalam bab penggunaan dan akhirnya kerajaan mengakui bahawa ganja mempunyai lebih banyak kebaikan berbanding keburukan.

Disebabkan itu, hampir 100,000 orang bergegas mendaftar dalam satu aplikasi kerajaan, PlookGanja bagi memohon kebenaran menanam tumbuhan berkenaan di rumah.

Ketua Setiausaha Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan, Dr. Paisarn Dunkum berkata, aplikasi berkenaan telah dimuat turun lebih 50,000 kali pada hari pertama ia dilancar.

ANUTIN percaya, tindakan kerajaan ‘menghalalkan’ penanaman ganja di rumah mampu meningkatkan ekonomi penduduk.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa sijil kebenaran berkenaan boleh dibatalkan serta-merta jika penanaman gagal mematuhi peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Orang ramai boleh memohon untuk menanam ganja bagi kegunaan isi rumah sahaja. Bagi kegunaan bukan isi rumah, ia memerlukan kebenaran rasmi daripada kerajaan,” katanya.

Berikutan pembatalan ganja daripada senarai narkotik, kira-kira 3,000 banduan yang menjalani hukuman penjara atas kesalahan ganja sahaja telah dibebaskan.

Menurut Kementerian Kehakiman, kesemua 7,488 kes ganja di mahkamah juga telah digugurkan termasuk kes yang sedang dalam siasatan polis, lapor portal berita tempatan, The Nation.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul memaklumkan, tindakan kerajaan ‘menghalalkan’ penanaman ganja di rumah diharap mampu meningkatkan ekonomi penduduk.

Tegas beliau, sekiranya digunakan dengan betul, ganja umpama emas iaitu sesuatu yang berharga, namun harus dipromosikan.

“Kami akan menggunakan undang-undang bagi menghentikan penyalahgunaan ganja. Sebenarnya, kerajaan lebih suka membina kesedaran daripada menghukum pesalah.

“Pelancong yang datang ke Thailand untuk merokok atau mengambil ganja tanpa tujuan perubatan dan kesihatan di tempat awam adalah salah,” jelasnya.

Ketika ini, makanan, minuman dan snek yang mengandungi ekstrak ganja seperti ayam goreng kanabis menjadi sajian popular di banyak restoran serta gerai di sekitar Thailand.

Malangnya, tidak sampai sebulan kelonggaran tersebut diberikan, terdapat beberapa laporan yang menunjukkan salah laku penggunaan ganja dalam kalangan masyarakat.

Terbaharu, empat orang lelaki telah dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana dipercayai mengambil ganja secara berlebihan dan salah seorang daripadanya mati.

Jabatan Perkhidmatan Perubatan Pentadbiran Metropolitan Bangkok melaporkan, dua lelaki berusia 17 dan 25 tahun telah dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan jantung berdebar selepas mengambil ganja.

Seorang remaja berusia 16 tahun pula dimasukkan ke unit rawatan rapi selepas didakwa mengambil ganja berlebihan.

AIR minuman ganja yang dijual kepada orang ramai mendapat sambutan

Seorang lelaki berusia 51 tahun mengadu sakit dada selepas menggunakan ganja dan dimasukkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia akibat kegagalan jantung.

Menurut laman web kesihatan AS, Healthline, pengambilan ganja secara berlebihan mampu memberi reaksi negatif kepada kesihatan tubuh.

Kerajaan Thailand melarang penggunaan ganja bagi rekreasi. Penggunaan ekstrak ganja juga tidak boleh melebihi 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) mengikut berat.

Had THC turut digunakan dalam penggunaan sebagai bahan makanan. THC merupakan sebatian psikoaktif utama dalam ganja.

Pengguna ganja yang menyebabkan bau atau asap sehingga mengganggu orang lain boleh berdepan denda sehingga 25,000 baht (RM3,120) dan atau penjara sehingga tiga bulan jika disabitkan kesalahan.

Meskipun begitu, undang-undang sedia ada berkaitan ganja dilihat masih belum kukuh di Thailand bagi menghalang penggunaannya secara tidak terkawal oleh sesiapa termasuk kanak-kanak.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Tetap, Pihak Berkuasa Metropolitan Bangkok, Wantanee Wattana menjelaskan, draf rang undang-undang baharu ganja sudah dibentangkan di Parlimen, tetapi mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk diluluskan.

“Tiada langkah kawalan selain dari mulut ke mulut,” keluh Mana Nimitmongkol, ketua Pertubuhan Pencegahan Rasuah (Thailand) dalam satu catatan dalam talian baru-baru ini.

Minggu lalu, satu peraturan baharu dikuatkuasakan bagi melarang perbuatan menghisap ganja secara terbuka di khalayak serta penjualan ganja kepada individu bawah umur 20 tahun, wanita hamil dan ibu menyusu.

Beberapa peraturan lain termasuk pengharaman ganja di sekolah, keperluan bagi peruncit memberikan maklumat yang jelas tentang penggunaan ganja dalam makanan dan minuman turut dikuatkuasakan.

Jabatan Kesihatan turut mengeluarkan garis panduan penggunaan ganja dalam masakan, antara lain menyebut, individu tidak boleh mengambil lebih dua hidangan mengandungi tumbuhan itu sehari.

Pengkritik berkata, kerajaan Thailand disifatkan tergesa-gesa menghapuskan hukuman jenayah ke atas ganja sebelum meluluskan undang-undang memastikan bahan itu dikawal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN